BAB 1
PENGENALAN
1.1 LATAR BELAKANG KAJIAN
Sistem pendidikan di Malaysia pada masa kini sentiasa mengalami perubahan yang drastik. Keadaan ini menunjukkan sistem pendidikan adalah dinamik dan kerajaan perlu sentiasa peka serta berusaha untuk memenuhi keperluan rakyat dan negara. Perancangan pendidikan bukan sahaja menekankan tentang memenuhi keperluan tenaga kerja, tetapi sistem pendidikan juga menitikberatkan aspek lain termasuk perkembangan diri individu yang disesuaikan dengan keperluan negara.
Dalam konteks pendidikan di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 menggantikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Dalam Pelan ini, sebanyak 11 anjakan dalam pendidikan telah digariskan dan salah satu daripada anjakan tersebut ialah memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Ini membuktikan betapa pentingnya penggunaan komputer dalam menerapkan ICT dalam pendidikan di Malaysia.
Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan bukanlah sesuatu yang baru, malah telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah sejak awal tahun 60-an. Penggunaan komputer dalam pendidikan di Malaysia pula telah bermula sejak tahun 80-an dengan beberapa projek rintis seperti Projek Munsyi, Projek Penggunaan Komputer dalam pendidikan (CIE) dan berterusan dengan projek yang mutakhir iaitu Projek Sekolah Bestari yang konsepnya mula dipraktikkan pada tahun 1997.
Penguasaan dan penggunaan serta pemahaman Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) harus dipandang dari sudut yang positif oleh semua golongan. Menurut Ahmad Bakeri Abu Bakar (2003) walaupun kadar penggunaan dan pembangunan TMK di Malaysia dianggap tinggi berbanding negara-negara serantau, Malaysia masih lagi ketinggalan dari segi kadar penggunaan komputer dalam kalangan penduduk. Pada akhir tahun 2002, kadar penggunaan komputer penduduk Malaysia adalah 12.5 unit bagi setiap 100 orang, berbanding 40 unit bagi setiap 100 orang (penanda aras bagi negara-negara maju). Justeru, lebih banyak usaha perlu ditingkatkan bagi mencapai angka sasaran seperti menggandakan usaha ke arah membudayakan pendidikan sepanjang hayat khususnya yang berkaitan dengan TMK kepada masyarakat luar bandar dan orang asli. Mantan Perdana Menteri,Tun Dato???Seri Dr. Mahathir Mohamad turut menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu menjadi peneraju dalam bidang TMK jika rakyat berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Beliau juga menegaskan bahawa jika semua pihak melibatkan diri dalam menguasai TMK, negara tidak akan ketinggalan malah menjadi lebih kompetatif di arena antarabangsa.
Salah satu perkembangan yang amat ketara dalam dunia masa kini adalah berlakunya ledakan teknologi maklumat. Dengan adanya kemajuan dalam telekomunikasi, komputer dihubungkan dengan jaringan internet untuk membolehkan banyak maklumat diperoleh dengan cepat. Inovasi dalam teknologi maklumat ini juga dapat menyebarkan segala maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat. Menyedari hakikat ini, kerajaan telah mengambil langkah untuk terus bertindak memperkembangkan teknologi komunikasi dan maklumat ini dengan menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Tujuh aplikasi utama yang terkandung dalam MSC adalah terdiri daripada kerajaan elektronik, tele-perubatan, sekolah bestari, pemasaran tanpa sempadan, kad pintar, kelompok penyelidikan dan pembangunan dan jaringan perusahaan dunia.
Sejajar dengan perkembangan ini, kerajaan telah menubuhkan sekolah bestari yang telah memperlihatkan kesungguhan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mentransformasikan bidang pendidikan agar bangsa Malaysia abad ke-21 ini bukan sahaja menguasai teknologi maklumat malah berupaya merealisasikan Wawasan 2020. Pada tahun 2010, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan penerapan teknologi maklumat dalam Pengajaran dan Pembelajaran di semua sekolah Bestari. Kementerian Pelajaran juga mensasarkan pada tahun 2012, semua sekolah di negara ini yang berjumlah lebih kurang 10 000 buah akan terlibat sebagai Sekolah Bestari. Ini bermakna 8.5 juta pelajar dan 450 000 orang guru akan terlibat dalam program tersebut (Asiah Abu Samah, 2007 dalam Dzulkifle Bin Ismail 2010). Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Mohd. Najib dalam Ucapan Persidangan ???Discovering Malaysia 07??? berkata sama ada kita setuju atau tidak, proses pendidikan di negara kita menjelang abad ke 21 tidak dapat lari daripada mendedahkan pelajar kepada teknologi maklumat dan multimedia. Ledakan multimedia sedang berlaku dengan pesatnya di seluruh dunia dan negara maju telah pun melaksanakannya dalam prasarana pembangunan sumber manusia yang bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja yang berketrampilan dalam bidang teknologi digital menjelang abad akan datang (Dzulkifle Bin Ismail, 2010 ). Jelas di sini bahawa transformasi ini telah mengubah anjakan paradigma pengajar dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan khususnya dalam menarik minat pelajar, meningkatkan kreativiti dan pengetahuan pelajar melalui penggunaan teknologi multimedia dan jaringan seluruh dunia.
Penggunaan komputer dalam pendidikan merupakan langkah awal ke arah mewujudkan masyarakat berteknologi selaras dengan hasrat Wawasan 2020. Langkah pertama untuk melaksanakan penggunaan komputer secara besar-besaran di dalam bilik darjah telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Malaysian Institute of Microelectronic System (MIMOS) melalui projek pembangunan perisian. Projek perisian yang digelar Computer Integrated Learning System (ComIL) telah dijalankan secara percubaan di beberapa buah sekolah terpilih di seluruh negara mulai 1992 (Zulkifli & Raja Maznah, 1994). Pada tahun 1995, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan program Komputer Dalam Pendidikan dengan memberi penekanan kepada empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Justeru, guru-guru mata pelajaran berkenaan dilatih menggunakan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, mata pelajaran Literasi Komputer juga diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 1996 sebagai salah satu langkah mengaplikasikan teknologi komputer dalam pendidikan (Abdul Wahab Ismail Gani, et al., 2006). Dalam bidang pendidikan, usaha mempertingkatkan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran terus dipergiatkan bagi melahirkan generasi muda yang celik komputer dan sentiasa peka dengan perkembangan teknologi semasa. Hal ini kerana penggunaan komputer dalam pendidikan telah membolehkan pelajar sekolah menguasai pengetahuan dan kemahiran asas supaya mereka boleh menggunakan kemudahan ini untuk pembelajaran dan persediaan menghadapi cabaran masyarakat yang berasaskan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Menurut Gagne dan Briggs dalam Abdul Wahab Ismail Gani, et al. (2006), komputer dapat digunakan sebagai media pembelajaran kerana komputer memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh media pembelajaran yang lain sebelum zaman komputer. Antara keistimewaan tersebut adalah seperti berikut:
a. Hubungan Interaktif : Komputer membolehkan wujudnya hubungan di antara rangsangan dengan jawapan. Bahkan komputer dapat menggalakkan inspirasi dan meningkatkan minat.
b. Pengulangan: Komputer membolehkan pengguna mengulangi apabila perlu untuk memperkuatkan lagi pembelajaran dan memperbaiki ingatan. Aktiviti pengulangan amat memerlukan kebebasan dan kreativiti daripada para pelajar.
c. Maklum Balas Dan Peneguhan: Media komputer membolehkan pelajar memperoleh maklum balas terhadap pembelajaran secara serta merta. Peneguhan positif yang diberi apabila pelajar memberikan jawapan dapat memotivasikan pelajar.
Jika dilihat dari aspek pengurusan akademik, memang tidak dinafikan bahawa kerjaya guru kini menjadi lebih mencabar. Komputer kini bukan sahaja digunakan sebagai alat bantu dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah, malah peranan komputer telah menular pula dalam bidang pentadbiran dan pengurusan sekolah. Proses pengkomputeran dan pengautomasian yang dijalankan secara besar-besaran dan pantas di semua peringkat institusi pendidikan telah menjadikan komputer sebagai satu bentuk integrasi dalam suasana pentadbiran pendidikan masa kini. Situasi sedemikian berlaku kerana penggunaan komputer terbukti memberi kelebihan dari segi mempertingkatkan kecekapan serta keberkesanan dalam perjalanan dan pentadbiran sekolah.
Oleh itu, penguasaan terhadap komputer dalam kalangan guru-guru adalah begitu penting kerana ia dapat membantu dan meningkatkan tahap kerja dari aspek pengurusan akademik seperti dalam Pengajaran dan Pembelajaran, SAPS, SMM, APDM, KPI, SPPPBS, NILAM, e-Data Hrmis, e-Perolehan, menggubal kertas soalan dan juga bahan bantu mengajar serta kerja-kerja perkeranian. Maka, jalan terbaik bagi guru-guru ialah memulakan langkah awal dalam menguasai komputer. Tetapi sejauh manakah tahap penggunaan komputer dalam pengajaran, kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan kelas dilaksanakan pada peringkat awal ini? Dapatkah mereka menggunakan perisian-perisian yang ada dalam pasaran yang sering mengalami pembaharuan dalam melaksanakan tugasan tersebut? Adakah kemudahan disediakan mencukupi untuk guru-guru menggunakannya atau wujud birokrasi dalam penggunaan komputer tersebut? Inilah persoalan-persoalan yang perlu ditinjau supaya matlamat Kementerian Pendidikan tidak hanya tinggal matlamat sahaja.
1.2 PERNYATAAN MASALAH
Dunia pendidikan pada zaman ini amatlah mencabar kerana tugas guru bukan sekadar berlegar kepada tugas-tugas pengajaran dan pembelajaran, malah ianya juga melibatkan tugas-tugas dalam pengurusan akademik seperti menyimpan rekod murid, stok/inventori, menaip dokumen, membuat jadual waktu, menganalisis item peperiksaan, menaip soalan ujian/peperiksaan, pengurusan fail panitia serta minit mesyuarat dan mengisi data secara online iaitu SAPS, SMM, APDM,SPPPBS, NILAM, dan pelbagai kerja-kerja perkeranian. Golongan pentadbir dan guru-guru di sekolah juga mulai sedar dan faham tentang potensi komputer sebagai alat yang berguna dalam pengurusan pentadbiran pendidikan sekolah. Peningkatan beban tugas, pertambahan permintaan terhadap penyelesaian tugas seperti penyediaan laporan, memo dan dalam masa yang sama mengekal dan mengemaskinikan data statistik untuk keperluan semua peringkat pentadbiran menyebabkan meningkatnya kepentingan penggunaan komputer dalam tugas-tugas pentadbiran dan pengurusan akademik .
Kajian oleh Johari dan Zaliza (2010) ke atas 98 orang guru yang dipilih secara rawak dari 4 buah sekolah menengah di Negeri Sembilan tentang Penggunaan Komputer Di Kalangan Guru-Guru Sekolah Menengah Di Daerah Seremban, Negeri Sembilan telah mendapati tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru masih berada pada tahap yang rendah. Ini bermaksud kemungkinan besar ada di kalangan yang tidak celik komputer terdiri dalam kalangan guru-guru. Berikutan penggunaan komputer yang semakin penting peranannya dalam hal-hal pengurusan akademik di sekolah pada masa kini, maka pengkaji berminat untuk melihat sejauh mana tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru dari segi pengurusan akademik di sekolah menengah daerah kuching,Sarawak.
Jika dilihat dari aspek umur pula, kajian yang dibuat oleh de koning,J. & Gelderblom A. (2006) di negara Netherlands ke atas pekerja dari dua sektor iaitu industri cetakan dan pemborong menunjukkan bahawa pekerja yang lebih berumur kurang menggunakan ICT dalam pekerjaan mereka berbanding dengan pekerja muda. Kajian beliau juga menunjukkan bahawa pekerja yang berumur lebih dari 55 tahun adalah sangat signifikan dengan kebarangkalian penggunaan ICT yang rendah.
