Essay: al-Quaran

BAB 1

PENGENALAN

1.0 Pendahuluan

Kodifikasi wahyu yang ditanzilkan kepada nabi Muhammad s.a.w dinamakan al-Quran kerana ia dibaca dan satu ibadat, dinamakan al-Furqan kerana peranannya sebagai pembeza antara kebenaran dengan kebatilan. Dinamakan al-Kitab kerana ia ditulis dan dirakamkan dalam mushaf dan dinamakan al-Zikr kerana ia merupakan peringatan daripada Allah Azzawajalla. Al-Quran didefinisikan sebagai ‘kata-kata Allah Taala, diturunkan ke atas nabi Muhammad S.A.W dan membacanya adalah ibadah’ (Khairudin, 2012)

Al-Quran merupakan elemen terpenting di dalam kehidupan dan sumber ilmu pengetahuan yang memberikan pedoman bagi semua umat Islam. Al-Quran adalah rujukan dalam segenap aspek kehidupan. Penerapan nilai-nilai al-Quran sangat penting dalam masyarakat Islam. Lebih lanjut lagi, matlamat pendidikan al-Quran adalah untuk membina masyarakat yang bertaqwa, masyarakat berasaskan kasih sayang, menjalin dan memelihara persaudaraan, demokrasi dan masyarakat yang hidup berlandaskan garis panduan al-Quran (Asmawi Hj Ehsan, 2010).

Membaca al-Quran dengan betul dari segi tajwid dan makhrajnya supaya tidak terpesong pengertiannya adalah menjadi tuntutan agama ke atas orang Islam kerana membaca al-Quran dapat membentuk akidah dan akhlak individu. Membaca al-Quran juga menjadi suatu ibadah yang diberi pahala sehinggakan setiap huruf yang dibaca akan diberi sepuluh kebaikan oleh Allah kepada pembacanya, jika dibaca dengan sebutan yang betul dan mengikut kaedah bacaan dan mengikut tajwid (Asmawi, 2010). Oleh sebab itu, subjek al-Quran telah diajar di peringkat sekolah rendah lagi bagi mendedahkan para murid tentang kepentingan al-Quran.

Bagaimanapun tidak semua murid di sekolah rendah mampu menguasai bacaan al-Quran kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Kaedah Iqra’ yang dianggap terbaik pada era ini sebagai suatu wacana untuk mempelajari al-Quran (Mohd Alwi et al., 2003), terdapat juga sesetengah murid yang tidak mampu mengikuti Kaedah Iqra’. Hal ini disebabkan pelbagai faktor antaranya aras pengetahuan murid yang berbeza antara satu sama lain. Justeru, murid-murid lemah ini walaupun telah diberikan pengajaran pemulihan (dengan Kaedah Iqra’) masih lagi gagal menguasai al-Quran. Di sekolah, murid-murid yang gagal menguasai al-Quran ini dispesifikasikan sebagai murid pemulihan.

1.1 Kepentingan Belajar Dan Mengajar Al-Quran

Allah s.w.t mengurniakan nikmat kepada hamba-hamba-Nya melalui al-Quran. Fungsinya sebagai petunjuk dan hidayah sehingga membolehkan manusia mencapai kemajuan hidup (Asmawi, 2010) dan memperolehi nikmat di akhirat. Dalam satu riwayat, daripada Uthman bin ‘Afan r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda ;

” ”””””””””” : ”””” ”” ”””””” ””’? :”””””” ”””””” . ) ””””” ”””” ””””” ”” ”””” ” ””””””””” ”””””” ” ” ) .

Maksud: Dari Usman r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Orang yang terbaik di antara kamu ialah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.’
(HR. Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi & Ibnu Majjah)

Meneliti kandungan hadis di atas, matlamat penting pendidikan al-Quran ialah mendidik manusia agar mengabdikan dirinya kepada Allah s.w.t dan menjadi tanggung jawab bagi individu muslim mewariskan al-Quran kepada generasi seterusnya. Al-Quran adalah dasar dari agama Islam, maka menjaganya serta menyebarkannya bergantung kepada keyakinan dan dengan demikian keutamaan belajar al-Quran dan mengajarkannya telah diketahui dengan jelas (Muhammad Zakariyya, 2001). Mohd Zulkifli & Mohd Saidi (2008) menyatakan kegagalan membaca al-Quran dengan baik akan membawa kesan yang buruk terhadap individu muslim. Antaranya ialah tidak sah ibadah solat dan tidak sempurna ibadah-ibadah lain yang melibatkan bacaan al-Quran.

