PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Bab ini akan membincangkan tentang latar belakang kajian seperti pernyataan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, kepentingan kajian serta batasan kajian. Bagi kajian ini, pengkaji menekankan mengenai faktor-faktor yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen.
Pendidikan merupakan aspek penting dalam kehidupan manusia dimana berlakunya proses pemindahan ilmu. Tambahan pula, pada zaman kini masyarakat memandang tinggi terhadap taraf pendidikan seseorang dalam semua perkara. Hal ini sepertimana yang telah diperkatakan di dalam ayat suci Al-Quran bahawa seseorang yang memiliki ilmu pengetahuan akan memiliki darjat yang tinggi berbanding seseorang yang kurang pendidikan. Dengan itu, pusat tuisyen menjadi salah satu inisiatif kepada pelajar dalam mendapatkan ilmu pengetahuan di samping meningkatkan prestasi pencapaian mereka di sekolah. Kini, ibu bapa berlumba-lumba dalam menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan yang akan datang.
Pusat tuisyen merupakan satu institusi pendidikan persendirian atau swasta yang dikendalikan oleh seseorang ataupun sebuah organisasi tertentu. Sebelum ini, pusat tuisyen dikenali sebagai pendidikan swasta di Malaysia yang hanya ditubuhkan bagi pelajar-pelajar yang tidak dapat meneruskan pengajian di sekolah-sekolah kerajaan atas sebab seperti gagal dalam peperiksaan awam. Jadi, dengan melibatkan diri ke pendidikan swasta, pelajar yang gagal mampu mengambil semula peperiksaan dan seterusnya memperolehi sijil yang berkaitan. Namun kini dengan adanya perkembangan yang pesat, pendidikan swasta tidak lagi menjadi pusat pembelajaran alternatif bagi pelajar yang gagal tetapi telah menjadi pusat tuisyen yang kebanyakannya dihadiri oleh pelajar-pelajar sebagai pembelajaran tambahan.
Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) mendefinisikan pusat tuisyen sebagai satu institusi pendidikan yang khusus dalam memberikan pendidikan yang bercorak bimbingan yang mana akan membantu pelajar dalam menberi persiapan bagi mereka dalam menduduki peperiksaan. Oleh sebab itu, pusat tuisyen mendapat banyak permintaan dari pelajar khususnya pelajar-pelajar yang akan menduduki peperikasaan awam seperti Ujian Penilaian sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Mahzan (2004) mengatakan bahawa ibu bapa biasanya menghantar anak-anak mereka sekolah ke pusat tuisyen bertujuan untuk memastikan anak-anak mereka memperolehi keputusan yang cemerlang dengan mendapat gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan.
Dengan demikian, pusat tuisyen menjadi salah satu arternatif yang dipilih para ibu bapa untuk membantu pelajar dalam meningkatkan prestasi akademik mereka. Hal ini kerana, keberkesanan pengajaran dalam kelas tuisyen banyak membantu pelajar-pelajar untuk lebih memahami pengajaran guru di sekolah. Tambahan pula, bilangan pelajar di kelas tuisyen adalah sedikit dan persekitaran yang selesa berbanding bilangan pelajar di sekolah yang ramai dan suasana bilik darjah yang kurang selesa. Dengan itu dapat disimpulkan bahawa suasana dan keselesaan pelajar mampu meningkatkan kefahaman pelajar dan membantu pelajar dalam meningkatkan prestasi akademik mereka.
Berdasarkan kajian lepas, terdapat beberapa faktor utama yang mempengaruhi penyertaan pelajar ke kelas tuisyen. Antaranya ialah faktor keinginan diri sendiri (Mazliyana, 2006), faktor ibu bapa (Abdul Rahim dan Khoo Bee Chin, 2008) dan faktor rakan sebaya (Cynthia Kho Mei Ying, 2010). Berdasarkan kajian Mazliyana (2006), faktor utama yang mendorong pelajar mengikuti tuisyen ialah keinginan diri untuk meningkatkan prestasi pelajaran mereka dan memudahkan mereka membuat tugasan sekolah. Manakala bagi kajian Abdul Rahim dan Khoo Bee Chin (2008) pula mendapati faktor pendorong utama ialah faktor ibu bapa. Seterusnya kajian Cynthia Kho Mei Ying (2010) pula mendapati bahawa faktor rakan sebaya adalah faktor utama yang mendorong pelajar mengikuti kelas tuisyen.