Namun demikian, dapatan kajian yang dibuat oleh de koning,J. & Gelderblom A. (2006) adalah bercanggah dengan dapatan kajian oleh Jegede, P.O.(2009) ke atas 467 orang pensyarah dari 10 institusi perguruan di Nigeria yang mendapati tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara umur dengan tahap penggunaan ICT. Percanggahan dapatan kajian ini menimbulkan minat pengkaji untuk mengetahui sama ada terdapat perbezaan penggunaan komputer dalam kalangan guru berdasarkan faktor umur dan hubungan di antara penggunaan komputer dengan faktor umur. Bahkan, pengkaji juga berminat untuk mengkaji masalah-masalah yang dihadapi oleh guru dalam penggunaan komputer dari segi pengurusan akademik di sekolah menengah daerah kuching, sarawak.
1.3 OBJEKTIF KAJIAN
Secara umumnya, tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti penggunaan komputer dalam kalangan guru sekolah menengah di daerah kuching dalam melaksanakan urusan-urusan berkaitan dengan pengurusan akademik.
Objektif khusus kajian ini adalah seperti dibawah:
1.3.1 Mengenal pasti tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru sekolah menengah dari segi pengurusan akademik di daerah kuching, Sarawak.
1.3.2 Mengenal pasti perbezaan penggunaan komputer dalam kalangan guru sekolah menengah dari segi pengurusan akademik berdasarkan faktor jantina dan umur di daerah kuching, Sarawak.
1.3.3 Mengenal pasti tahap masalah penggunaan komputer dalam kalangan guru sekolah menengah di daerah kuching, Sarawak.
1.4 PERSOALAN KAJIAN
Dari pernyataan masalah dalam kajian ini, beberapa persoalan kajian dapat diutarakan untuk mencapai objektif kajian ini iaitu:-
1. Apakah tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru sekolah menengah dari segi pengurusan akademik di daerah kuching?
2. Adakah terdapat perbezaan penggunaan komputer dalam kalangan guru sekolah menengah dari segi pengurusan akademik di daerah kuching berdasarkan umur?
3. Apakah tahap masalah penggunaan komputer yang dihadapi dalam kalangan guru sekolah menengah dari segi pengurusan akademik di daerah kuching?
1.5 HIPOTESIS KAJIAN
Berdasarkan objektif kajian ini, beberapa hipotesis telah dibangunkan untuk diuji bagi mendapatkan keputusan kajian yang lengkap. Hipotesis tersebut adalah :
H 1: Tidak terdapat perbezaan tahap penggunaan komputer yang signifikan dalam
kalangan guru dari aspek pengurusan akademik.
H 2: Tidak terdapat hubungan yang signifikan penggunaan komputer dalam kalangan
guru dari aspek faktor demografi iaitu umur.
1.6 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian ini dilaksanakan dengan tujuan untuk mendapatkan maklumat tentang tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru-guru di beberapa buah sekolah menengah di daerah Kuching, Sarawak untuk mengetahui sejauh mana guru menggunakan kemudahan komputer dalam pengurusan akademik seperti dalam pengajaran dan pembelajaran, membuat kertas soalan, menaip minit mesyuarat, menganalisis soalan peperiksaan, menaip latihan modul, menyimpan rekod pelajar,mencari maklumat dari internet, kerja-kerja penyelenggaraan data seperti Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), Sistem Pengurusan Latihan Guru (e-SPLG), Aplikasi Online e- Profil, HRMIS, Sistem Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (e-prestasi) dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) serta kursus online seperti iThink dan Frog VLE di bawah projek 1BestariNet. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh guru dalam penggunaan komputer.
Kepentingan kajian ini juga boleh dilihat dari aspek kesesuaiannya seperti kepentingan kepada negara, guru-guru di sekolah menengah, para pelajar yang terlibat dalam aktiviti pembelajaran dan penyelidik sendiri. Antara kepentingan kajian ini adalah seperti berikut:
i. Hasil kajian ini merupakan ukuran untuk menilai kemahiran dan pengetahuan penggunaan komputer dalam kalangan guru dalam pengurusan berkaitan akademik. Dengan itu, data dalam kajian ini dapat dirujuk oleh bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) ataupun unit latihan dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mahupun pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dalam merancang latihan dan bengkel yang dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan guru secara efektif.
ii. Hasil kajian ini dapat memberi input kepada pihak guru yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan inovasi dalam menyelesaikan masalah yang telah dikenalpasti bagi memastikan penggunaan komputer dapat dimanfaatkan sepenuhnya kepada guru dan pelajar.
iii. Kajian ini akan memberi kesedaran kepada para guru tentang pentingnya bagi mereka melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran komputer menjelang abad ke ??? 21.
iv. Diharapkan kajian ini dapat menjadi perintis kepada penyelidik lain untuk menjalankan kajian yang lebih mendalam tentang komputer dan penggunaannya agar selaras dengan hasrat dan wawasan kerajaan untuk menjadikan Teknologi Maklumat sebagai unsur penting dalam menghadapi alaf baru dan merealisasikan sistem pendidikan bertaraf dunia.
Maka, dengan adanya kajian ini, tindakan susulan dapat diambil dalam pelaksanaan dasar penggunaan ICT dalam segala aspek dan ini akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara dan seterusnya meningkatkan produktiviti sekolah.
.
1.7 SKOP DAN LIMITASI KAJIAN
Dalam menjalankan kajian ini terdapat beberapa batasan bagi mendapatkan maklumat untuk dimuatkan dalam kajian ini. Antara batasan dan skop kajian ialah:
i. Kajian ini tertumpu di 2 buah sekolah menengah daripada 26 buah sekolah menengah di
sekitar daerah Kuching, Sarawak atas faktor kekangan masa.
ii. Ciri-ciri guru yang dikaji mungkin tidak mewakili keseluruhan para guru di Malaysia.
iii. Skop kajian tertumpu kepada tahap penggunaan, perbezaan penggunaan dari segi faktor
penggunaan demografi serta masalah penggunaan komputer dalam kalangan guru.
iv. Ketepatan data yang diperolehi adalah bergantung kepada ketepatan jawapan yang
diberi daripada responden.
1.8 KERANGKA KONSEPTUAL KAJIAN
Rajah 1 : Kerangka Kajian Penggunaan Komputer Dalam Kalangan Guru
Sekolah Menengah Dari Aspek Pengurusan Akademik.
Berdasarkan kepada Rajah 1 di atas, terdapat tiga aspek yang akan dikaji oleh pengkaji. Aspek pertama ialah dari segi tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru. Aspek kedua ialah dari segi perbezaan penggunaan komputer dengan faktor demografi dan aspek ketiga ialah mengenal pasti tahap masalah-masalah utama yang dihadapi dalam kalangan guru dengan penggunaan komputer.
Dalam mengenal pasti tahap Penggunaan Komputer, ianya diukur dengan melihat kepada kekerapan dan literasi komputer guru-guru dalam menguruskan hal-hal berkaitan dengan akademik dan dikategorikan kepada tiga tahap penggunaan berdasarkan kepada min dan skor. Tahap-tahap tersebut ialah tahap tinggi, tahap sederhana dan tahap rendah.
Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa pembolehubah lain yang turut memberi kesan kepada tahap penggunaan komputer guru-guru. Lokasi dan jenis sekolah yang berbeza juga akan mempengaruhi tahap prasarana atau kemudahan di sekolah. Perbezaan ini akan menghasilkan tahap penggunaan komputer yang berbeza dalam kalangan guru. Begitu juga dengan aspek latihan yang diterima kerana berdasarkan kajian lepas, guru-guru yang menerima latihan yang berkaitan dengan penggunaan komputer menunjukkan kemahiran yang lebih tinggi untuk menggunakan komputer berbanding mereka yang tidak mengikutinya. Kemahiran hasil latihan yang diterima menyebabkan wujud perbezaan dari segi tahap penggunaan komputer sebagaimana kesan daripada pembolehubah pengalaman dan bidang latihan.
Manakala, dari segi perbezaan penggunaan komputer, pengkaji mengambil kira faktor-faktor demografi seperti umur, jantina dan pengalaman bekerja. Adakah perbezaan demografi ini mempengaruhi penggunaan komputer dalam kalangan guru atau sebaliknya?
Di samping itu, masalah-masalah yang dihadapi oleh guru dalam menggunakan komputer untuk pengurusan akademik di sekolah juga akan dikaji. Justeru untuk membolehkan guru menggunakan sesuatu teknologi dengan efektif dan berterusan, sumber-sumber yang diperlukan haruslah disediakan dengan cukup dan boleh didapati dengan mudah.
1.9 DEFINISI KONSEP DAN OPERASIONAL
Beberapa istilah dan konsep yang digunakan dalam kajian ini akan diperjelaskan untuk mengelakkan kekeliruan yang mungkin timbul. Penerangan ini dibuat dalam konteks kajian ini.
1.9.1 Komputer
Berdasarkan Kamus Dewan (1986), komputer adalah merupakan alat atau sistem elektronik yang berupaya menyimpan maklumat yang banyak dan kompleks serta membolehkan maklumat tersebut diperolehi dan dianalisis pada bila-bila masa yang dikehendaki. Komputer mikro ini terdiri daripada komponen berikut:
(i) Unit sistem yang mengandungi Unit Pemperosesan Pusat (CPU), Antara Muka
Pengguna (Interface) dan Unsur Ingatan (Memory).
(ii) Pemacu Cakera (Drive)
(iii) Unit Paparan Video (Uonitor).
(iv) Papan Kekunci (Keyboard).
(v) Pencetak (Printer)
Komputer dalam kajian ini ialah semua jenis komputer yang boleh digunakan di sekolah termasuk komputer riba untuk menyimpan, mengeluarkan, menganalisis dan membantu pentadbir bagi tujuan pengurusan di sekolah.
1.9.2 Tahap Penggunaan Komputer
Tahap Penggunaan Komputer merujuk kepada kemahiran guru-guru dalam mengendalikan aplikasi komputer dalam pengurusan akademik di sekolah. Perkara ini adalah penting kerana pengetahuan tentang sistem pengoperasian komputer dan fungsinya akan dapat membantu melancarkan segala urusan yang berkaitan dengan akademik di sekolah.
1.9.3 Pengurusan Akademik
Pengurusan Akademik dalam kajian ini merujuk kepada urusan-urusan yang berkait rapat dengan akademik seperti dalam pengajaran dan pembelajaran, membuat kertas soalan, menaip minit mesyuarat, menganalisis soalan peperiksaan, menaip latihan modul, menyimpan rekod pelajar, mencari maklumat dari internet, kerja-kerja penyelenggaraan data seperti Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), Sistem Pengurusan Latihan Guru (e-SPLG), Aplikasi Online e- Profil, HRMIS, Sistem Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (e-prestasi) dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) serta kursus online seperti iThink dan Frog VLE di bawah projek 1BestariNet dan segala tugas-tugas perkeranian di sekolah.
1.9.4 Guru-guru
Menurut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh. Seorang guru ialah merupakan pembimbing dalam proses pembelajaran. Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawab untuk mendidik pelajar di sekolah. Guru juga sebagai anggota masyarakat, harus pandai bergaul dengan masyarakat. Untuk itu, guru harus menguasai psikologi sosial, memiliki pengetahuan tentang hubungan antara manusia dan sebagai anggota masyarakat, guru mempunyai keterampilan membina kelompok, berkerjasama dalam kelompok untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Dalam kajian ini, guru adalah merujuk kepada semua pegawai-pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah dan bukan siswazah yang dilatih khusus secara ikhtisas oleh kementerian Pendidikan Malaysia dalam semua subjek kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah serta terlibat dengan segala hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan akademik di sekolah dengan menggunakan komputer di mana mereka berkhidmat.
1.10 KESIMPULAN
Sememangnya komputer telah lama diperkenalkan di sekolah-sekolah di Malaysia dan juga merupakan satu alat elektronik yang kompleks serta mempunyai banyak kelebihan. Namun begitu, tahap penggunaannya masih belum berada pada tahap yang memuaskan sungguhpun telah memasuki zaman era teknologi. Penggunaan komputer dalam pengurusan pendidikan juga merupakan langkah awal dalam mewujudkan masyarakat berteknologi zaman kini selaras dengan hasrat wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad. Justeru, memang tidak dapat dinafikan bahawa komputer mampu menyumbang
kepada proses pendidikan dalam pelbagai bentuk yang lain, terutamanya dari segi pengurusan akademik di sekolah.
