1.1 Pengenalan
Dalam bab ini, pengkaji telah menghuraikan latar belakang kajian, pernyataan masalah mengenai peranan guru Bahasa Inggeris dan objektif kajian. Selain itu, bab ini membincangkan mengenai soalan kajian, kepentingan kajian dan batasan kajian. Turut dihuraikan mengenai definisi istilah kajian yang merangkumi istilah aplikasi kognisi, pengajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan dan Kaedah Pedagogi Hermeneutik dan juga rumusan.
1.2 Latar Belakang Kajian
Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua di Malaysia, telah diajar secara formal. Mata pelajaran tersebut wajib diajar dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 5. Menurut Robert (2007), Bahasa Inggeris sememangnya penting bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk memajukan negara bagi mencapai Wawasan 2020 supaya setanding dengan negara lain.
Selaras dengan pelaksanaan dasar pengajaran dalam Bahasa Inggeris ini, setiap warga Malaysia telah diseru untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kehidupan. Latihan yang berterusan memberikan keputusan yang positif. Dalam konteks ini, usaha yang tinggi diperlukan dalam menjadikan bahasa ini sebati dalam diri dan kehidupan kita di samping tidak memperendahkan Bahasa Kebangsaan yang tetap menjadi bahasa kebangsaan negara kita.
Menurut Atan Long dan rakan-rakan (2004), didapati bahawa hanya segelintir rakyat Malaysia yang boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Kadar ini juga telah menunjukkan bahawa amalan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris kurang diterapkan dalam kalangan bakal guru khususnya. Mereka tidak mempunyai keyakinan diri untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Sikap ini memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan pelajar yang akan diajar. Masalah akan timbul apabila guru yang mengajar Bahasa Inggeris ini ingin menyampaikan isi pengajaran kepada pelajar dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, dapat kita lihat bahawa amalan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dapat memberi kelebihan untuk mengukuhkan lagi kemampuan dalam Bahasa Inggeris.
Menurut Grasha (2005), ada baiknya juga sekiranya guru Bahasa Inggeris bertutur Bahasa Inggeris sepanjang masa mereka berinteraksi dengan murid di sekolah, walaupun di luar waktu pengajaran. Secara tidak langsung, murid akan terdesak untuk berkomunikasi dalam bahasa ini.
Oleh itu, guru harus memberi penekanan yang lebih dalam mengajar Bahasa Inggeris di sekolah. Guru perlu berbakat dan berseni dalam merancang dan menyampaikan pengajaran kepada murid yang berkebolehan. Selain itu, seorang guru perlu menyusun strategi agar segala isi pelajaran yang disampaikan dapat diproses oleh otak murid dengan lebih mudah. Dengan ini, akan membantu meningkatkan minat murid terhadap pengajaran guru.
Kognisi merupakan suatu proses mental digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Tahap perkembangan keupayaan kognisi bergantung kepada motivasi intrinsik dan ekstrinsik pelajar. Keupayaan kognisi harus diperkayakan melalui pelbagai teknik pengajaran. Penerokaan dan penimbaan ilmu pengetahuan amat bergantung pada proses mental yang aktif. Fungsi kognisi seperti persepsi, memori, bahasa dan pemikiran berkomunikasi, penaakulan, membuat keputusan dan aspek seperti kecerdasan emosi dan kesedaran adalah antara topik yang menyentuh pembelajaran (Mills, 2004).
Kognisi bersituasi merujuk kepada suatu pemikiran idea yang terletak dalam konteks sosial dan fizikal dan bukan dalam minda individu. Kognisi bersituasi dianggap suatu anjakan paradigma dalam pengajaran dan pembelajaran. Kognisi bersituasi mempunyai beberapa implikasi untuk sistem pembelajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia merangkumi kemahiran-kemahiran pemikiran yang tinggi, mewujudkan kesedaran dalam meningkatkan daya penaakulan ke arah penyelesaian masalah, menggunakan kemahiran-kemahiran metakognisi untuk melihat masalah pembelajaran.
Mengikut Neisser (2008), pendekatan kognisi menekankan pada proses mental dalaman. Maklumat yang diterima diproses melalui pemilihan, perbandingan dan penyatuan dengan maklumat lain yang sedia ada dalam ingatan. Penyatuan maklumat ini kemudian akan diubah dan disusun semula. Hasil pemikiran bergantung pada proses mental dalaman tersebut.