Walau bagaimanapun, beberapa kajian lepas yang dibuat menunjukkan faktor utama yang berbeza mengikut lokasi penyelidikan. Jadi, dapat dirumuskan bahawa terdapat pelbagai faktor utama yang mendorong pelajar mengikuti kelas-kelas tuisyen di luar waktu persekolahan berkenaan. Dengan itu, penyelidik ingin mengkaji pengaruh faktor guru, ibu bapa dan rakan sebaya terhadap penyertaan pelajar di Pusat Tuisyen Kota Bharu.
1.2 Latar Belakang Kajian
Kini sistem pendidikan lebih menumpukan kepada peperiksaan yang mana mensyaratkan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang sahaja yang dibenarkan memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh. Tambahan pula, setiap kelas mempunyai bilangan pelajar yang ramai dan berkemungkinan seorang guru tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada setiap orang pelajar. Sehubungan dengan itu, tidak semua pelajar memperolehi pencapaian yang tinggi dan itu menjadi salah satu faktor kepada seseorang pelajar untuk mengikuti kelas tuisyen.
Hal ini kerana, dengan mengikuti kelas tuisyen pelajar mampu meningkatkan lagi pemahaman mereka mengenai sesuatu subjek yang dipelajari di sekolah. Oleh sebab itu, bilangan pelajar yang menghadiri kelas tuisyen kini semakin bertambah. Jika dahulu tuisyen dianggap sebagai kelas pemulihan kepada pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran, tetapi kini pelajar yang cemerlang juga turut serta dalam mengikuti kelas tuisyen untuk mengukuhkan lagi pencapaian akademik mereka dan sanggup berbelanja besar.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kelas tuisyen menjadi pilihan bagi setiap pelajar antaranya ialah pusat tuisyen mampu menyediakan kelas dan suasana pembelajaran yang selesa serta kondusif kepada para pelajar. Hal ini memberi satu keselesaan kepada para pelajar dari segi infrastruktur seperti penghawa dingin, keselesaan tempat belajar di dalam kelas dan sebagainya. Jadi, pelajar cenderung untuk menjadikan kelas tuisyen sebagai tempat untuk mengukuhkan lagi pengetahuan dan pemahaman mereka. Tambahan pula, pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam kelas tuisyen berbanding di sekolah. Hal ini kerana, keadaan persekitaran sekolah yang kurang selesa serta bilangan pelajar yang ramai sedangkan di kelas tuisyen bilangan pelajarnya adalah sedikit. Guru tuisyen pula dapat memberikan perhatian kepada setiap pelajar di dalam kelas tersebut.
Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong pelajar untuk menghadiri kelas tuisyen iaitu faktor guru, ibu bapa dan rakan sebaya. Kebanyakan pelajar ke kelas tuisyen di sebabkan faktor guru kerana mereka merasakan pengajaran guru kurang berkesan dan pelajar tidak dapat memahami dengan baik apa yang disampaikan. Manakala, ibu bapa juga seringkali menjadi faktor pelajar ke kelas tuisyen kerana keinginan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan sanggup berbelanja lebih. Akhir sekali, faktor rakan sebaya pula adalah kerana mereka lebih suka mengikuti tuisyen bersama rakan-rakan kerana mereka merasa lebih bersemangat dapat belajar bersama rakan-rakan.
Berdasarkan isu-isu yang terdapat dalam pemerhatian tersebut, pengkaji merasakan perlunya kajian dibuat untuk mengenal pasti pengaruh faktor utama terhadap penyertaan pelajar ke kelas tuisyen.