BAB 2
TINJAUAN LITERATUR
2.1 PENDAHULUAN
Pada zaman era teknologi ini, manusia yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kebolehan yang luas dalam bidang komputer dianggap sebagai aset yang sangat penting dan berharga kepada masyarakat. Sebaliknya manusia yang jahil atau tidak mempunyai pengetahuan langsung terhadap komputer dikenali sebagai buta komputer dan dianggap sebagai penghalang kemajuan kepada sesebuah negara yang kemajuannya berasaskan teknologi maklumat. Pendidikan masa kini telah mengalami perubahan yang mendadak dan berubah ke arah pembentukan masyarakat bermaklumat selaras dengan visi negara untuk menjadi tunggak dalam perkembangan teknologi maklumat. Justeru, bab ini akan meninjau lebih lanjut tentang hasil kajian lampau yang berkaitan dengan penggunaan komputer terutamanya dalam kalangan guru. Selain itu, ianya juga menghubungkaitkan di antara kajian lampau dan kajian yang akan dijalankan tentang pentingnya penggunaan komputer dalam hal-hal berkaitan akademik seperti pengajaran dan pembelajaran serta menyenggara dan memproses data.
2.2 PENDEKATAN TEORI
Dalam kajian penggunaan komputer di kalangan guru dari aspek pengurusan akademik, terdapat beberapa teori yang berkaitan iaitu Teori berkaitan pengurusan dan Teori Resapan Inovasi.
Menurut Kamus dewan (1994), pengurusan bermaksud perihal mengurus sesuatu. Bagi Thierauf (1977) pula pengurusan adalah proses menempatkan input organisasi melalui 4P iaitu perancangan, pengelolaan, pengarahan, dan pengawalan bagi menghasilkan output seperti ditetapkan oleh organisasi. Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), matlamat bermaksud sasaran atau sesuatu tujuan yang hendak dicapai. Wan Mohd Zahid (1992) menyatakan matlamat organisasi boleh dibahagikan kepada dua bentuk iatu matlamat am dan matlamat khusus. Matlamat am ialah suatu penyataan rangka bidang keinginan yang luas yang mengandungi hasrat-hasrat am. Matlamat khusus pula adalah matlamat yang konkrit. Matlamat khusus ini mendapat petunjuk daripada matlamat am dan dengan berpandukan pada matlamat am dapatlah di bina matlamat khusus.
2.2.1 Teori Pengurusan Matlamat (MBO)
Pengurusan sesebuah organisasi merupakan aspek yang amat penting untuk dititikberatkan, khususnya di dalam bidang pendidikan. Pengurusan adalah suatu amalan yang dijalankan oleh pelbagai organisasi. Pengurusan yang sistematik dan berkesan akan meningkatkan lagi tahap kualiti dan keberkesanan sesebuah organisasi sekolah tersebut. Menurut Campbell F. R, Corbally E. J, & Nystrand O. R, (1996), sesebuah organisasi sekolah mestilah mempunyai sifat-sifat seperti matlamat, teknologi, pembahagian tenaga kerja, pusat kuasa dan persekitaran. Sifat-sifat ini menunjukkan bahawa sesebuah organisasi dapat ditakrifkan sebagai sekumpulan manusia yang bekerja untuk mencapai matlamat-matlamat yang tertentu dalam suasana yang tertentu.
Sekolah bermula dari organisasi yang mudah iaitu dengan seorang guru, sekumpulan kanak-kanak dan ibu bapa dengan harapan yang sama. Dalam sesebuah institusi, matlamat memainkan peranan yang amat penting dan menjadi panduan kepada organisasi khususnya sekolah. Secara umumnya, ia memberikan sebab-sebab bagi kewujudan seebuah organisasi itu. Walaupun matlamat memberi identiti dan arah kepada organisasi, ia biasanya memberikan kebebasan yang wajar dalam tingkah laku organisasi. Namun, matlamat sekolah seringkali sangat umum sehingga ia amat kabur. Contohnya, sekolah bertanggungjawab untuk memberi pendidikan pada umur yang paling rendah dan sesuai, dan mencari serta mengenalpasti keperluan-keperluan setiap pelajar secara berterusan. Matlamat yang kabur ini akan menyukarkan peningkatan tahap kualiti dan keberkesanan sesebuah organisasi sekolah. Oleh itu, seseorang pemimpin dalam sekolah sama ada guru besar atau pengetua khususnya haruslah bijak dalam membuat pengurusan matlamat.
Teori Pengurusan Matlamat ini juga dapat dilihat sebagai teknik pengurusan struktur oleh sesebuah sistem atau organisasi. Sistem pengurusan ini akan menjadi panduan bagi unit organisasi tersebut untuk mencapai matlamat. Kemudian, ketua sesebuah organisasi yakni pengetua atau guru besar, menyeru ahli-ahli dalam organisasi tersebut agar memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan matlamat yang ingin dicapai. Dan akhirnya hasil daripada matlamat yang telah ditetapkan akan dilihat semula melalui penilaian. Misalnya dalam kajian ini, pengetua sekolah menggalakkan guru-gurunya menggunakan komputer dalam semua aspek pengurusan akademik agar dapat mencapai matlamat sekolah yang mahukan semua warganya celik komputer dan kerja lebih sistematik.
Di dalam Teori Pengurusan Matlamat, terdapat beberapa konsep yang telah diilhamkan oleh Peter Drucker. Salah satu konsep utama ialah semua ahli dalam organisasi haruslah menyertai proses penyusunan matlamat yang strategik untuk meningkatkan kualiti pelan yang disusun itu. Ini bermakna semua kakitangan sokongan dan guru-guru seharusnya terlibat dalam menentukan matlamat bagi sekolah. Selain itu, ketua organisasi juga harus meletakkan alat pengukur suatu sistem tindakan, yang mana membantu organisasi itu berfungsi dengan sempurna. Maka penilaian terhadap sekolah amat penting untuk melihat sama ada organisasi tersebut berjaya mencapai matlamat atau tidak.
Menurut Wan Mohd Zahid (1992) terdapat lima aspek pengurusan. Pertama, pengurusan bererti menentukan matlamat. Tindakan menentukan matlamat adalah agenda pertama kepada pengurusan kerana matlamat memberi arah dan haluan kepada organisasi serta anggota-anggota di dalamnya. Organisasi yang tidak mempunyai matlamat adalah seperti sebuah kapal yang tidak bermatlamat, belayar tanpa haluan.
Kedua, pengurusan bererti perancangan, iaitu merancang bagaimana matlamat yang telah dilaksanakan dapat dicapai. Matlamat adalah penting kepada perancangan kerana tanpanya kerja perancangan tidak dapat dilaksanakan.
Ketiga, pengurusan bererti menyelenggarakan semua sumber yang ada dengan cara yang efektif. Sumber-sumber yang ada di dalam sesuatu organisasi ialah seperti tenaga manusia, masa dan barangan. Sumber-sumber ini haruslah diselenggarakan dengan baik bagi mengelakkan pembaziran. Antara sumber-sumber yang harus diselenggarakan dengan penuh hati-hati ialah tenaga manusia kerana sumber ini paling sensitif. Penyelenggaraan yang baik terhadap sumber tenaga manusia ini boleh meningkatkan produktiviti dan akan menguntungkan sesebuah organisasi tersebut.
Keempat, pengurusan bererti mengawal proses untuk mencapai matlamat organisasi. Fungsi ini adalah penting kerana jikalau proses ataupun cara bagi mencapai matlamat organisasi tidak dikawal dengan baik, sudah tentu hasil pengeluaran organisasi akan terjejas.
Kelima, pengurusan bererti meletakkan standard ( piawai ) tertentu untuk mengawal mutu. Aspek ini penting pada pengurusan sebagai ukuran bagi menilai segala aspek yang berlaku di dalam organisasi, baik dari segi kerja yang dilaksanakan oleh anggota-anggota organisasi, mahupun dari segi mutu pengeluaran yang dihasilkan.
Justeru, kelima-lima aspek pengurusan ini adalah saling bergantung antara satu sama lain. Misalnya, perancangan tanpa matlamat akan menjadikan sesuatu aktiviti tidak munasabah. Demikian juga dengan aspek kawalan mutu, penentuan piawai dan penyelenggaran sumber. Semuanya adalah saling bergantung antara satu sama lain. Bagaimanapun perkara pokok kepada semua ini adalah titik tolak utama kepada aspek pengurusan yang lain. Tanpa matlamat, aspek lain tidak dapat berfungsi dengan bermakna. Bagi organisasi yang mempunyai pengurusan yang baik, kita akan mendapati kelima-lima aspek ini berhubungkait secara keseluruhan dengan seimbang dan harmoni. Inilah ciri utama bagi organisasi dan pengurusan yang sempurna. Antara sifat-sifat unggul organisasi ialah produktiviti yang tinggi, bermutu dan cemerlang. Semuanya dihasilkan oleh barisan pekerja yang bersemangat tinggi, bermotivasi dan mempunyai komitmen tinggi terhadap kerja. Mereka memanifestasikan etika kerja yang unggul. Dengan perkataan lain, mereka mempamerkan budaya kerja yang cemerlang.
Walau bagaimanapun, pendekatan Teori Pengurusan Matlamat ini mempunyai kebaikan dan kelemahan yang tersendiri. Antara kebaikan atau faedah yang diperolehi dalam teori ini ialah orang bawahan akan mengetahui sesuatu yang sepatutnya dicapai seperti yang diinginkan oleh orang atasan dengan segera, memahami tahap penilaian prestasi yang akan diukur, dan sentiasa mengetahui tentang perkembangan matlamat organisasi. Dengan kewujudan pendekatan ini di sekolah, ahli organisasi sekolah iaitu kakitangan sokongan dan bukan sokongan serta guru-guru khususnya dapat mencari strategi untuk mencapai sesuatu seperti yang diarahkan oleh pengetua atau guru besar. Hasil perbincangan dalam sesebuah organisasi sekolah membolehkan orang bawahan mengetahui tahap prestasi yang sudah dicapai dan memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi idea tentang perkembangan pencapaian matlamat. Selain itu, proses ini juga mengalakkan pihak pentadbir berinteraksi dengan kakitangannya mengenai matlamat organisasi. Dalam konteks pengurusan sekolah, guru besar atau pengetua akan mudah mengetahui tentang isu-isu sekolah dan tahap kemajuan pelajar dengan adanya interaksi antara kalangan guru.
Namun demikian, teori ini kadang kala tidak berfungsi seperti yang dijangkakan iaitu terdapat beberapa kelemahan teori ini apabila ianya diaplikasikan dalam dunia kerja sebenar. Kelemahan utama yang dapat dilihat dalam teori ini ialah ia memberi penekanan yang lebih kepada menyediakan matlamat berbanding hasil kerja pelan yang disediakan itu. Penyediaan pelan yang tepat tidak akan membawa kepada kejayaan jika tidak menggunakan pengukuran tentang pencapaian matlamat yang tertentu seperti yang dirancang. Di samping itu, teori ini juga tidak mementingkan mengenai persekitaran atau konteks di mana matlamat tersebut ditetapkan. Konteks tersebut termasuklah keterbukaan dan kualiti produktiviti. Kelemahan yang juga dapat dilihat melalui teori ini ialah ia tidak menumpukan perhatian tentang kepentingan untuk menyelesaikan masalah dan isu-isu yang dihadapi seperti biasa untuk mencapai matlamat. Ia tidak dapat mencakupi masalah mengenai kekurangan sumber untuk penyediaan dan kaedah pengurusan matlamat. Masalah peningkatan beban dalam pengurusan mengenai cabaran informasi organisasi juga sukar diselesaikan oleh teori ini. Di samping itu, impak mengenai perubahan mendadak terhadap persekitaran yang mana boleh mengubah sepenuhnya landskap pada hari kelmarin dan pelan tindakan yang menjadi tidak relevan pada masa hadapan. Kesimpulannya, teori ini tidak menitikberatkan tentang isu kemanusiaan. Manusia hanya menetapkan matlamat setiap tahun atau dalam sesuatu jangka masa tetapi tidak melaksanakannya.
