Untuk menjadi pelajar yang lengkap, sesorang mesti memaksimumkan penggunaan segala kemudahan yang telah disediakan di OUM. Pengalaman pembelajaran yang baharu boleh membawa kepada detik-detik kegembiraan. Walau bagaimanapun, tekanan akan menyebabkan seseorang pelajar berasa kondisi yang kurang selesa. Oleh itu adalah penting untuk mereka memahami setiap situasi ini dan belajar cara menguruskan masa yang diberikan. Masa amat penting untuk semua makhluk di dunia ini. Di dalam al Quran banyak ayat yang menyentuh tentang pentingnya mengurus masa. Salah satu ayat Al Quran yang menyentuh kepentingan masa adalah seperti berikut maksudnya:
‘Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran’Surah Al-‘Asr
Kejayaan seseorang individu sudah semestinya bergantung kepada usahanya namun bagaimana caranya sesorang itu menyempurnakan segala tanggugjawab dalam pelajaran, keluarga, masyarakat dan kerja seharian adalah yang paling utama. Mungkin seseorang terlalu sibuk dalam tanggungjawab seharian terhadap kerjaya, keluarga dan pelajaran serta gaya hidup, namun seseorang yang berjaya adalah seorang yang pandai menyusun dan memprogramkan kehidupan, menjaga keseimbangan aktiviti seharian. Perancangan yang teliti serta kemahiran menguruskan masa adalah amat penting untuk membahagikan komitment kepada tanggungjawab seperti kerjaya untuk periuk nasi, kesejahteraan dan keharmonian keluarga dan melakukan aktiviti riadah seperti hobi di masa lapang. Menurut Nadinloyi K.B Et al. (2013) telah mengesahkan bahawa kajian menunjukkan bahawa kemahiran mengurus masa boleh dilatih. Antara pengurusan masa yang berkesan dan membantu sesuatu kejayaan adalah:
a) Menjauhi perkara yang sia-sia. Ini boleh dilakukan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah baik berseorangan mahupun berkumpulan dan bersama keluarga.
b) Membuat perancangan seperti mengadakan jadual pengurusan masa seperti membahagikan masa supaya seimbang. Bahagikan masa yang penting, tidak penting, masa rehat agar masa kita tidak kosong.
c) Memberi keutamaan kepada perkara yang lebih penting daripada yang tidak penting.
d) Katakan ‘tidak’ kepada ‘nantilah dulu’
e) Apa yang penting dan perlu diingat, waktu lebih mahal daripada emas dan tidak akan kembali lagi.
Sebelum kita dapat menguruskan masa dengan jayanya, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan menyebabkan seseorang kehilangan masa, seperti keluarga, rakan-rakan, aktiviti yang tidak berfaedah, pengaruh media masa dan sikap kita sendiri. Apa pun yang ingin kita rancangkan dan ingin uruskan dalam pengurusan masa ini, yang penting adalah disiplin diri yang mana apa-apa perancangan yang ingin kita lakukan akan menjadi sia-sia seandainya diri kita tidak disiplin untuk mengikuti semua benda yang telah kita rancangkan.