1.3 Pernyataan Masalah
Pada masa kini, semakin bertambah pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di seluruh pelusuk negara. Hal ini menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap pusat tuisyen oleh para pelajar. Dengan itu, masa di luar persekolahan mereka dipenuhi dengan kelas tuisyen sama ada tuisyen persendirian mahupun tuisyen khas bersama beberapa orang pelajar lain. Sepertimana yang diketahui, kebiasaannya pusat tuisyen mengenakan bayaran yang mahal terhadap perkhidmatan mereka kepada para pelajar namun masih ramai yang mendaftarkan diri ke kelas-kelas tuisyen. Hal ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang mempengaruhi diri pelajar untuk menyertai kelas tuisyen.
Oleh yang demikian, pengkaji ingin mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan kelas tuisyen mendapat sambutan yang tinggi oleh masyarakat. Berdasarkan kajian lepas, faktor ibu bapa dan rakan sebaya merupakan faktor utama yang menyebabkan pelajar ke kelas tuisyen. Maka pengkaji ingin mengetahui adakah faktor-faktor ini merupakan faktor utama pelajar ke kelas tuisyen atau terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan pelajar mengikuti kelas tuisyen.
1.4 Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti faktor utama pelajar melibatkan diri ke kelas tuisyen. Bagi mencapai matlamat tersebut, beberapa objektif telah dikenalpasti dalam merangka kajian ini, antara objektif kajian adalah sebagaimana berikut:
i. Mengenal pasti tahap faktor guru terhadap penyertaan pelajar ke kelas tuisyen.
ii. Mengenal pasti tahap faktor ibu bapa terhadap penyertaan pelajar ke kelas tuisyen.
iii. Mengenal pasti tahap faktor rakan sebaya terhadap penyertaan pelajar ke kelas tuisyen.
iv. Mengenal pasti faktor utama yang mendorong penyertaan pelajar ke kelas tuisyen.
v. Mengenal pasti sama ada wujud perbezaan yang signifikan antara jantina bagi setiap faktor terhadap penyertaan pelajar ke kelas tuisyen.
1.5 Persoalan Kajian
Berdasarkan objektif kajian yang dikemukakan di atas, terdapat beberapa persoalan kajian yang dapat dikupas dalam kajian ini. Persoalan kajian tersebut adalah seperti berikut :
1.5.1 Apakah tahap faktor guru dalam penyertaan pelajar ke kelas tuisyen?
1.5.2 Apakah tahap faktor ibu bapa dalam penyertaan pelajar ke kelas tuisyen?
1.5.3 Apakah tahap faktor rakan sebaya dalam penyertaan pelajar ke kelas tuisyen?
1.5.4 Apakah faktor utama yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen?
1.5.5 Adakah wujud perbezaan yang signifikan antara jantina bagi setiap faktor terhadap penyertaan pelajar ke kelas tuisyen.
1.6 Hipotesis Kajian
Berdasarkan objektif kajian, pengkaji mempertimbangkan beberapa hipotesis bagi menjawab persoalan kajian. Antaranya ialah seperti berikut :
Ho1 : Tidak wujud perbezaan yang signifikan di antara jantina bagi pengaruh faktor guru.
Ho2 : Tidak wujud perbezaan yang signifikan di antara jantina bagi pengaruh faktor ibu bapa.
Ho3 : Tidak wujud perbezaan yang signifikan di antara jantina bagi pengaruh faktor rakan sebaya.
1.7 Kerangka Konseptual
Pemboleh ubah Bebas Pemboleh ubah Bersandar
Rajah 1 : Kerangka Konseptual Kajian
Rangka konseptual di atas telah diadaptasi oleh pengkaji dalam menjalankan kajian ini. Pengaruh faktor guru, ibu bapa dan rakan sebaya telah menjadi pemboleh ubah bebas yang dihubungkait dengan faktor pelajar melibatkan diri ke kelas tuisyen. Pengkaji ingin mengkaji setiap pengaruh faktor untuk mengenalpasti pengaruh faktor yang utama penyertaan pelajar ke kelas tuisyen.
1.7 Kepentingan Kajian
Dapatan kajian ini diharapkan dapat menentukan tahap setiap faktor yang mempengaruhi penyertaan pelajar ke kelas tuisyen secara rawak. Secara khususnya, kajian ini diharap dapat menentukan faktor utama pelajar melibatkan diri ke kelas tuisyen samada disebabkan guru, ibu bapa atau rakan sebaya dalam meningkatkan pencapaian akademik di sekolah. Seterusnya dapat mengetahui sebab-sebab penyertaan mereka ke kelas tuisyen.