Sehubungan itu, teori pengurusan matlamat dapat digunakan di sekolah untuk mencapai keperluan dalam penilaian. Penilaian dalam sesebuah sekolah amat penting untuk mengetahui sama ada organisasi tersebut berjaya untuk merealisasikan matlamat atau tidak. Keperluan dalam penilaian memerlukan pengumpulan data-data dari organisasi sekolah iaitu guru-guru dan data dari golongan yang berkenaan. Di dalam proses untuk mendapatkan maklumat atau data, salah satu jangkaan awal ialah semua perkara yang diperlukan untuk penilaian akan dilihat dapat memudahkan lagi pengurusan matlamat. Pada asasnya, pengurusan yang baik adalah perkara utama dalam penyediaan matlamat dan fokus. Namun pengurusan yang baik ini tidaklah semudah yang dijangkakan. Ini disebabkan oleh sumber rujukan untuk memenuhi keperluan penilaian adalah terhad dan sukar diperolehi. Keputusan harus dibuat untuk mengenal pasti bagaimana pengumpulan data itu dapat dilakukan. Pengumpulan data bagi memenuhi keperluan penilaian dapat dilakukan melalui interaksi dengan empat rujukan utama iaitu pelajar, ibu bapa, kakitangan professional dan jabatan-jabatan yang terlibat dalam pendidikan.
Banyak maklumat tentang diri pelajar boleh diperolehi melalui kad laporan peribadi yang disediakan oleh pihak pentadbiran sekolah. Rekod keputusan peperiksaan, rekod kehadiran ke sekolah, rekod disiplin dan rekod kegiatan ko-kurikulum menjadi data-data asas untuk dijadikan profil pelajar bagi kegunaan rasmi. Penyimpanan maklumat yang sistematik tentang data-data tersebut memudahkan pihak pentadbiran dapat melihat sejauhmana matlamat sekolah tersebut telah dicapai dari segi akademik dan ko-kurikulum khususnya. Dengan adanya pengumpulan maklumat yang diperlukan memudahkan penilaian dijalankan ke atas sekolah tersebut. Pemantauan komuniti masyarakat dan ibu bapa juga dapat membantu pihak sekolah untuk untuk memberi maklum balas tentang perkembangan sekolah dan mereka ini juga merupakan komuniti penasihat bagi sekolah. Penglibatan komuniti masyarakat dan ibu bapa dalam proses penilaian sekolah dapat membantu penyelenggaraan pengurusan matlamat yang lebih baik. Perbincangan secara berterusan tentang masalah dan isu-isu berbangkit tentang sekolah dapat meninjau pretasi atau kualiti yang dicapai oleh sesebuah sekolah. Contohnya, kehadiran ibu bapa dalam Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi jambatan bagi para ibu bapa menyuarakan idea-idea atau sumbangsaran yang berguna untuk meningkatkan kualiti sekolah. Di samping itu, kakitangan profesional sekolah juga merupakan sumber utama maklumat bagi memenuhi keperluan penilaian matlamat sekolah. Pemantauan mengenai pengajaran dan gerak kerja kurikulum merupakan pemantauan utama yang dibuat tentang pelajar. Pemantauan kakitangan tersebut atau pun proses penyelesaian masalah adalah berguna bagi memenuhi keperluan penilaian. Contohnya, mesyuarat pihak pentadbiran diadakan untuk memberi sumbang saran tentang topik-topik untuk meningkatkan kualiti sekolah bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Segelintir pihak pentadbiran pusat di peringkat daerah akan terlibat dalam pengumpulan maklumat jika pihak tersebut mengamalkan Teori Pengurusan Matlamat. Ahli jawatankuasa dalam sesebuah sekolah, badan-badan dalam Jabatan Pendidikan, Jabatan Pendidikan, dan agensi-agensi yang berkaitan akan tampil ke hadapan untuk menjadi ahli sokongan rasmi secara berterusan. Selain itu, penilaian khusus tentang sekolah dapat dibuat melalui penyampaian anugerah yang berprestij. Pemilihan sekolah bagi menyertai pencalonan anugerah berprestij dibuat melalui kriteria yang ditetapkan seperti kualiti pencapaian akademik dan ko-kurikulum serta pengurusan sekoah yang sistematik. Contohnya, Anugerah Sekolah Harapan Negara diberikan kepada sekolah yang dapat mencapai prestasi kurikulum dan ko-kurikulum selari dengan garis panduan yang diberikan.
Setelah penilaian yang diperlukan selesai dianalisis, barulah matlamat atau pelan sekolah dibentuk semula. Pembentukan semula ini adalah hasil dari penilaian yang telah dijalankan bagi aspek-aspek tertentu yang ingin ditingkatkan lagi. Penilaian yang dibuat ini dapat mengukur sama ada matlamat terdahulu itu mempunyai potensi untuk dicapai atau sebaliknya. Ini disebabkan oleh penetapan matlamat yang kabur dan tidak mempunyai garis panduan yang tertentu. Contohnya, jika penilaian yang dilakukan menunjukkan terdapat kelemahan dalam penggunaan kemudahan teknologi maklumat maka pendekatan yang lain cuba diaplikasikan bagi mengatasi kelemahan tersebut. Sejajar dengan ini, matlamat sekolah dapat dilihat sama ada berjaya atau tidak setelah penilaian yang dijalankan.
2.2.2 Teori Resapan Inovasi
Salah satu lagi teori yang berkaitan dengan penggunaan komputer dalam kalangan guru ialah teori resapan inovasi. Teori Resapan Inovasi digunakan dalam kajian ini untuk melihat tahap penggunaan komputer dalam pengurusan akademik, faktor-faktor perbezaan demografi yang mempengaruhi penggunaan komputer dan mengenal pasti masalah penggunaan komputer dalam kalangan guru terhadap sifat-sifat inovasi komputer.
Teori ini dipelopori oleh Everett M. Roger. Resapan merupakan proses sesuatu inovasi dihubungkan melalui saluran-saluran tertentu mengikut masa dalam kalangan ahli-ahli sesebuah sistem sosial. Sesuatu inovasi mungkin berupa idea, teknologi atau kaedah atau teknik-teknik tertentu. Terdapat empat elemen utama dalam teori resapan, antaranya :
1. Inovasi
2. Saluran komunikasi
3. Masa
4. Sistem sosial
Soal inovasi perlu diambil kira dalam memperkenalkan sesuatu yang baru. Hal ini meliputi faedah yang akan diperolehi daripada inovasi yang diperkenalkan. Soal kesesuaian inovasi juga perlu dipertimbangkan sebelum disebar kepada khalayak umum di samping melihat juga tahap kesukaran sesuatu inovasi untuk dipelajari oleh bakal penerima dan bagaimana keupayaan untuk mencuba inovasi tersebut. Terakhir dalam soal inovasi ialah kebolehlihatan inovasi oleh ahli-ahli masyarakat yang terlibat. Secara ringkasnya, teori ini membincangkan dengan mendalam bagaimana sesuatu yang baru sama ada dalam bentuk idea, teknologi, barangan atau teknik-teknik berkembang sehingga dapat diterima dan diamalkan sepenuhnya oleh masyarakat.
Kajian Afifah Hamdzah (2005) menggunakan Teori Resapan Inovasi dalam kajiannya yang bertajuk ”Pola Penerimaan Komputer Dalam Kalangan Kakitangan Organisasi Awam”. Kajian yang dijalankan dalam kalangan kakitangan teknikal Majlis Perbandaran Kuantan, mendapati kategori `orang yang ketinggalan??? atau laggards merupakan kategori penerima yang tertinggi berbanding dengan kategori penerima yang lain. Sifat-sifat penerima yang mempengaruhi pola penerimaan adalah sosio-ekonomi dan sifat kosmopolit. Sifat-sifat inovasi yang mempengaruhi penerimaan pula adalah faedah relatif dari segi menjimatkan masa, meningkatkan keupayaan memperolehi maklumat, lebih pilihan cara mendapatkan maklumat, mengurangkan kos, keselesaan dan mudah menjalankan kerja, kesepadanan, kerumitan dan kebolehcubaan.
Begitu juga dengan kajian yang dibuat oleh Abdul Wahab Ismail Gani et al. (2006) yang bertajuk “Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran-Pembelajaran Dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah: Satu Kajian Kes Di Pulau Pinang” yang menggunakan Teori Resapan Inovasi untuk melihat tahap penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru, faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan mereka untuk menggunakan komputer dalam proses pengajaran dan Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran-Pembelajaran pembelajaran serta melihat sikap guru terhadap sifat-sifat inovasi komputer.
2.3 KAJIAN-KAJIAN LEPAS
2.3.1 TAHAP PENGGUNAAN KOMPUTER DALAM KALANGAN GURU
Bagaimanakah tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru diukur? Melalui sorotan literatur yang dibuat, didapati tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru diukur dalam bentuk frekuensi dengan menggunakan komputer sama ada untuk pengurusan atau untuk pengajaran. Hasil sorotan juga memperlihatkan klasifikasi yang berbeza yang digunakan oleh penyelidik terdahulu dalam mengukur aspek penggunaan komputer dalam kalangan guru. Ada yang membahagikan penggunaan komputer kepada kegunaan pengurusan dan pengajaran, dan sebagainya. Kupasan tentang tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru dibuat dalam perenggan-perenggan seterusnya.
Nadarajan (2002) dalam kajiannya menggunakan 10 item untuk mengukur tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru sekolah menengah di Selangor. Antara aspek yang diukur adalah (a) penggunaan komputer untuk membuat bahan pengajaran, (b) penyediaan gambarajah menggunakan helaian hamparan elektronik, (c) penggunaan pemprosesan perkataan untuk menyediakan tugasan serta (d) penggunaan mel elektronik. Dapatan beliau menunjukkan penggunaan tertinggi adalah bagi aplikasi Pemprosesan Perkataan (M = 3.47) sementara penggunaan yang terendah adalah aplikasi simulasi (M = 2.96). Secara keseluruhan beliau merumuskan tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru masih di tahap sederhana.
Dapatan kajian ini juga disokong oleh Baharin Abu dan Lim Lih Hoon (2010) yang menunjukkan bahawa guru-guru mempunyai keyakinan dan pengetahuan yang tinggi dalam penggunaan komputer seperti Ms.Word (Pemprosesan Perkataan) diikuti oleh perisian Internet Explorer, Ms. Powerpoint dan Ms.Excel. Kajian juga menunjukkan bahawa guru-guru masih kurang mahir menggunakan perisian seperti Macromedia Flash, CAD, Adobe Photoshop, MS Access, SPSS dan Authoware.
Begitu juga dengan kajian oleh Johari dan Zaliza (2010) yang mendapati bahawa majoriti responden adalah berkemahiran dalam menggunakan program Microsoft Word, Excel serta Microsoft Powerpoint dalam menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih efektif. Dapatan ini diperkuatkan lagi oleh kajian yang dibuat Abdul Rahim Hamdan dan Muhamad Azam Jaafar (2011) yang menunjukkan tahap penggunaan komputer dan internet dalam kalangan guru adalah tinggi dan perisian yang sering digunakan adalah Microsoft Word dan Microsoft Powerpoint. .Maka, daripada dapatan-dapatan kajian ini, ianya jelas menunjukkan bahawa majoriti guru-guru telah mempunyai asas dalam penggunaan komputer iaitu sekurang-kurangnya mereka mempunyai tahap kemahiran yang tinggi dalam perisian Microsoft Office.
Rosnah Alias (2003) dalam kajiannya pula telah mengukur tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru sejarah sekolah menengah kepada lima jenis penggunaan iaitu untuk (a) aktiviti pengajaran, (b) menyediakan bahan pengajaran, (c) perkeranian, (d) mel elektronik dan (e) melayari laman web. Dapatan beliau menunjukkan kekerapan penggunaan komputer yang paling tinggi adalah untuk tujuan perkeranian iaitu sebanyak 70.2%. Manakala sebanyak 61.7% untuk melayari Internet, 55.3% untuk menyediakan bahan pengajaran, 37.2% untuk mel elektronik dan hanya 11.7% untuk aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini disokong oleh kajian Johari dan Zaliza (2010) yang juga mendapati guru masih kurang menggunakan komputer untuk menyediakan persediaan mengajar iaitu masih ada yang menggunakan buku rekod mengajar. Begitu juga dengan kajian yang dibuat oleh Johari & Siti Norazlina (2010) terhadap 87 orang guru di tiga buah sekolah menengah luar bandar di daerah Kulai Jaya, Johor yang mendapati para guru lebih cenderung menggunakan komputer dan ICT untuk penggunaan peribadi sahaja dan bukan untuk tujuan Pembelajaran dan Pengajaran (PdP).
