Essay: Sistem pendidikan merupakan asas penting dalam membangunkan…

Sistem pendidikan merupakan asas penting dalam membangunkan masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik dan sejahtera. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam pelbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan tidak terkecuali daripada berkembang seiring dengan perubahan-perubahan semasa dan mengalami anjakan paradigma dalam bidang pendidikan yang dapat mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan antarabangsa.

Peranan guru pada masa kini dikatakan semakin mencabar selaras dengan perkembangan teknologi yang canggih. Guru-guru bukan sahaja memainkan peranan utama sebagai penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar, malahan bertanggungjawab menyuburkan minat, memperkembang bakat dan kebolehan pelajar-pelajar. Guru juga merupakan sumber untuk membina daya pemikiran yang analitikal, kritikal dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka selaras dengan hala tuju sistem pendidikan. Hala tuju pendidikan negara yang telah dirangka oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggariskan satu matlamat untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan bertaraf dunia.

Dalam konteks ini, guru merupakan golongan profesional yang melaksanakan tugas ke arah mencapai matlamat pendidikan. Hakikatnya, kualiti pendidikan dan kualiti guru tidak dapat dipisahkan. Menurut Sulaiman Daud (1995), pendidikan pada abad ke-21 bukan sahaja memerlukan modal insan yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi dalam bidang industri dan teknologi, pengurusan dan perdagangan tetapi juga memerlukan insan yang mempunyai sistem nilai dan etika serta akhlak yang baik, berpekerti mulia, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan masyarakat dan negara (dalam Shahril dan Habib 2001).

Bagi memastikan guru-guru sentiasa bersedia dan mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi dan mencukupi, pihak pentadbir sekolah seharusnya memastikan sumber manusia atau modal insan yang merupakan aset penting kepada sesebuah organisasi diuruskan dengan cekap dan optimum. Menurut Mohamad Sani (2005) peranan sekolah masa kini telah berubah dan guru perlu sentiasa meningkatkan domain pengetahuan dan kecekapan baharu untuk membolehkan mereka mengikut peredaran zaman dan meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Oleh yang demikian, pihak pentadbir sesebuah sekolah sentiasa mengharapkan agar guru-guru mempunyai komitmen dan cita-cita yang unggul bagi membina masyarakat yang bertamadun tinggi. Bagi melaksanakan tugas tersebut, guru perlulah mempunyai kecekapan dan kebolehan yang mantap.

Pengurusan sumber manusia merupakan satu aktiviti yang penting dalam sesebuah organisasi. Bagi memastikan matlamat dan objektif organisasi tercapai, adalah penting bagi seseorang pengurus atau pemimpin mengurus sumber manusiannya dengan baik dan berkesan. Sebenarnya, aktiviti pengurusan sumber manusia boleh dikelompokkan kepada beberapa kategori iaitu penstafan, latihan dan pembangunan, imbuhan dan ganjaran, kebajikan pekerja dan hubungan industri. Dalam kajian yang dijalankan, penyelidik hanya memberi fokus kepada fungsi latihan dan pembangunan yang melibatkan aspek penilaian prestasi dan pengurusan prestasi seseorang pekerja ke arah meningkatkan pembangunan profesionalisme seseorang pekerja untuk mencapai matlamat dan objektif organisasi.

Pengurusan sumber manusia boleh didefinisikan sebagai penggunaan sepenuhnya individu untuk mencapai matlamat organisasi. (Mondy et. al, 2002). Ramai pemimpin sekolah sering mengabaikan aspek utama ini kerana terlalu sibuk dengan pelbagai beban tugas lain. (Azlin, 2005). Ini sangat penting kerana pentadbir sekolah yang mampu mengurus dan menyelesaikan masalah yang wujud dalam kalangan guru, kakitangan am dan pelajar akan dapat menghasilkan pengurusan sekolah yang berkesan. (Omardin, 2007).