Sekiranya pengaruh guru merupakan pengaruh yang tertinggi dimana menjadi pengaruh utama terhadap pelajar dalam penyertaan ke kelas tuisyen, kajian ini boleh memberi kesedaran kepada guru supaya mempertingkatkan keberkesanan pengajaran di bilik darjah. Hal ini adalah penting agar pelajar-pelajar yang tidak berkeupayaan ke kelas tuisyen juga mampu meningkatkan prestasi akademik mereka seperti rakan-rakan yang ke kelas tuisyen. Pengkaji telah membuat pemerhatian dimana faktor keberkesanan pengajaran guru menjadi salah satu punca pelajar membuat keputusan untuk melibatkan diri ke kelas tuisyen di sebabkan pelajar tidak dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru. Jadi dengan adanya kajian ini, guru dapat mengenal pasti permasalahan yang berlaku dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
Di samping itu, kajian ini juga diharapkan dapat menjadi sumber rujukan dan panduan kepada pengkaji-pengkaji pada masa akan datang untuk membuat kajian tentang faktor-faktor yang mempengaruhi penyertaan pelajar ke kelas tuisyen. Hasil kajian ini juga sudah menjelaskan bukti-bukti yang kukuh sebab-sebab pelajar melibatkan diri ke kelas tuisyen.
1.8 Definisi Operasional
Bagi menjelaskan kajian ini, beberapa istilah telah disenaraikan untuk didefinisikan dalam bahagian definisi operasional ini.
1.8.1 Pengaruh Guru
Guru yang dimaksudkan oleh pengkaji ialah tenaga pengajar yang mengajar pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima yang melibatkan diri ke kelas tuisyen. Pengkaji ingin mengkaji sama ada pengaruh guru yang memberi kesan kepada penyertaan pelajar ke kelas tuisyen.
1.8.2 Pengaruh Ibu bapa
Kamus Dewan memberikan definisi ibu bapa sebagai orang tua iaitu emak dan ayah (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2000). Ibu bapa yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah ibu bapa kepada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima yang menyertai kelas tuisyen di pusat tuisyen Kota Bharu.
1.8.3 Pengaruh Rakan sebaya
Rakan sebaya yang dimaksudkan oleh pengkaji ialah rakan pelajar yang sama kelas bagi tingkatan satu hingga lima yang melibatkan diri ke kelas tuisyen dan mempengaruhi diri pelajar untuk turut serta melibatkan diri ke kelas tuisyen.Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), pelajar sebagai murid atau penuntut. Pelajar adalah golongan orang yang belajar atau menuntut di sekolah, maktab atau universiti. Pelajar juga bermaksud sesiapa yang berada di bangku sekolah dan bertujuan untuk mendapatkan pelajaran secara formal sama ada di sekolah rendah atau menengah. Pelajar dalam kajian ini merupakan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima yang menghadiri kelas tuisyen di Kawasan Kota Bharu.
1.8.4 Kelas tuisyen
Kelas tuisyen yang dimaksudkan ialah bimbingan tambahan yang diberikan kepada pelajar bagi mata pelajaran tertentu di luar waktu persekolahan. Kelas tuisyen ini berbeza dengan kelas tambahan kerana kelas tuisyen yang dimaksudkan ialah kelas tuisyen yang berbayar di luar persekolahan. Pengkaji ingin mengkaji sebab-sebab pelajar menyertai kelas tuisyen.
1.9 Batasan Kajian
Batasan kajian adalah batasan-batasan yang telah digariskan dalam kajian ini. Terdapat dua aspek yang wujud dalam batasan kajian iaitu aspek responden dan lokasi kajian.