Manakala, hasil dapatan kajian yang dijalankan oleh Zaidatun Tasir dan Lim Bee Yeok (2010) pula menunjukkan bahawa tujuan utama guru-guru menggunakan komputer adalah untuk melaksanakan tugasan sekolah iaitu untuk PdP, namun tahap penggunaannya berada pada tahap yang sederhana. Dapatan ini selaras dengan kajian yang dibuat oleh Melvina dan Jamaludin (2010) yang mendapati pengetahuan dan kemahiran guru-guru Bahasa Melayu dalam menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran berada pada tahap yang sederhana.
Sehubungan itu, kajian Nazamuddin Alias (2004) terhadap guru-guru Sains di sekolah menengah bahagian Kuching/Samarahan juga mendapati guru-guru mempunyai tahap pengetahuan, kemahiran dan latihan sedia ada yang sederhana. Penyelidik juga mendapati tahap keperluan pengetahuan dan latihan adalah besar dan tahap keperluan kemahiran adalah sederhana. Justeru, suatu program latihan yang tersusun dan komprehensif perlu dilaksanakan bagi menambah pengetahuan dan kemahiran asas serta penggunaan teknologi guru-guru sains dalam perkhidmatan.
Walaupun penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran masih rendah, namun guru menunjukkan minat dan persepsi positif terhadap komputer. Majoriti guru yang dikaji yakin komputer dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran dan bersedia untuk mengikuti kursus bagi meningkatkan pengetahuan mereka.
Namun demikian, kajian oleh Zainudin dan Muhammad Azam (2010) pula menunjukkan keputusan sebaliknya iaitu guru-guru sekolah menengah di Daerah Pasir Mas, Kelantan berada pada tahap penggunaan komputer yang tinggi untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Penyelidik juga beranggapan guru-guru memanfaatkan sepenuhnya kemudahan komputer yang ada di sekolah dan ini selaras dengan seruan kerajaan untuk menjadikan pendidikan negara kita ini bertaraf dunia. Ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Tina dan Lim Swee Kim (2004) yang mendapati bahawa penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran membolehkan pelajar bersikap aktif dalam pencarian maklumat dan membina pengetahuan daripada maklumat yang diperolehi serta berpeluang menghubungkaitkan pengetahuan merentas mata pelajaran tanpa disekat oleh masa dan jarak.
Jika dilihat dari aspek pengurusan pula, kajian yang dibuat oleh Lokman Bin Mohd Tahir & Azizah Binti Ismail @ Besar (2010) mendapati tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru besar di daerah Kuala Terengganu berada pada tahap memuaskan. Oleh itu, bagi membantu guru besar menguasai kemahiran komputer, pengkaji berpendapat bahawa sudah tiba masanya segala bentuk pengurusan maklumat di sekolah dijalankan dengan menggunakan komputer. Kemahiran komputer yang sedia ada ditambah dengan kemudahan literasi komputer pada masa kini akan dapat membantu pengurusan di sekolah. Kekerapan menggunakan komputer juga boleh membantu guru besar menjadi lebih mahir terutamanya untuk ???download ???dan ???upload??? fail dari mana-mana sistem komputer di Jabatan Pelajaran di Malaysia.
Bahkan, kajian yang dijalankan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM (2003) ke atas 206 orang pengetua, 818 orang guru Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dan 3043 pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 di beberapa buah sekolah menengah seluruh negara juga mendapati bahawa tahap kesediaan sekolah menengah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer masih di peringkat awal dan persepsi di kalangan guru dan pelajar sangat positif terhadap penggunaan komputer.
2.3.2 PERBEZAAN PENGGUNAAN KOMPUTER DARI SEGI FAKTOR
JANTINA DAN UMUR
Beberapa kajian telah dijalankan sejak dua dekad yang lalu mengenai penggunaan komputer dalam kalangan guru dari konteks pendidikan. Kajian-kajian yang telah dijalankan juga melihat dari segi faktor demografi yang mempengaruhi penggunaan komputer dalam kalangan guru iaitu faktor jantina dan umur.
Dilihat dari aspek jantina dalam kajian yang dibuat oleh Abdul Wahab Ismail Gani et al. (2006), keputusan kajian mendapati bahawa tiada perbezaan yang signifikan antara guru lelaki dan perempuan, antara kategori umur dan antara mata pelajaran major yang diajar dari segi penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Faktor tahap pengetahuan, sikap, personaliti, sokongan organisasi dan sifat-sifat inovasi komputer (faedah relatif, kesepadanan, kerumitan, kebolehcubaan dan keteramatan) didapati mempengaruhi penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru. Ini disokong oleh dapatan kajian yang dibuat oleh Zainudin & Muhamad Azam (2010) dan Abdul Rahim Hamdan & Muhamad Azam Jaafar (2011) yang juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina.
Sebaliknya, hasil dapatan kajian yang dijalankan oleh Zaidatun Tasir dan Lim Bee Yeok (2010) pula menunjukkan wujudnya perbezaan yang signifikan antara konstruk masalah berdasarkan jantina, namun tidak wujud perbezaan yang singnifikan mengikut jantina bagi konstruk pengetahuan dan sikap. Dapatan kajian ini selaras dengan kajian yang dijalankan oleh Lokman Bin Mohd Tahir & Azizah Binti Ismail @ Besar (2010) yang menunjukkan hanya aspek jantina sahaja yang menunjukkan perbezaan yang signifikan. Manakala, bagi aspek umur dan pengalaman mentadbir tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan. Justeru, jelas menunjukkan bahawa kajian yang dijalankan sebelum ini adalah boleh diterima iaitu kemahiran komputer bagi lelaki adalah mengatasi kemahiran komputer perempuan manakala bagi aspek umur dan pengalaman mentadbir tidak mempengaruhi kemahiran penggunaan komputer. Oleh demikian, kajian ini menjelaskan bahawa guru besar di daerah Kuala Terengganu mempunyai komitmen yang boleh dibanggakan dalam menjalankan tugas sebagai pengurus dalam kemahiran penggunaan komputer dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah.
Dilihat dari segi aspek umur pula, Othman B. Md. Johan dan Lukman Bin Dinyati (2011) dalam kajiannya ke atas 111 orang guru pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan di daerah Kluang mendapati bahawa terdapat perbezaan signifikan penggunaan computer berdasarkan umur. Dapatan kajian ini selaras dengan kajian yang dibuat oleh Jamieson-proctor et al.,(2006) ; Jimoyiannis and Komis (2007) dalam Gerd Wikan and Terje Molster (2011) yang turut menunjukkan bahawa perempuan terutamanya guru yang lebih berumur kurang menggunakan dan mengaplikasikan kemahiran ICT dalam urusan harian mereka. Ini disokong oleh Jaap de Koning dan Arie Gelderblom (2006) dalam kajiannya di Netherlands ke atas pekerja dari dua sektor iaitu sektor industri cetakan dan pemborong yang menunjukkan pekerja yang lebih berumur kurang menggunakan ICT dalam pekerjaan mereka berbanding dengan pekerja muda.
Walau bagaimanapun, dapatan-dapatan kajian ini adalah bertentangan dengan kajian yang dibuat oleh Hassan Saleh Mahdi dan Abdullah Sa???ad Al-Dera (2013) ke atas 46 orang guru yang berkhidmat di Najran University, Saudi Arabia yang mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara penggunaan ICT berdasarkan kepada faktor umur dan pengalaman. Dapatan kajian ini selaras dengan kajian yang dibuat oleh Philip Olu Jegede (2009) ke atas 467 orang guru dari 10 maktab perguruan di Nigeria yang turut mendapati tiada perbezaan sikap merentasi kumpulan umur. Ini disokong pula oleh Teo (2008) yang juga mendapati tiada perbezaan ketara di antara umur dan sikap guru-guru pra- perkhidmatan di Singapura.
Percanggahan pendapat dari dalam dan luar negara ini menimbulkan persoalan dalam membuktikan kerelevanannya dalam era masa kini. Oleh demikian, kajian terhadap faktor umur dalam mempengaruhi penggunaan komputer haruslah diberi fokus.
2.3.4 MASALAH-MASALAH PENGGUNAAN KOMPUTER DALAM KALANGAN GURU
Dalam era teknologi ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan bekalan kemudahan dan peralatan komputer di sekolah-sekolah. Justeru, peluang untuk menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran terbuka luas kepada guru-guru sekolah kini. Melalui latihan yang dijalankan, guru-guru turut diberikan pendedahan tentang kepentingan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran serta cara bagaimana menggunakannya dengan berkesan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001). Walau bagaimanapun, dapatan kajian lepas juga menunjukkan bahawa masih wujud masalah-masalah yang berkaitan dengan penggunaan komputer dalam kalangan guru. Persoalannya ialah sejauh mana masalah yang dihadapi oleh para guru dalam menggunakan computer dalam menguruskan hal-hal akademik?
Dalam kajian yang dibuat oleh Zaidatun Tasir & Lim Bee Yeok (2010), hasil dapatan menunjukkan bahawa guru-guru tidak mengalami masalah yang serius untuk menggunakan komputer dalam pengajaran mereka. Dapatan ini selaras dengan dapatan yang diperolehi oleh Muhamad Ridzuan (2006) terhadap guru-guru di sekolah menengah daerah Yan, Kedah. Dalam kajiannya menunjukkan bahawa guru-guru tidak mengalami masalah yang serius untuk menggunakan komputer dalam P&P Sains. Walaupun hasil dapatan menunjukkan para guru kurang bermasalah dalam penggunaan komputer tetapi masih lagi wujud beberapa masalah yang perlu diperbincangkan. Antara masalah yang wujud ialah:
i. Kekurangan kemudahan peralatan komputer boleh menghadkan penggunaan komputer dalam proses P&P.
ii. Terdapat kebimbangan guru terhadap keberkesanan P&P tercapai sekiranya kerap
menggunakan komputer sebagai alat untuk pengajaran.
iii. Kesukaran untuk menyesuaikan penggunaan komputer dengan aktiviti-aktiviti P&P.
iv.Wujud juga sebahagian guru yang tidak mempunyai kelapangan untuk menggunakan
komputer.
Kewujudan masalah-masalah ini disokong oleh dapatan kajian yang dibuat oleh Zainudin Bin Hassan & Muhamad Azam Bin Jaafar (2010) di daerah Pasir Mas, Kelantan yang menunjukkan responden sering menghadapi masalah dalam penggunaan komputer . Terdapat 9.1% sahaja yang tidak menghadapi masalah penggunaan komputer berbanding 78.7% peratus yang mempunyai masalah penggunaan komputer untuk proses pengajaran. Bahkan, masalah menggunakan komputer untuk pengajaran juga adalah tinggi. Dapatan kajian ini juga selaras dengan kajian yang dibuat oleh Johari Bin Hassan & Zaliza Bte Md Yasin (2010) dan Abdul Rahim Hamdan & Muhamad Azam Jaafar (2011) yang menunjukkan bahawa masalah penggunaan komputer adalah tinggi. Faktor-faktor kekangan utama penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti komputer sekolah sering diserang virus, bilangan komputer tidak mencukupi di sekolah, komputer dan mesin cetak di sekolah selalu rosak, sekolah kurang menganjurkan kursus dalaman berkaitan komputer dan tiadanya kemudahan LCD di dalam kelas.
Berikutan itu, Hajar (2004) dalam kajiannya juga menyatakan kewujudan sumber yang diperlukan di sekolah sahaja tidak cukup untuk menjamin penggunaan yang tekal dalam kalangan guru jika sekiranya kemudahan tersebut sukar untuk diakses. Menurut beliau, untuk meningkatkan kekerapan penggunaan inovasi, sumber tersebut mestilah boleh diakses dengan mudah seperti jarak yang dekat dengan makmal komputer, kemudahan komputer di dalam kelas dan sebagainya.