Dalam mencapai matlamat pengurusan sumber manusia berkesan, pentadbir perlu memastikan lima tema berhubung dasar dan amalan dilaksana dengan baik iaitu mengurus pasukan kerja, kepelbagaian, globalisasi, etika dan penilaian. (Jackson et. al ,2009). Pengurusan dan kepimpinan di sekolah hari ini berhadapan dengan cabaran meningkatkan kualiti staf sedangkan pengetua lebih banyak menghabiskan masa melakukan tugasan pentadbiran dan mengurus sekolah serta menghadiri mesyuarat di luar. Sebilangan mereka telah dinaikkan pangkat walaupun belum mahir dengan tugas mentadbir sekolah. (Jamaliah dan Norashimah, 2005).

Sesebuah organisasi yang berkesan sudah pasti mempunyai sumber manusia yang cekap dan kompeten. Selaras dengan itu, sumber manusia atau modal insan yang diperlukan pastinya dapat memberikan sumbangan kepada organisasi ke arah mencapai matlamat dan menjadi sebuah organisasi yang berdaya saing. Dalam organisasi pendidikan khususnya, profesionalisme keguruan merupakan aspek yang sangat penting yang diberi penekanan dan perhatian yang serius ke arah mencapai matlamat dan objektif sesebuah sekolah bagi melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti dan cemerlang dalam semua bidang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, pembangunan profesionalisme keguruan merupakan satu proses yang berterusan bagi meningkatkan tahap profesionalisme guru dalam mengharungi dunia pendidikan yang semakin mencabar saban hari.

Menurut Wood dan Thompson (1993), pembangunan profesionalisme keguruan ditafsirkan sebagai produk berbentuk peningkatan personal dengan matlamat untuk mengembangkan serta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan yang memberi penekanan terhadap kesediaan, latihan dalaman, perancangan, perlaksanaan dan pemantapan. Guskey (2000) pula melihat aspek pembangunan profesionalisme keguruan sebagai produk dan juga proses bagi memperkembangkan lagi pengetahuan profesional, kemahiran serta tingkah laku pendidik agar mereka berupaya meningkatkan pembelajaran pelajar. Sementara itu, Glatthorn (1995) mendefinisikan pembangunan profesionalisme keguruan sebagai hasil yang tercapai melalui pertambahan pengalaman serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara sistematik. Menurut Hoyle (1982), pembangunan profesionalisme keguruan adalah satu proses di mana guru-guru secara berterusan memperdalamkan lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan keberkesanan proses pencerapan pembelajaran oleh pelajar.

Secara umumnya, guru merupakan individu yang sentiasa berkembang pada pelbagai tahap. Perkembangan ini merujuk kepada pembangunan guru dalam aspek kognitif, afektif, emosi dan jasmani. Pada asasnya, keberkesanan proses pengajaran guru bukan hanya bergantung terhadap kepakaran guru dalam pengetahuan kurikulum semata-mata, malah guru juga sewajarnya mempunyai kemahiran pedagogi, kecekapan mengurus, empati serta refleksi terhadap pelajar. Maka, agenda pembangunan profesionalisme keguruan dilihat merupakan elemen yang amat penting untuk dijana bagi memastikan keberhasilan pembelajaran pelajar.

Hal ini didokong lantaran pelajar yang berkualiti lahir daripada guru yang berkualiti. Tambahan pula, keberkesanan proses pembelajaran pelajar secara amnya banyak bergantung kepada faktor guru. Ini kerana, guru bertindak sebagai pemangkin utama kecemerlangan pelajar kerana mereka merupakan agen penyebaran kemahiran dan pengetahuan tertentu. Lanjutan daripada itu, kejayaan proses pengajaran turut dipengaruhi oleh kebijaksanaan guru dalam mempraktikkan teknik atau kaedah yang berkesan serta berupaya memilih bahan bantu mengajar yang dapat merangsang pelajar untuk berinteraksi dan berfikir.

Berkisarkan kepada permasalahan atau isu-isu yang telah dikenalpasti, kajian ini bertujuan melihat adakah amalan pengurusan sumber manusia melalui penilaian prestasi yang cekap oleh barisan pentadbir dapat meningkatkan tahap profesionalisme keguruan di sekolah.

Leave a Comment

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.