Kajian ini tertumpu kepada faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima dalam penyertaan ke kelas tuisyen. Pengkaji memilih pelajar tingkatan satu sehingga pelajar tingkatan lima kerana mereka lebih mudah untuk memberikan kerjasama dan kajian yang dibuat boleh memberikan hasil yang memuaskan. Tambahan pula, pengkaji ingin mengetahui pelajar tingkatan berapakah yang lebih ramai menyertai kelas tuisyen. Kebiasaanya pelajar mula menyertai kelas tuisyen bermula tingkatan satu kerana pertambahan mata pelajaran mungkin menyebabkan prestasi pelajar merosot sekiranya tidak menyertai kelas tuisyen dalam mengukuhkan lagi topik yang telah dipelajari di sekolah.
Antara faktor yang menjadi subjek utama dalam kajian ini ialah faktor guru, ibu bapa dan rakan sebaya yang seringkali mempengaruhi diri pelajar dalam melibatkan diri ke kelas tuisyen. Lokasi kajian ini adalah tertumpu kepada pusat-pusat tuisyen di Kawasan Kota Bharu. Pengkaji memilih kawasan di Kota Bharu kerana pengkaji berpraktikum di kawasan tersebut jadi ini memudahkan borang soal selidik untuk di edarkan. Pengkaji memilih sampel seramai 80 responden secara rawak dari pusat-pusat tuisyen tersebut.
Batasan kajian ini wujud disebabkan batasan masa yang diberikan untuk melaksanakan kajian ini adalah terhad. Tambahan pula, pengkaji mempunya masa yang terhad untuk mengedarkan borang soal selidik kepada lebih ramai responden dan kekurangan kos untuk kajian yang lebih meluas. Justeru, pengkaji meletakkan beberapa batasan dalam menjalankan kajian ini supaya dapat berjalan lancar.
1.10 Rumusan
Sebagai kesimpulan, bab ini membincangkan faktor-faktor yang mendorong atau mempengaruhi pelajar dalam melibatkan diri ke kelas tuisyen seterusnya meningkatkan prestasi akademik pelajar. Oleh itu, pengkaji ingin mengkaji faktor-faktor seperti guru, ibu bapa dan rakan sebaya dan serta faktor utama yang mempengaruhi penyertaan pelajar ke kelas tuisyen. Pengkaji juga telah memaparkan kerangka konseptual bagi memberi gambaran mengenai kajian yang dijalankan.
Seterusnya Bab 2 menerangkan berkenaan kajian literatur atau sorotan kajian yang digunakan sebagai rujukan bagi mendapatkan pemahaman yang lebih jelas mengenai konsep-konsep yang ada dalam menjalankan kajian ini. Kajian literatur digunakan bagi menjadikan kajian lebih berkesan dengan adanya bukti-bukti dan fakta yang tepat berdasarkan kajian lepas tersebut. Bab 2 juga ada menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan pengaruh guru, ibu bapa dan rakan sebaya yang merupakan faktor yang dikaji dalam kajian ini.
Bab 3 pula menerangkan berkenaan kaedah yang digunakan dalam menjalankan kajian ini. Dalam bab ini, pengkaji menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan kaedah yang dipilih untuk menjalankan kajian bagi menjawab semua persoalan kajian. Pengkaji menggunakan borang soal selidik dalam pengumpulan data bagi mendapatkan skor min, mebuat perbandingan skor min dan ujian T. Aspek yang dibincangkan ialah reka bentuk kajian,, populasi, persampelan, intrumen kajian, kajian rintis, kebolehpercayaan dan kesahan, prosedur pengumpulan data dan penganalisisan data.
Bab 4 pula membincangkan hasil kajian yang diperolehi daripada analisis yang dilakukan pada borang soal selidik yang telah diedarkan kepada 80 orang responden. Dalam bab ini, pengkaji mengulas setiap hasil kajian yang diperolehi bagi setiap bahagian di dalam borang soal selidik. Pengkaji menerangkan lebih lanjut setiap hasil kajian bagi menjawab setiap persoalan kajian di dalam bab 1.
Akhir sekali bab 5 pula, pengkaji mengulas semula dapatan kajian secara keseluruhan yang diperolehi daripada perbincangan kajian di dalam bab 4. Kemudian pengkaji membuat kesimpulan bagi perbincangan yang dibuat dan beberapa implikasi serta mengemukakan beberapa cadangan untuk tujuan kajian pada masa akan datang.