Ahli-ahli psikologi kognisi menekankan bahawa kita bukanlah penerima rangsangan-rangsangan yang pasif. Sebaliknya, otak kita akan memproses secara aktif maklumat yang diterima dan menukarkan maklumat kepada bentuk atau kategori baru. Seseorang itu seharusnya memaksimumkan penggunaan minda supaya dapat menjadi pemikir yang aktif. Sebagai manusia yang telah dikurniakan otak untuk berfikir, seharusnya dapat bertindak balas dengan sewajarnya apabila menerima sesuatu maklumat dan bersedia pula untuk berubah sikap jika kita dapati bahawa idea sebelum ini adalah salah atau negatif.
Aplikasi kognisi adalah amat penting dalam kalangan murid melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Murid’murid yang mempunyai kognisi yang tinggi akan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajaran. Selain itu, mereka juga akan menunjukkan pencapaian yang baik dalam akademik.
Kebanyakan guru di Sekolah Kebangsaan di daerah Seri Kembangan iaitu SK Taman Universiti mengalami masalah dalam mengajar Bahasa Inggeris dalam aspek penguasaan kognisi dan aplikasinya.
Menurut Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana (2011), hampir 60% murid di daerah Seri Kembangan mengalami masalah pembelajaran Bahasa Inggeris seperti tidak memahami apa yang diajar oleh guru, tidak pandai berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, tiada kecerdasan emosi dan kurang aktif. Masalah ini masih berlanjutan walaupun beberapa langkah telah diambil dalam meningkatkan minat murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Maka, timbul minat penyelidik untuk mengkaji sama ada masalah ini disebabkan oleh tiada pengaplikasian kognisi dalam kalangan murid atau sebaliknya. Kajian ini dilakukan di salah sebuah Sekolah Kebangsaan di daerah Seri Kembangan. Sekolah ini merupakan sekolah bandar yang dikategorikan sebagai gred A.
1.2.1 Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan
Menurut Hazita (2010), kita terpaksa akur dengan hakikat bahawa ramai murid kini lemah dalam Bahasa Inggeris, terutamanya murid di Sekolah Kebangsaan. Keadaan kini amat berbeza dengan suasana tiga atau empat dekad lalu yang menunjukkan murid pada waktu itu dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Kaedah pembelajaran yang tidak berkesan dan guru-guru yang tidak berkemahiran merupakan sebab-sebab utama murid di Sekolah Kebangsaan tidak mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.
Guru tidak menggunakan pelbagai kaedah pengajaran bagi menarik minat murid dalam mata pelajaran tersebut. Ada segelintir guru yang tidak bertutur dalam Bahasa Inggeris ketika mengajar di dalam kelas. Mereka banyak menggunakan bahasa ibunda dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Dengan ini, murid berasa kurang minat dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan tidak dapat menerima pengisian bahasa tersebut.
Ada murid yang berminat untuk cuba bercakap dalam Bahasa Inggeris tetapi disebabkan orang di sekeliling mereka tidak bercakap dalam bahasa tersebut, maka mereka segan untuk menggunakannya. Oleh itu, mereka terus tidak bercakap atau cuba bercakap dalam Bahasa Inggeris disebabkan tidak ada ‘lawan’ untuk mereka mempraktikkan bahasa tersebut. Akhirnya, mereka menjadi tidak mahir untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Murid-murid berasa malu dan segan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan bercerita Bahasa Inggeris dan lain-lain aktiviti yang berkaitan dengan Bahasa Inggeris. Ada murid yang menangis untuk tidak terlibat di dalam pertandingan bercerita. Ini menunjukkan bahawa guru tidak menerapkan minat dalam diri murid masa proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di dalam kelas ( Asmah, 2006).
Guru tidak kreatif sewaktu menyampaikan pelajaran. Dengan adanya pelbagai bahan multimedia, guru sepatutnya boleh membina pengajaran dan pembelajaran yang mampu menarik minat murid, walaupun pada asalnya murid tersebut tidak berminat. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak dapat membina pengajaran yang menarik. Murid dilihat sebagai individu yang sebenarnya masih belum dapat mengenal pasti minat dan bakat mereka. Justeru, guru perlu mendedahkan mereka dengan seberapa banyak perkara dan berusaha menjadikan perkara tersebut menarik.