Sebaliknya, kajian yang dijalankan oleh Abdul Wahab Ismail Gani et al. (2006) menunjukkan faktor utama yang mendorong responden tidak menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran adalah disebabkan oleh kemudahan yang tidak mencukupi. Ini diikuti 14.9% (24 orang) disebabkan tidak bersedia untuk menggunakannya, 10.6% (17 orang) disebabkan tidak berkeyakinan menggunakannya, 9.3% (15 orang) disebabkan tidak pandai menggunakannya, 8.7% (14 orang) merasa komputer sesuatu yang membebankan dan 5.6% (9 orang) tidak berminat untuk menggunakannya.
Justeru, pengkaji berpendapat bahawa adalah penting masalah-masalah penggunaan komputer yang dihadapi oleh para guru dikaji dan diatasi dengan segera dengan harapan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia lebih proaktif dalam membekalkan komputer di sekolah dan mendedahkan guru yang sedang berkhidmat dengan latihan berasaskan komputer untuk menangani cabaran era siber pendidikan di Sekolah Bestari nanti.
2.4 KESIMPULAN
Berdasarkan kajian-kajian lepas yang telah dibincangkan , maka disimpulkan bahawa komputer memainkan peranan yang sangat penting kepada semua lapisan masyarakat berikutan berlakunya perkembangan teknologi maklumat yang amat pesat pada zaman kini. Memang tidak dinafikan bahawa penggunaan komputer dapat membawa banyak manfaat dan dapat memudahkan segala urusan dalam semua bidang terutamanya dalam bidang pendidikan masa kini. Dalam bab ini juga telah dikupas beberapa kajian lepas yang berkaitan dengan tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru, perbezaan penggunaan komputer dari segi faktor demografi dan masalah-masalah penggunaan komputer yang dihadapi oleh guru di sekolah. Pengkaji juga terdorong untuk melakukan kajian ke atas penggunaan komputer dalam kalangan guru dari aspek pengurusan akademik.
BAB 3
METODOLOGI KAJIAN
3.1 PENDAHULUAN
Bab ini akan membincangkan tentang kaedah yang digunakan dari mula kajian dilakukan sehingga selesai bagi mendapatkan data serta menganalisis bagi mendapatkan keputusan yang sah dan boleh dipercayai. Aspek-aspek yang dibincangkan adalah seperti reka bentuk kajian, sampel kajian, dan instrumen yang digunakan untuk mendapatkan data, prosedur kajian serta permodelan dan penganalisaan data.
Menurut Nasariah Mansor, et al. (2002), metodologi penyelidikan merupakan suatu kajian yang berbentuk deskriptif dengan menggunakan kaedah tinjauan untuk mendapatkan maklumat. Pengumpulan maklumat dalam kajian juga melibatkan proses yang memerlukan tempoh masa yang agak panjang, rumit serta mahal. Oleh itu, kegagalan menggunakan kaedah pengumpulan data secara efisien akan menghasilkan maklumat yang kurang relevan serta akan meningkatkan perbelanjaan sesuatu penyelidikan.
3.2 REKA BENTUK KAJIAN
Dalam penyelidikan, reka bentuk sesuatu kajian adalah teknik dan kaedah tertentu untuk memperoleh maklumat yang diperlukan dalam kajian. Fungsi reka bentuk kajian adalah sebagai panduan dalam sesuatu penyelidikan untuk mencari jawapan yang jelas terhadap persoalan-persoalan kajian. Dilihat secara khusus, reka bentuk sesuatu penyelidikan membincangkan bagaimana untuk mencapai sesuatu objektif penyelidikan. Reka bentuk juga merupakan keseluruhan rangka projek penyelidikan yang menyatakan apakah corak jenis kajian yang hendak dilaksanakan, jenis maklumat yang perlu dikumpul, daripada mana sumber maklumat boleh didapati dan dengan kaedah apa maklumat boleh diperolehi. Sekiranya penyelidikan direkabentuk dengan berhati-hati, reka bentuk akan memastikan bahawa maklumat yang diperolehi adalah sesuai dengan persoalan masalah yang ingin diselesaikan. Di samping itu, maklumat yang dikumpul akan diperolehi dengan kaedah yang paling berkesan (Mohd. Majid Konting, 2005). Oleh yang demikian, penyelidik mestilah menggunakan cara yang paling berkesan bagi mendapatkan maklumat yang berguna dengan perbelanjaan yang paling minimum. Kegagalan penyelidik menggunakan kaedah pengumpulan data dengan berkesan akan mengakibatkan penghasilan maklumat yang tidak tepat dan kabur. Keadaan ini kadangkala mengakibatkan penyelidik merasa kecewa dan mungkin gagal mencapai matlamat sesuatu penyelidikan disebabkan penggunaan kaedah atau metod kajian penyelidikan yang tidak berkesan.
Reka bentuk kajian ini pada keseluruhan adalah berbentuk kuantitatif jenis tinjauan yang bertujuan untuk melihat atau meninjau tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru dari segi pengurusan akademik di dua buah sekolah menengah di daerah Kuching, Sarawak. Dalam tinjauan ini, data-data telah dikumpul dengan menggunakan borang soal selidik yang diubahsuai dari Zaidatun & Lim (2010) dan ditadbirkan oleh penyelidik sendiri di tempat kajian. Penggunaan soal selidik digunakan kerana ianya dapat menghasilkan item-item yang konsisten serta boleh dipercayai. Menurut Mohd. Majid Konting (2000), kajian tinjauan digunakan untuk mengukur pembolehubah-pembolehubah yang berkaitan dengan sesuatu fenomena tanpa menyoal mengapa pembolehubah tersebut wujud. Selain itu, kaedah ini juga lebih cepat dari segi masa pengutipan data serta penyiapan tinjauan( Mohd. Majid Konting, 2005). Azam (2000) pula berpendapat bahawa kaedah ini merupakan kaedah yang berkesan bagi mendapat maklumat daripada responden selain membuat pemerhatian tingkahlaku mereka.
Strategi tinjauan ini juga sesuai digunakan kerana penyelidikan yang dijalankan ini hanyalah untuk membuat kenyataan umum tentang sesuatu populasi (Mohamad Najib Ghaffar, 1999). Justeru, pengkaji menyelaraskan teknik tinjauan terlebih dahulu untuk menentukan cara dan alat penyelidikan yang sesuai dengan praktikal dengan mengambil kira beberapa kriteria seperti faktor masa, kos dan peraturan-peraturan organisasi tempat kajian dijalankan.
Penyelidikan deskriptif pula merupakan penyelidikan yang bermatlamat untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku. Bagi mendapatkan maklumat mengenai sesuatu peristiwa yang sedang berlaku, kaedah deskriptif digunakan. Seringkali juga penyelidikan deskriptif bermatlamat untuk menerokai sesuatu bidang yang belum atau kurang dikaji. Sekiranya penyelidikan bermatlamat untuk menerokai sesuatu bidang, penyelidikan yang dijalankan adalah berbentuk penerokaan. Kaedah penyelidikan deskriptif tidak memerlukan usaha mengawal sesuatu olahan. Ini adalah kerana penyelidikan tidak menentukan terlebih dahulu faktor-faktor yang mendatangkan kesan ke atas sesuatu peristiwa (Mohd Majid Konting, 1993:96).
Dalam kajian ini, borang soal selidik telah digunakan untuk mengenal pasti tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru, maklumat demografi guru dan juga masalah-masalah penggunaan komputer di mana ia menjurus kepada objektif kajian ini. Amir Hasan Dawi (2006), berpendapat teknik menggunakan borang soal selidik mempunyai kelebihan dan kekurangan. Teknik soal selidik dapat merangkumi jumlah sampel yang ramai, lebih cepat dan sesuai untuk soalan-soalan yang sensitif. Namun penyediaan soalan-soalan mungkin memakan masa, tidak dapat mencungkil data secara mendalam dan kemungkinan sampel tidak mengisi borang soal selidik berkenaan.
3.3 POPULASI
Populasi ialah sekumpulan masyarakat yang mempunyai ciri-ciri yang spesifik (Azizi Yahaya et. al., 2007). Seseorang penyelidik mungkin tidak berupaya menggunakan semua anggota populasi dalam kajian. Oleh itu, wakil atau contoh am populasi yang dikenali sebagai sampel sahaja yang akan digunakan dalam kajian (Mohd. Majid Konting, 2000). Populasi dalam kajian ini adalah terdiri daripada guru-guru di kedua-dua buah sekolah menengah di daerah kuching, sarawak. Sekolah-sekolah tersebut ialah SMK Matang Jaya dan Kolej Abdillah.
3.4 PERSAMPELAN
Menurut wiersma(1995), bilangan sampel yang perlu dikaji perlu memenuhi jenis panduan minimum responden yang diperlukan dalam kajian. Dalam pemilihan sampel, terdapat empat kriteria yang perlu dipenuhi iaitu ;
i) Memenuhi matlamat kajian
ii) Boleh diukur
iii) Praktikal
iv) Menjimatkan masa dan kos
Jika populasi yang dikaji adalah besar, sampel yang dipilih haruslah mewakili populasi. Menurut Gag(1996), jumlah minimum responden bagi sesuatu kajian adalah bergantung kepada jenis kajian yang dijalankan iaitu semakin besar sesuatu populasi, semakin kecil peratus sampel yang diperlukan. Contohnya, jika populasi adalah 1500, maka sampel sebanyak 20% adalah memadai. Jika seandainya melebihi satu tahap (N=5000), maka saiz sampel seramai 400 responden sudah memadai.
Oleh itu, wakil atau contoh am populasi yang dikenali sebagai sampel sahaja yang akan digunakan dalam kajian (Mohd. Majid Konting, 2000). Menurut Mohd. Majid Konting (2004), persampelan merupakan strategi penyelidikan di mana penyelidik boleh mendapat maklumat mengenai sesuatu populasi daripada sebahagian individu yang menganggotai populasi tersebut. Sebahagian individu yang diambil melalui persampelan bagi mewakili sesuatu populasi yang dikaji dinamakan sampel.
Dalam menentukan sampel kajian ini, saya merujuk kepada Jadual Penentuan Saiz Sampel Krejcie dan Morgan (1970). Jadual penentuan saiz sampel ini diterima pakai oleh ahli akademik dan memudahkan pengkaji menentukan saiz sampel. Contoh jadualnya adalah seperti di bawah.
Pemilihan sampel dibuat dengan menggunakan kaedah persampelan rawak mudah kerana ia membolehkan semua guru mempunyai peluang yang sama untuk menjawab soalan kajian. Kenyataan ini turut disokong oleh Mohd Najib Abdul Ghafar (1999) yang menyatakan bahawa di dalam kaedah sampel rawak mudah, setiap orang mempunyai peluang untuk dipilih. Ini bermakna sejumlah guru lelaki dan perempuan telah dipilih secara rawak daripada dua buah sekolah tersebut. Semasa soal selidik dijalankan di sekolah-sekolah, guru-guru diberi pilihan sama ada untuk menjawab atau tidak berkenaan dengan soal selidik tersebut kerana dikhuatiri guru-guru terdapat kekangan seperti kekangan tugas.
3.5 INSTRUMEN KAJIAN
Kajian ini menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian. Borang soal selidik ini diedarkan kepada setiap responden yang telah dipilih secara rawak. Menurut Mohamad Najib (1999), instrumen yang baik seharusnya mempunyai ciri-ciri objektiviti, kesahan, kebolehpercayaan dan kepenggunaan serta lebih mudah dan efektif bagi kajian yang berbentuk kuantitatif tinjauan. Menurut Khalid Johari (2003) pula, penggunaan borang soal selidik adalah antara alat pengumpulan data yang banyak digunakan oleh penyelidik-penyelidik. Donald dalam Pugarnes, (2000) menyatakan bahawa terdapat banyak kebaikan menggunakan kaedah soal selidik. Antara kebaikannya adalah:
i. Soal selidik mengurangkan masa, menjimatkan kos dan senang mendapat kerjasama
responden.
ii. Soal selidik boleh melibatkan topik yang banyak serta boleh disampaikan ke lokasi
yang luas.
iii. Soal selidik menjamin maklumat yang diberikan adalah sulit dan hanya digunakan
untuk tujuan penyelidikan.
iv. Soal selidik tidak mementingkan perwatakan individu seperti yang diperlukan untuk
temuduga.
