Tragedi misteri seperti kehilangan pesawat MH370 yang berlaku di tanah kita, kita sebagai warga rakyat Malaysia mestilah menunjukkan keprihatinan kita serta berempati atas kepiluan dan kesedihan yang dirasai oleh anggota keluarga penumpang dan kru pesawat. Sokongan moral disertakan dengan doa daripada setiap individual tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa yang berlainan amat diperlukan untuk memperkuatkan semangat ahli-ahli keluarga mangsa tragedi ini.
Oleh yang demikian, program berdoa seperti Lawatan Mahabbah Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya telah dilangsungkan pada 18 Mac 2014. Program ini diwujudkan atas beberapa gabungan antara agama yang berlainan iaitu Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh. FGIS dianggotai oleh badan-badan agama tersebut seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Buddhist Maha Vihara, Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM), Malaysia Hindu Sangam dan Majlis Gurdwaras Malaysia dan dikoordinasi oleh Majlis Pusat Sathya Sai Baba Malaysia. Seramai 100 ahli FGIS yang berlainan agama telah menghadiri program tersebut untuk bersama-sama mendoakan keselamatan penumpang dan kru pesawat MH370 dengan mengikut cara masing-masing. Program seperti ini dapat mempertingkatkan perpaduan dalam masyarakat secara umum.
Pihak institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut mengadakan aktiviti berdoa iaitu ‘CLS Pray for MH370’ di ruang legar pintu masuk pusatnya. Melalui aktiviti ini, para pelajar dan staf diberikan peluang untuk menurunkan tandatangan serta menyampaikan kata-kata harapan, galakan, sokongan dan doa mereka kepada mangsa MH370 dan ahli keluarganya pada cermin kaca pintu masuk universiti. Menurut kepada salah satu penyelaras aktiviti Puan Ernisa Marzuki, aktiviti ini akan diteruskan sehingga pesawat MH370 dijumpai sebagai suntikan semangat dan kekuatan kepada pihak-pihak yang terlibat. Semangat kekitaan dalam masyarakat boleh diperlihatkan sebagaimana yang dikatakan oleh seorang pelajar dari Fakulti Ekonomi Dan Perniagaan, ‘Kita tidak dapat berbuat apa-apa tetapi sekurang-kurangnya kita boleh memberitahu bahawa mereka tidak berkeseorangan dan semua masyarakat dunia meratapi insiden ini.’
Selain daripada menunjukkan keprihatinan kita kepada insiden kehilangan pesawat tesebut, bencana banjir yang melanda di negeri-negeri terutamanya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu juga memerlukan keprihatinan dan bantuan daripada pelbagai pihak. Oleh itu, pertubuhan bukan kerajaan seumpama Islamic Relief Malaysia (IRM) telah menggembleng tenaga dengan sekumpulan sukarelawan dari MEPS, Malaysian Red Devil Fan Club, kakitangan dari UPM dan UniKL serta beberapa pelajar sekolah menengah untuk menjalankan beberapa misi bantuan banjir. Misi-misi termasuklah pengagihan barangan keperluan harian dan bekalan makanan, bantuan psikososial, usaha pembersihan serta usaha pembangunan semula infrastruktur asas bagi penduduk di sekitar negeri yang terjejas akibat musibah ini. Penglibatan diri daripada pelbagai pihak dalam misi ini amat mengagumkan kerana mereka sanggup untuk mengorbankan tenaga dan masa terluangnya bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Ini terbukti bahawa kesepaduan sosial masih dapat diperlihatkan walaupun berlakunya kejadian yang tidak diingini. Oleh demikian, semua pihak mesti menggembleng tenaga untuk mengekalkan integrasi nasional bagai bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.