Melihat kepada permasalahan ini, peranan amalan guru adalah amat penting dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan mengukuhkan kemahiran serta menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan murid di Sekolah Kebangsaan. Setiap guru perlu menguasai ilmu tatabahasa dan ilmu pedagogi bagi subjek yang mereka mengajar di sekolah.
1.2.2 Aplikasi Kognisi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Kognisi boleh didefinisikan sebagai proses intelektual. Kognisi berkait rapat dengan informasi yang diperoleh, ditukar, disimpan, dicungkil dan diguna pakai (Putri Zabariah, 2006). Apabila meneliti definisi ini, ia merupakan satu proses yang menterjemahkan keadaan sekeliling kepada sesuatu yang boleh difahami melalui kognisi.
Tahap kognisi menurut Bloom (1956), dibahagikan kepada enam bahagian seperti berikut:
i. Pengetahuan
ii. Kefahaman
iii. Penggunaan
iv. Analisis
v. Sintesis
vi. Penilaian
Berikut adalah penerangan tahap-tahap kognisi:
i. Pengetahuan
Tahap mudah bagi pelajar dalam domain kognisi ialah mengingat kembali, mengenal idea, fakta asas, definisi, teori, hukum, tarikh, peristiwa dan lain-lain daripada pembelajaran lepas. Istilah yang digunakan adalah seperti menyatakan, menerangkan dan melabelkan.
ii. Kefahaman
Tahap kedua domain kognisi ialah mengubah kefahaman daripada satu bentuk daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain, menyatakan idea-idea utama dalam ayat sendiri, menterjemah, memberi contoh kepada konsep dan menterjemah draf. Istilah yang digunakan adalah seperti memilih, menerangkan dan menulis semula.
iii. Penggunaan
Tahap ketiga kognisi ialah penggunaan maklumat. Tahap ini merujuk kepada menaplikasikan maklumat dalam situasi yang baru atau membina graf dari data-data yang diberikan. Contohnya, menyelesaikan masalah menggunakan prinsip, kaedah, hukum, teori dan formula.
iv. Analisis
Ciri menganalisis merupakan aspek yang memecahkan sesuatu yang kompleks kepada yang kecil, membezakan fakta daripada pendapat dan mengenali struktur organisasi. Istilah yang digunakan adalah seperti membezakan, memastikan dan memilih.
v. Sintesis
Tahap ini menyepadu, menggabungkan idea menjadi satu, menyelesaikan masalah dengan cara tersendiri, membuat ramalan dan membuat klasifikasi. Istilah yang digunakan adalah seperti membina, menghasilkan, menyusun dan mengembangkan.
vi. Penilaian
Tahap ini adalah kompleks dalam domain kognisi yang melibatkan membuat aspek pertimbangan, member rasional berdasarkan alasan dalaman atau luaran, mentafsir dan mengkritik. Istilah yang digunakan adalah seperti memilih, memberikan alasan dan kritikan serta membuktikan.
Kesemua tahap pembelajaran memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya pengetahuan berkaitan, dapat membantu guru mengembangkan tahap kognitif pelajar kepada tahap maksima. Selain itu, dengan mengetahui tahap dan kebolehan yang boleh dicapai oleh individu secara maksima akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran yang akan berlaku. Proses pemahaman dan berfikir secara kritis dapat diterapkan kepada setiap individu dengan lebih berkesan. Teori kognitif dapat diaplikasikan dengan lebih menyeluruh dengan tahap kebolehan dan keupayaan individu itu.
Proses pembelajaran dijalankan mengikut peningkatan tahap umur, kebolehan dan perkembangan individu. Dengan ini, pembelajaran secara teori dan amali dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan. Ini kerana proses pengajaran dan pembelajaran akan mencakupi kesemua kebolehan dan keupayaan mental dan fizikal setiap individu mengikut tahap perkembangan mereka. Implikasi yang didapati dengan pembelajaran berasaskan teori kognitif antaranya dapat membantu setiap individu mengingat semula apa yang telah tersimpan dalam ingatan mereka dan mengaplikasikannya untuk menyelesaikan masalah.
1.3 Pernyataan Masalah
Pada masa kini, guru-guru Bahasa Inggeris mengajar murid-murid di Sekolah Kebangsaan dengan pelbagai pendekatan dan strategi dalam mengaplikasikan kognisi dalam sesuatu situasi semasa menjalankan pengajaran di sekolah. Profesionalisme guru sebenarnya terletak pada ciri-ciri keperibadian yang baik, pengetahuan yang jelas berkenaan peranannya dan kemahiran yang sentiasa dipertingkatkan.
