Pesta Tanglung merupakan salah satu perayaan yang amat penting kepada masyarakat Cina selain sambutan Tahun Baru Cina. Pesta Tanglung juga dikenali sebagai Perayaan Pertengahan Musim Luruh dan Perayaan Kuih Bulan, secara tradisi ia menandakan berakhirnya musim menuai. Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari kelimabelas pada bulan kelapan menurut kalender Cina iaitu pada akhir bulan Ogos atau awal bulan September. Menurut kalendar Lunar, perayaan ini berada di tengah musim luruh Oleh sebab ini, perayaan ini juga dikenali sebagai Mid-Autumn Festival. Pada waktu tersebut, bulan adalah mengambang dan amat terang, maka menjadikan waktu yang sesuai untuk menikmati bulan yang cerah tersebut. (Sumber: Perayaan Orang Cina, Siri Malaysia Indah-Hari-hari Perayaan di Malaysia)
Antara makna asas yang terdapat dalam Perayaan Kuih Bulan adalah perhimpunan keluarga dan rakan-rakan yang datang bersama-sama atau menuai tanaman, kesyukuran bagi tuaian atau keharmonian, dan berdoa bagi bayi, pasangan, kecantikan, umur panjang atau masa depan yang baik. Menurut tradisi dan mitos, persekitaran perayaan ini adalah dibentuk mengikut tiga makna tersebut, walaubagaimanapun dari masa ke semasa tradisi berubah akibat perubahan dalam teknologi, sains, ekonomi, budaya, dan agama. Pada hari perayaan ini, keluarga Cina akan bertukar-tukar kuih yang dibuat seperti bentuk bulan. Nama perayaan ini diambil dari kuih kecil bulat yang dimakan pada hari itu. Orang Cina percaya masa itu, bulan penuh, besar, cantik dan cerah sekali. Oleh itu mereka merayakan hari itu dengan memakan kuih bulan, Kuih bulan dibuat mengikut bentuk bulan iaitu berbentuk bulat. (Sumber: Perayaan Orang Cina, Siri Malaysia Indah-Hari-hari Perayaan di Malaysia)
Perayaan Kuih Bulan dirayakan pada sebelah malam. Pada malam ini, kanak-kanak Cina membawa tanglung yang diperbuat daripada kertas berwarna-warni dan menggunakan dawai. Tanglung ada berbagai-bagai jenis dan saiz. Ada tanglung bentuk naga, kapal, terbang, perahu., bulan, ikan dan lain-lain lagi. Sebatang lilin dinyalakan di tengah-tengah tanglung itu untuk memberikan cahaya. Tanglung kelihatan cantik apabila lilin dinyalakan. Orang Cina Malaysia meraikan pesta ini dengan berkumpul di rumah bersama keluarga sambil bersembahyang, dan memakan kuih bulan, sementara kanak-kanak bermegah-megah dengan rekaan terbaru tanglung mereka. Pusat membeli belah dan mercu tanda di bandar seperti di Jalan Petaling akan dihias berwarna warni dengan ribuan tanglung yang dinyalakan, sementara pelbagai aktiviti lain kesemuanya menambahkan lagi suasana perayaan ini. (Sumber: Perayaan Orang Cina, Siri Malaysia Indah-Hari-hari Perayaan di Malaysia)
Salah satu hidangan istimewa pada perayaan Kuih Bulan merupakan Kuih Bulan itu sendiri. Kuih Bulan itu diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Salah satu tradisi perayaan Kuih Bulan adalah membuat serta mengongsi kuih bulan. Mengikut budaya Cina, bentuk bulan melambangkan kesempurnaan dan perpaduan. Oleh itu, perkongsian kuih bulan bulat di kalangan ahli keluarga memberi maksud kesempurnaan dan perpaduan keluarga. (Sumber: Perayaan Orang Cina, Siri Malaysia Indah-Hari-hari Perayaan di Malaysia)