Bagi memenuhi keperluan kajian, soal selidik ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu :
Bahagian A: Mengandungi soalan-soalan yang berkaitan dengan biodata responden dan juga faktor-faktor demografi seperti jantina, umur, kelayakan akademik/ikhtisas dan pengalaman mengajar.
Bahagian B: Soalan-soalan yang dibina oleh pengkaji bagi mendapatkan maklumat mengenai tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru-guru sekolah menengah di daerah kuching, sarawak. Dalam bahagian ini , sebanyak 11 item telah dikemukakan dalam bentuk skala Likert 5 poin di mana nilai,
LIKERT
PENGKELASAN
1
Tidak Pernah (TP)
2
Jarang (JG)
3
Kadang-kadang (KK)
4
Kerap (K)
5
Amat Kerap (AK)
Pemilihan skala Likert 5 poin kerana ia membolehkan pengumpulan maklumat tentang darjah persetujuan responden terhadap tiap-tiap item yang digunakan. Selain daripada itu, skala Likert dikatakan mempunyai darjah kebolehpercayaan yang lebih tinggi. Dalam kajian ini, responden diminta membulatkan nombor yang paling sesuai dengan persepsi mereka. Keseluruhannya terdapat 11 item.
Bahagian C: Bahagian ini adalah mengenai masalah-masalah penggunaan komputer yang dihadapi oleh guru-guru di sekolah tersebut. Dalam bahagian ini , beberapa item dikemukakan dalam bentuk skala Likert 5 poin di mana nilai,
LIKERT
PENGKELASAN
1
Sangat Tidak Setuju (STS)
2
Tidak Setuju (TS)
3
Kurang Setuju (KS)
4
Setuju (S)
5
Sangat Setuju (ST)
Dalam bahagian ini, responden juga diminta membulatkan nombor yang paling sesuai dengan persepsi mereka. Keseluruhannya terdapat 9 item. Pecahan item secara keseluruhan dapat dirumuskan dengan jadual berikut:
Jadual 3.1 Pecahan Item Soal Selidik
Bahagian Nombor Item
Bahagian A
(Demografi Guru)
1, 2, 3, 4
Bahagian B
(Tahap Penggunaan Komputer Dalam Kalangan Guru)
Bahagian C
(Masalah Penggunaan Komputer Dalam Kalangan Guru)
1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10, 11
1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9
3.6 PROSEDUR KAJIAN
Prosedur kajian ialah langkah-langkah kajian yang perlu diambil oleh pengkaji untuk melaksanakan kajian dari awal hingga kajian berakhir. Ini termasuklah menyediakan proposal penyelidikan dan menganalisis data serta menyediakan laporan akhir penyelidikan. Segala prosedurnya perlu diperjelaskan secara terperinci dan satu persatu. Untuk menjalankan kajian ini, prosedur-prosedur kajian adalah seperti berikut:
i. Menyediakan kertas cadangan penyelidikan iaitu proposal.
ii. Mengenal pasti masalah dan menyatakan objektif.
iii. Mencadangkan persoalan dan hipotesis.
iv. Menyediakan instrumen kajian.
v. Memproses dan menganalisis data yang melibatkan pemprosesan maklumat daripada soal selidik yang diedarkan.
vi. Menulis laporan akhir kajian.
Dalam proses pengumpulan data, pengkaji perlu memohon kebenaran daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Negeri untuk menjalankan kajian di sekolah-sekolah yang terlibat. Setelah mendapat kebenaran daripada pengetua, soal selidik ditadbirkan sendiri oleh pengkaji dengan cara berjumpa dengan guru-guru di setiap sekolah yang terlibat. Pengkaji akan menerangkan tujuan kajian dijalankan dan borang soal selidik diedarkan kepada guru-guru berkenaan. Pengkaji memberi tempoh selama satu minggu kepada responden untuk melengkapkannya. Mereka diminta supaya mengisi borang soal selidik secara jujur. Semua soal selidik akan dikumpulkan semula apabila sampai tempoh seminggu yang diberikan. Menurut Mohd. Majid Konting (2000), data merupakan bahan mentah dan tidak memberi sebarang maklumat yang berguna mengenai sesuatu masalah dikaji kecuali ia dianalisis dengan menggunakan kaedah-kaedah statistik.
3.7 METOD ANALISIS DATA
Dalam kajian ini, analisis data bermula dari borang soal selidik yang diedarkan kepada responden untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan. Sebelum analisis dimulakan, borang-borang soal selidik akan ditapis dahulu untuk memastikan hasil yang diperoleh adalah tepat dan menjawab persoalan kajian. Selepas itu, data-data yang diperoleh dari soal selidik akan dikumpul dan dianalisis dengan menggunakan perisian ??? Statistical Package for Social Science (SPSS). Skor-skor mentah ini akan dianalisis dengan menggunakan kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai untuk menentukan tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru dari aspek pengurusan akademik.
Bagi melihat perhubungan antara pembolehubah-pembolehubah yang dipilih, penyelidik telah menggunakan statistik inferensi. Analisis statistik yang digunakan ialah ujian T dan ANOVA. Semua ujian statistik adalah dijalankan pada aras keertian p = 0.05. Jika nilai p < 0.05, perbezaan adalah signifikan. Namun, jika nilai p > 0.05, ini bermakna tidak terdapat perbezaan yang signifikan.
3.8 KAJIAN RINTIS
Kajian rintis merupakan satu bentuk kajian awal yang dilakukan sebelum kajian sebenar dijalankan. Menurut Lee King Chuan (2009), kajian rintis (pilot study) merupakan kajian secara kecil-kecilan yang dilaksanakan sebelum kajian sebenar dilakukan. Oleh demikian, kajian rintis juga dikenali sebagai ???kajian mini??? bagi suatu kajian skala-penuh (full scale study) dijalankan.
Tujuan kajian rintis ini dijalankan adalah untuk menguji kesahan dan kebolehpercayaan item-item dalam soal selidik yang disediakan sebelum kajian dijalankan. Selain itu, kajian rintis ini juga digunakan untuk mengkaji masalah-masalah yang akan timbul sewaktu proses soal selidik. Menurut Drew & Hardman (1985), soal selidik yang terlalu panjang serta arahan yang tidak jelas akan menimbulkan kekeliruan kepada responden dalam menjawab soalan.
Menurut Wiersma (2000), bilangan sampel kajian sebanyak 30 orang responden adalah memadai untuk menjalankan sebuah kajian. Justeru, sebanyak 30 responden telah dipilih secara rawak dari sebuah sekolah yang telah dipilih dalam membantu kajian rintis ini. Guru-guru yang menjadi responden dalam kajian rintis ini adalah tidak terlibat dalam kajian sebenar. Maka, daripada kajian rintis yang telah dijalankan, didapati bahawa soal selidik yang digunakan mempunyai nilai alpha cronbach tinggi iaitu 0.728. Oleh itu, skor ini telah memenuhi piawai yang tinggi dan dapat dikatakan bahawa alat ukuran ini dapat digunakan dalam kajian sebenar yang akan dijalankan.
3.8.1 KEBOLEHPERCAYAAN
Kebolehpercayaan alat ukuran amat penting untuk diketahui kerana skor yang tinggi dapat menunjukkan tahap kepercayaan alat ukuran tersebut. Kaedah pekali alpha Cronbach merupakan salah satu cara untuk mengukur kebolehpercayaan sesuatu alat kajian. Menurut Weirsma( 1995), kebolehpercayaan bermaksud satu alat ukuran yang mengukur secara konsisten sesuatu yang hendak diukur iaitu kaedah, keadaan dan skor-skor urutan itu adalah konsisten.
Menurut Best dan Khan (1986), nilai pekali alpha Cronbach yang melebihi 0.6 boleh dianggap mencukupi untuk menerima kebolehpercayaan item tersebut. Uma (1992) pula menjelaskan bahawa semakin hampir nilai pekali alpha cronbach kepada angka 1, semakin tinggi kebolehpercayaan sesuatu instrumen itu. Kaedah ini telah menetapkan bahawa piawai alat ukuran yang baik mesti mempunyai skor nilai pekali alpha cronbach yang melebihi 0.700. Hasil analisis kebolehpercayaan item dalam kajian ini ditunjukkan dalam jadual 3.1.
Jadual 3.1 Nilai kebolehpercayaan item mengikut pekali alpha cronbach
Aspek Bilangan Item Nilai pekali alpha cronbach
Penggunaan Komputer dalam Kalangan guru sekolah menengah dari aspek pengurusan akademik. 22 0.728
Jumlah 22 0.728
Berdasarkan jadual 3.1, nilai pekali alpha cronbach secara keseluruhan bagi 22 item ialah 0.728. Ini menunjukkan bahawa instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah mantap dan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi.
3.9 KESIMPULAN
Bab ini menghuraikan metodologi yang digunakan dalam kajian ini. Aspek yang dibincangkan ialah reka bentuk kajian, populasi dan persampelan, instrumen kajian, kajian rintis, prosedur kajian dan metod analisis data. Kajian ini merupakan suatu kajian deskriptif yang menggunakan satu set soal selidik sebagai instrument kajian dan tertumpu pada sampel populasi guru sekolah menengah di tiga buah sekolah menengah di daerah kuching. Item-item yang digunakan dalam kajian adalah digubal oleh pengkaji berdasarkan tinjauan bacaan dan penyelidikan sumber maklumat. Satu kajian rintis telah dijalankan bagi memastikan soal selidik yang digunakan mempunyai kebolehpercayaan dan kesahan untuk dijadikan sebagai alat kajian. Maklum balas responden yang diperolehi melalui jawapan soal selidik dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif yang bertujuan mendapatkan maklumat berkaitan tahap, perbezaan faktor demografi dan masalah penggunaan komputer dalam kalangan guru dari aspek pengurusan akademik.
BAB 4
DAPATAN KAJIAN
4.1 PENDAHULUAN
Bab ini membincangkan tentang keputusan analisis data yang dikumpulkan berdasarkan soal selidik yang telah diedarkan kepada responden-responden.
Analisis yang dijalankan ini adalah berdasarkan persoalan dan tujuan kajian yang dinyatakan dalam bab 1. Perbincangan mengenai dapatan kajian ini adalah hasil daripada respon 168 orang guru di SMK Matang Jaya dan Kolej Abdillah, Kuching, Sarawak mengenai penggunaan komputer dalam kalangan guru dari aspek pengurusan akademik di sekolah.
4.2 PROFIL SAMPEL KAJIAN
Sampel kajian ini adalah terdiri daripada 168 orang guru akademik biasa dari dua buah sekolah menengah harian di daerah kuching, Sarawak. Profil sampel kajian melibatkan aspek-aspek seperti jantina, umur dan kelulusan akademik.
Taburan bilangan responden mengikut jantina dijelaskan dalam jadual 4.1. Hanya 5 orang atau 16.7 % merupakan guru lelaki, manakala selebihnya iaitu seramai 25 orang atau 83.3 % merupakan guru perempuan.
Jadual 4.1 Taburan Bilangan Responden Mengikut Jantina
Jantina Kekerapan Peratus(%)
Lelaki 5 16.7
Perempuan 25 83.3
Jumlah 30 100.0
Jadual 4.2 di bawah pula menunjukkan taburan bilangan responden mengikut kategori umur. Guru-guru dalam lingkungan umur 20 ??? 29 tahun hanya seorang sahaja iaitu sebanyak 3.3 %. Manakala, bilangan guru yang paling ramai adalah dalam lingkungan umur 40 ??? 49 tahun iaitu seramai 17 orang atau 56.7 %. Seramai 8 orang guru berada dalam lingkungan umur 30 ??? 39 tahun iaitu sebanyak 26.7 % dan 4 orang guru atau 13.3 % guru berada dalam lingkungan umur 50 ??? 60.