Kajian Lihanna (2005) di sebuah sekolah gred A di Kulim, Kedah pula mendapati 70% murid di sekolah tersebut masih tidak dapat menguasai apa yang diajar oleh guru Bahasa Inggeris di dalam kelas. Kajian beliau menunjukkan bahawa kemahiran guru-guru dalam pengajaran di dalam kelas bertumpu kepada buku teks sahaja. Keputusan ini menunjukkan tahap penguasaan dan pengetahuan guru mengenai kognisi masih tidak memuaskan.
Menurut Noriah (2005), masalah guru dalam pengajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan di Bachok, Kelantan, mendapati masalah utama yang dihadapi oleh guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris ialah untuk menangani jenis masalah yang berkaitan dengan murid, iaitu kelemahan penguasaan asas Bahasa Inggeris dalam kalangan murid, masalah pengaruh dialek, masalah malas dan tiada minat terhadap pengajaran guru di dalam kelas. Beliau juga mendapati 87% masalah pembelajaran Bahasa Inggeris oleh murid ialah masalah pengajaran guru dan 84.8 % murid tidak berminat untuk belajar Bahasa Inggeris.
Penglibatan guru yang kurang menyebabkan keseluruhan aktiviti kurikulum menjadi tidak teratur. Perbezaan kualiti dan kelayakan guru mempengaruhi pelaksanaan kurikulum secara berkesan. Latihan kursus yang kurang menyebabkan guru kurang memahami perkembangan murid-murid. Ekoran itu, pembelajaran sering menjadi tidak bermakna dan membosankan sehingga murid-murid enggan bersekolah. Hal ini menyebabkan kurikulum yang dirangka gagal mencapai matlamat yang dihasratkan.
Peranan guru Bahasa Inggeris tidak dapat dinafikan dalam perkembangan murid-murid secara menyeluruh. Guru yang mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan memainkan peranan yang penting dalam mengaplikasikan kognisi semasa mengajar di dalam kelas untuk memberi rangsangan kepada pembelajaran murid-murid.
Dengan ini, perkembangan domain intelek, afektif, psikomotor, jasmani, emosi, rohani dan sosial amat penting dalam perkembangan murid-murid dan bergantung pada guru dalam menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).
Selain itu, setiap guru juga memerlukan pengetahuan substantif, iaitu pengetahuan tentang apa yang ada dalam fakta atau konsep yang digunakan untuk menyusun idea dan maklumat tentang sesuatu tajuk dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris berkenaan. Hal ini bermakna setiap guru Bahasa Inggeris seharusnya memiliki pengetahuan substantif ini, terutamanya bagi tajuk-tajuk yang melibatkan isu-isu semasa.
Pengetahuan sintaktik, iaitu pengetahuan tentang cara bagaimana sesuatu perkara itu dibentuk dan dihasilkan berdasarkan prosedur, kaedah dan proses yang melaluinya, sesuatu kebenaran dan pengetahuan baru dapat dibina. Hal ini bermakna setiap guru Bahasa Inggeris mengukuhkan kefahaman konseptual murid dengan menggunakan contoh, analogi, hujah secara logikal dan berhujah menggunakan asas fakta yang tepat mengikut tahap pemikiran murid (Grasha, 2005).
Menurut kajian Kasmani Kassim (2006), pendekatan didik libur, iaitu pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dengan menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa akan disulam dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.
Manakala dari aspek pengajaran Bahasa Inggeris ‘Modul Language Arts’ diperkenalkan yang memberi penekanan tentang apresiasi bahasa melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan penyediaan bahan bantu mengajar. Pendekatan didik libur ini bukan sahaja boleh dijalankan pada waktu persekolahan, malah di luar waktu sesi pengajaran dan pembelajaran agar minat dan penglibatan murid sentiasa dipupuk setiap masa.
Oleh itu, pengkaji memikirkan perlu ada cara untuk mengetahui bagaimana guru di sekolah rendah mengaplikasikan kognisi dalam pengajaran Bahasa Inggeris serta cara murid menguasai kognisi dalam proses pengajaran tersebut.
1.4 Objektif Kajian
Penyelidikan ini dijalankan bagi mengkaji mengenai dua objektif seperti berikut:
a) Mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh guru dalam aktiviti lisan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan.
b) Mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh guru dalam aktiviti bacaan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan.
c) Mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh guru dalam aktiviti penulisan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan.
d) Menghuraikan cara guru menyelesaikan masalah dalam menjalankan aktiviti lisan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan.
e) Menghuraikan cara guru menyelesaikan masalah dalam menjalankan aktiviti bacaan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan.
f) Menghuraikan cara guru menyelesaikan masalah dalam menjalankan aktiviti penulisan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan.
1.5 Soalan Kajian
Kajian ini cuba menjawab soalan’soalan berikut:-
a) Apakah masalah yang dihadapi oleh cikgu dalam aktiviti lisan Bahasa Inggeris di sekolah?
b) Apakah masalah yang dihadapi oleh cikgu dalam aktiviti bacaan Bahasa Inggeris di sekolah?
c) Apakah masalah yang dihadapi oleh cikgu dalam aktiviti penulisan Bahasa Inggeris di sekolah?
d) Bagaimanakah cikgu menyelesaikan masalah dalam menjalankan aktiviti lisan Bahasa Inggeris di sekolah?
e) Bagaimanakah cikgu menyelesaikan masalah dalam menjalankan aktiviti bacaan Bahasa Inggeris di sekolah?
f) Bagaimanakah cikgu menyelesaikan masalah dalam menjalankan aktiviti penulisan Bahasa Inggeris di sekolah?
1.6 Kepentingan Kajian
Melihat kepada pemasalahan dan isu utama yang melanda Sekolah Kebangsaan pada masa kini amatlah membimbangkan. Justeru, perlu difikirkan cara yang sesuai untuk mengatasi masalah ini. Sebagai guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah yang sememangnya terlibat secara terus pentingnya memerlukan pendekatan yang difikirkan betul-betul berkesan untuk mengatasi masalah penguasaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran.
Hasil kajian ini boleh digunakan bagi membantu guru-guru mengajar Bahasa Inggeris dengan lebih efektif dan sistematik. Sekaligus memberi maklumat kepada pihak sekolah tentang cara-cara yang berkesan mengajar Bahasa Inggeris di sekolah.
Kajian ini memberi panduan dan maklumat kepada guru-guru mengenai kepentingan pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Guru akan menyedari bahawa setiap murid mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza. Selain itu, kajian ini memberi petunjuk kepada guru-guru dalam mengenal pasti dan memilih pendekatan, teknik serta strategi pengajaran yang digunakan dan perlu bercorak pelbagai jenis.
Selain itu, adalah diharapkan agar kajian ini dapat menyedarkan pihak sekolah tentang betapa pentingnya peranan guru di sekolah rendah dalam membentuk murid-murid yang berkualiti pada masa depan. Hasil dapatan kajian ini dapat memberikan ilham dan pengetahuan kepada bakal-bakal penyelidik mengenai keberkesanan pengaplikasian kognisi dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh guru semasa mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan.
Kajian ini juga memberikan panduan kepada para pendidik dan pihak sekolah mengenai cara memahami serta mengaplikasikan kognisi semasa mengajar di dalam kelas. Kajian ini merupakan salah satu kajian berbentuk kualitatif yang menggunakan Kaedah Pedagogi Hermeneutik dalam menginterpretasi masalah pengajaran Bahasa Inggeris di sebuah Sekolah Kebangsaan.
Kajian ini akan menjadi satu petunjuk kepada penyelidik pada masa hadapan dalam menggunakan Kaedah Pedagogi Hermeneutik untuk menjalankan kajian mereka. Mereka juga akan sedar kepentingan dan kekuatan Kaedah Pedagogi Hermeneutik dalam sesebuah kajian memandangkan analisis ini masih baru di negara kita.
1.7 Batasan Kajian
Batasan kajian ini hanya bertumpu kepada sebuah Sekolah Kebangsaan di daerah Seri Kembangan. Kajian ini dilakukan terhadap sampel-sampel yang telah dikenal pasti mempunyai masalah dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah tersebut. Sampel-sampel ini terdiri daripada 10 orang guru di sebuah sekolah yang yang telah dikenal pasti dan dipilih khususnya untuk memenuhi kriteria kajian ini. Jumlah sampel adalah terhad disebabkan kekangan masa kerana masa yang agak lama diperlukan untuk oleh 10 orang guru tersebut untuk menjawab soal selidik yang diberikan. Jadi, bilangan 10 orang guru ini akan digunakan dalam kajian ini.