Jadual 4.2 Taburan Bilangan Responden Mengikut Kategori Umur
Kategori Umur Kekerapan Peratus(%)
20 ??? 29 1 3.3
30 ??? 39
40 – 49 8
17 26.7
56.7
50 – 60 4 13.3
Jumlah 30 100.0
Seterusnya, jadual 4.3 menunjukkan taburan bilangan responden mengikut kelulusan akademik. Guru-guru yang berkelulusan ijazah sarjana muda merupakan responden yang paling ramai jumlahnya iaitu seramai 28 orang atau 93.3 %, diikuti oleh guru-guru berkelulusan ijazah sarjana yang hanya berjumlah 2 orang sahaja atau 6.7 %.
Jadual 4.3 Taburan Bilangan Responden Mengikut Kelulusan Akademik
Kelulusan Akademik Kekerapan Peratus(%)
Ijazah Sarjana Muda
Ijazah Sarjana 28
2 93.3
6.7
Jumlah 30 100.0
4.3 ANALISIS DESKRIPTIF BAGI PERSOALAN KAJIAN
Analisis deskriptif berikut adalah berdasarkan persoalan-persoalan kajian yang telah dikemukakan dalam Bab 1.
4.3.1 Persoalan Kajian 1:
Apakah tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru sekolah menengah
dari segi pengurusan akademik di daerah kuching?
Berdasarkan Jadual 4.4, didapati bahawa purata min tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru sekolah menengah dari segi pengurusan akademik di daerah kuching ialah berada pada skor min 3.81. Ini bermakna ia berada pada tahap penggunaan yang tinggi pada keseluruhannya. Walau bagaimanapun, jika dianalisis setiap satu jenis penggunaan komputer, didapati penggunaan emel, grafik dan hypermedia adalah berada pada tahap yang sederhana. Hal ini mungkin disebabkan guru-guru jarang menggunakan emel dalam menguruskan perihal berkaitan dengan pengurusan akademik dan jarang menggunakan grafik serta hypermedia untuk memperkayakan bentuk penyampaian dalam menguruskan perihal berkaitan dengan akademik. Manakala, tahap penggunaan komputer dalam kalangan guru dari segi penggunaan komputer sebagai alat utama dalam pengurusan akademik dan penyediaan dokumen-dokumen sekolah seperti menaip kertas soalan ujian, menganalisis peperiksaan, menyimpan rekod pelajar, menaip latihan modul serta kerja-kerja perkeranian menunjukkan tahap penggunaan yang paling tinggi dengan min melebihi 4.00 masing-masing. Hal ini disebabkan pada zaman era teknologi ini, Kementerian Pendidikan Malaysia sedang beralih langkah ke arah e-kerajaan yang banyak melibatkan aplikasi talian terus seperti Emis, Hrmis, SAPS dan banyak lagi. Di samping itu, penggunaan ICT dan Internet serta penggunaan perisian hamparan elektronik dan pelbagai perisian automasi pejabat juga menunjukkan tahap penggunaan yang tinggi dalam kalangan guru.
Jadual 4.4 Analisis Tahap Penggunaan Komputer Dalam Kalangan
Guru Sekolah Menengah Dari Segi Pengurusan
Tahap Penggunaan Bil. (%)
TP J KK K AK Min Tahap
1 Alat Utama 0 1
(3.3) 3
(10.0) 12
(40.0) 14
(46.7)
4.30 T
2 Menyediakan dokumen 0 0 1
(3.3) 9
(30.0) 20
(66.7)
4.63 T
3 Menggunakan ICT 0 1
(3.3) 9
(30.0) 14
(46.7) 6
(20.0)
3.83 T
4 Melayari Internet 0 1
(3.3) 10
(33.3) 13
(43.3) 6
(20.0)
3.80 T
5 Kerja Perkeranian 0 0 6
(20.0) 12
(40.0) 12
(40.0)
4.20 T
6 Menggunakan Emel 0 3
(10.0) 14
(46.7) 8
(26.7) 5
(16.7)
3.50 S
7 Maklumat dari Internet 0 2
(6.7) 8
(26.7) 15
(50.0) 5
(16.7)
3.77 T
8 Hamparan Eletronik 0 2
(6.7) 14
(46.7) 8
(26.7) 6
(20.0)
3.6 T
9 Menggunakan Grafik 0 6
(20.0) 15
(50.0) 5
(16.7) 4
(13.3)
3.23 S
10 Perisian Automasi Pejabat 0 3
(10.0) 6
(20.0) 12
(40.0) 9
(30.0)
3.90 T
11 Hypermedia yang pelbagai 0 9
(30.0) 9
(30.0) 9
(30.0) 3
(10.0) 3.20 S
Min Keseluruhan 3.81 T
(Nota: TP-Tidak Pernah, J-Jarang, KK-Kadang-kadang, K-Kerap,AK-Amat Kerap)
RUJUKAN
Abdul Wahab Ismail Gani, et al. (2006). Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran
pembelajaran Dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah: Satu Kajian Kes Di Pulau Pinang. Kajian Malaysia, Vol. Xxiv, No. 1 & 2
Abdul Rahim Hamdan & Muhamad Azam Jaafar (2011). Komputer Dan Internet Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran. Universiti Teknologi Malaysia. Journal of Educational Social Science, Volume 4 December 2011, Pages 1
Ab. Malek Kassim (2002). Penggunaan komputer di kalangan guru sekolah menengah di daerah Gemas, Negeri Sembilan. Projek Penyelidikan Sarjana Pendidikan. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Afifah Hamdzah (2005), Pola Penerimaan Komputer di Kalangan Kakitangan Organisasi Awam: Kajian Kes Kakitangan Teknikal Majlis Perbandaran Kuantan, Tesis Sarjana: Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Ahmad Bakeri Abu Bakar (2003), Narrowing the Digital Divide: The ASEAN Approach, Building A Knowledge Society: Value Creation Through People, Knowledge and ICT, Kumpulan kertas kerja dalam Seminar Kebangsaan Teknologi Komunikasi dan Maklumat, 21-22 Oktober, 2003, Kuala Lumpur: International Islamic University Malaysia.
Amir Hasan Dawi (2006), Penteorian Sosiologi dan Pendidikan, Edisi ketiga. Quantum
Books, Perak.
Baharin Abu & Lim Lih Hoon (2010). Tahap Pengetahuan Dan Penggunaan Komputer
Dalam Kalangan Guru-Guru Di Tiga Buah Sekolah Menengah Teknik Di Kuala Lumpur. Fakulti Pendidikan : Universiti Teknologi Malaysia
de Koning, J., & Gelderblom, A. (2006). ICT and older workers: no unwrinkled relationship. International Journal of Information Management, 27(5), 467 – 490.
Dewan Bahasa dan Pustaka ( 1995 ). Kamus Dewan Edisi 3. Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia.
Drew, C.J. & Hardman, M.L. (1985). Designing and conducting behavioral
research. Oxford: Pergamon press Inc.
Dzulkifle Bin Ismail (2010). Penggunaan Komputer Di Kalangan Guru-Guru Kemahiran Hidup Dalam Urusan Kerja Di Sekolah-Sekolah Kebangsaan Gred A Daerah Pontian. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Pendidikan.
Fairose Shamsudin (2006). Sikap guru-guru Bahasa Melayu terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran. Projek Penyelidikan Sarjana Pendidikan. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia
Hamzah Dollah (2003). Kesediaan guru Bahasa Melayu berbanding guru subjek lain
menyediakan persekitaran pembelajaran berasaskan komputer. Prosiding Seminar Aliran Terkini Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) 2003: 19-23.
Hassan Saleh Mahdi & Abdullah Sa???ad Al-Dera (2013), The Impact of Teachers??? Age, Gender and Experience on the Use of Information and Communication Technology in EFL Teaching, Canadian Center of Science and Education, English Language Teaching; Vol.6, No.6;2013,ISSN 1916-4742, E-ISSN 1916-4750
Jegede, P.O. (2009), Age and ICT-Related Behaviours of Higher Education Teachers in Nigeria. Issues in Informing Science and Information Technology. Vol.6: 771-777
Johari Bin Hassan dan Zaliza Bte Md Yasin (2010). Penggunaan Komputer Di Kalangan Guru-Guru Sekolah Menengah Di Daerah Seremban, Negeri Sembilan. Fakulti Pendidikan : Universiti Teknologi Malaysia
Johari Bin Hassan & Siti Norazlina Binti Kamisan (2010). Halangan Terhadap Penggunaan Komputer Dan ICT Di Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran (P&P) Di Kalangan Guru Di Sekolah Menengah Kebangsaan Luar Bandar Di Daerah Kulai Jaya, Johor. Johor : Universiti Teknologi Malaysia.
Krejcie, R.V dan Morgan, D.W (1970). ???Determining Sample Size For Research.???
Educational and Psychological Measurement.
Lee King Chuan (2009). Hubungan Antara Budaya Organisasi Dengan Prestasi Kerja: Satu kajian di Pasukan Polis Di Raja Malaysia, Universiti Utara Malaysia.
Lokman Bin Mohd Tahir & Azizah Binti Ismail @ Besar (2010). Kemahiran Penggunaan Komputer Dalam Kalangan Guru Besar Di Kuala Terengganu. Fakulti Pendidikan : Universiti Teknologi Malaysia
Mohd Majid Konting (2005). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka
Mohd Majid Konting (2000). ???Kaedah Penyelidikan Pendidikan.??? Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Mohd Najib Abdul Ghaffar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd. Majid Konting (1993), Kaedah Penyelidikan Pendidikan, c.2, Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Rashid Ravi Bax. (1987) . Adminitrative Uses Of Microcomputer In
West Malaysia Vocational and Technical Secondary School. Kajian Ilmiah Sarjana Sains , University of Iowa.
Melvina Chung Hui Ching & Jamaludin Badusah (2010). Sikap Guru Bahasa Melayu
terhadap Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pengajaran di Sekolah-sekolah Rendah di Bintulu, Sarawak. Jurnal Pendidikan Malaysia 35(1)(2010): 59-65
Mohd Khairuddin Bin Jamaluddin (2005). Kesediaan guru Bahasa Melayu menggunakan teknologi berasaskan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Projek Penyelidikan Sarjana Pendidikan. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhamad Ridzuan Bin Abu Bakar (2006). Amalan Penggunaan Komputer dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Matematik di Sekolah Menengah Daerah Yan, Kedah. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda.
Mohd. Fadzri Bin Mohd.Saffela (2006). Amalan Penggunaan Komputer oleh guru dalam proses P&P serta Pengurusan Maklumat Di Sekolah Menengah Dato Seri Amar Diraja, Muar, Johor, Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda.
Nasariah Mansor,et al. (2002). Aplikasi TM Dalam Pembelajaran Penulisan Ilmiah : Tinjauan Dari Aspek Kemahiran Dan Persepsi Pelajar. Dalam Prosiding Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Miri: IPG kampus Batu Lintang.
Nazamuddin Alias. (2004). Taksiran Keperluan Penguasaan Teknologi Maklumat Di
Kalangan Guru Sains Dalam Perkhidmatan. Jurnal Penyelidikan MPBL, Jilid 5, 2004.
Nor???Aini Ahmad (2007). Tahap kemahiran ICT dalam kalangan guru Bahasa Melayu sekolah menengah. Projek Penyelidikan Sarjana Pendidikan. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rogers, E.M. (2003). Diffusion of innovations (5th ed.). New York: Free Press.
Suwamee Mohd Solah (2006). Persepsi terhadap kesediaan dan tahap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam kalangan guru Bahasa Melayu di sekolah menengah kebangsaan bandar dan luar bandar. Projek Penyelidikan Sarjana Pendidikan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Timothy Teo (2008). Pre-service teachers’ attitudes towards computer use: A Singapore survey. Australasian Journal of Educational Technology, 24(4), 413-424.
Zulkifli dan Raja Maznah,(1994). Teknologi Komputer dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Zainudin Bin Hassan dan Muhamad Azam Bin Jaafar (2010). Penggunaan Komputer dan Internet Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Di Kalangan Guru Sekolah Menengah Di Daerah Pasir Mas, Kelantan. Fakulti Pendidikan : Universiti Teknologi Malaysia
Zaidatun Binti Tasir dan Lim Bee Yeok (2010). Tahap Pengetahuan, Sikap Dan Masalah Penggunaan Komputer Di Kalangan Guru Di Sekolah Menengah Daerah Alor Gajah. Fakulti Pendidikan: Universiti Teknologi Malaysia
ext in here…