Jumlah sampel yang terhad adalah suatu batasan kajian dalam kajian ini. Walau bagaimanapun, setiap sampel yang diberikan soal selidik diberi perhatian terperinci. Kajian ini berdasarkan kepada pekan Seri Kembangan dan tidak boleh digeneralisasikan dan tidak boleh digunakan untuk merangka dasar dalam bidang pendidikan dengan teliti kerana ia dijalankan dengan melibatkan sebuah Sekolah Kebangsaan sahaja.
1.8 Definisi Istilah Kajian
1.8.1 Aplilasi Kognisi
Kognisi merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Apabila meneliti definisi ini, ia merupakan satu proses yang menterjemahkan keadaan sekeliling kepada sesuatu yang boleh difahami melalui kognisi. Informasi yang diperoleh setiap hari dari dunia luaran disimpan di dalam minda. Apabila informasi diperlukan, informasi akan dicungkil dan diguna pakai pada masa yang diperlukan. Informasi tidak akan bermakna jika informasi yang disimpan tidak dapat dicungkil pada masa yang diperlukan. Jadi setiap proses kognisi saling berhubung antara satu dengan yang lain.
Dalam psikologi kognisi, pemerhatian digunakan untuk menghasilkan kesimpulan tentang faktor-faktor pemikiran, bahasa, maksud dan imej. Bidang psikologi kognisi cuba membina penjelasan yang formal dan bersistematik tentang keaslian dan fungsi proses mental kita.
Dalam konteks kajian ini, aplikasi kognisi ialah aktiviti pada guru Bahasa Inggeris dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan.
1.8.2 Pengajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan
Bahasa Inggeris diajar di semua sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini selaras dengan statusnya sebagai bahasa kedua di negara ini. Kementerian Pendidikan Malaysia (2001) menyatakan bahawa pengajaran Bahasa Inggeris adalah untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam situasi harian dan situasi kerja untuk meneruskan pendidikan tinggi.
Dalam konteks pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa pengantar kurikulum sekolah, peranan dan bimbingan guru memainkan peranan utama terhadap penguasaan bahasa murid. Proses pengajaran bahasa yang menarik boleh menyebabkan murid berminat untuk belajar dan mengamalkan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian (Mills, 2004). Pengajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan merangkumi aktiviti lisan, bacaan dan penulisan ke arah penguasaan bahasa kedua ini.
1.8.3 Kaedah Pedagogi Hermeneutik
Kaedah Pedagogi Hermeneutik dalam kajian ini adalah merupakan satu cara atau kaedah yang digunakan untuk menginterpretasi sesuatu teks. Pendekatan ini mengutamakan interpretasi kualitatif dan mendedahkan makna (lumensa) yang tersirat dalam sesebuah teks. Kaedah Pedagogi Hermeneutik juga dikenali sebagai pendekatan interpretif, iaitu percubaan dilakukan untuk mencari makna di sebalik sesuatu teks.
Kaedah Pedagogi Hermeneutik dapat ditafsirkan sebagai perlakuan manusia terutamanya bagi mencapai pemahaman yang mendalam tentang proses interaksi sesama manusia. Aspek memahami perlakuan manusia adalah merupakan suatu tugas yang mencabar dalam Kaedah Pedagogi Hermeneutik.
Interpretasi makna yang dibawa oleh teks adalah melalui proses ontopretasi, iaitu pergerakan daripada struktur luaran ke struktur dalaman untuk membongkar makna yang tersirat dalam teks (Suppiah, 2003). Dalam kajian ini, Kaedah Pedagogi Hermeneutik digunakan untuk menganalisis aplikasi kognisi dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan.
1.9 Rumusan
Dalam bab ini, pengkaji telah menghuraikan latar belakang kajian dan pernyataan masalah tentang peranan guru Bahasa Inggeris. Selain itu, bab ini juga telah membincangkan dua objektif kajian, dua soalan kajian, kepentingan kajian dan batasan kajian. Bab ini juga telah menerangkan tentang definisi istilah kajian yang merangkumi aplikasi kognisi, pengajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan dan Kaedah Pedagogi Hermeneutik.