Melalui al-Quran Allah s.w.t mendidik manusia supaya yakin bahawa Allah sahaja sebagai Tuhan yang berhak disembah dan pada-Nya meminta pertolongan, iaitu dari segi Uluhiyyah dan Rubbubiyyah kerana hanya Allah s.w.t sahajalah yang maha berkuasa (Mohd Yusuf Ahmad, 2000). Selain itu, antara matlamat dalam sistem pendidikan hari ini ialah memberikan pendidikan al-Quran kepada murid-murid di awal usia untuk mendidik dan melentur jiwa mereka supaya dengan amalan pembacaan al-Quran ini akan membentuk akhlak dan peribadi yang luhur.

Muhammad Zakariyya (2001) menyatakan seseorang yang sentiasa membaca al-Quran akan mendekatkan dirinya kepada Allah kerana kesolehan dan rasa takutnya kepada Allah. Mempelajari isi al-Quran akan menambah perbendaharaan baru, meluaskan pandangan dan pengetahuan, meningkatkan perspektif baru dan kita akan menemui sesuatu perkara baru al-Suyuti (2011).

1.2 Pendidikan al-Quran di Sekolah

Berdasarkan Falsafah Pendidikan Islam, pengajaran dan pembelajaran adalah proses sepanjang hayat. Pendidikan ditafsirkan sebagai salah satu proses membina tamadun. Pendidikan dalam Islam bersifat holistik dengan menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat (Ahmad, 2003). Oleh itu, untuk melestarikan hasrat FPI tersebut penekanan terhadap penguasaan bacaan al-Quran dalam kalangan murid di sekolah sangat perlu diberikan perhatian.

Bidang Tilawah al-Quran dalam kurikulum Pendidikan Islam semakin penting berikutan daripada keprihatinan terhadap penguasaan al-Quran oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat semasa lawatan beliau ke KPM pada 30 Disember 2003 yang telah membawa kepada tercetusnya program j-QAF (Konvensyen Nasional PIPP Kedua 2008).

Antara objektif program ini ialah membolehkan semua murid sekolah rendah mengusai bacaan dan tulisan jawi serta matlamat utamanya murid khatam al-Quran sebelum tamat tahun enam (Halim Na’am, 2005). Penekanan bidang al-Quran ini berterusan hingga ke peringkat sekolah menengah. Berdasarkan kurikulum Pendidikan Islam KBSM, bidang al-Quran meliputi kemahiran bacaan, kefahaman, penghayatan dan amalan.

1.3 Murid Pemulihan

Terdapat pelbagai aras kecerdasan murid-murid dalam institusi pendidikan rendah dan menengah. Ada murid yang dianugerahkan dengan akal yang begitu cerdas sehingga mampu menyerap isi pelajaran dengan mudah sepertimana span menyerap air. Terdapat juga murid di pertengahan dengan aras yang sederhana. Golongan yang terakhir ialah murid lemah yang lambat menerima dan mencerna ilmu pengetahuan. Golongan lemah ini disebut sebagai murid pemulihan.

Menurut Syarifah Alawiah Alsagoff (1986), pemulihan ialah satu tindakan yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesukaran dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang diasingkan daripada sekolah biasa dan dalam darjah untuk pengajaran pembelajaran biasa.

Diantara objektif pemulihan ialah ;

1. Membantu murid mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu.
2. Memupuk serta mengembangkan sikap yakin diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.
3. Membantu murid mengubah sikap negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran.
4. Membolehkan murid menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dengan cara mengikuti aktiviti-aktiviti alternatif yang sesuai dengan mereka.
5. Membolehkan murid mendapat layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mental individu.
6. Membolehkan murid mendapat peluang yang sama dengan melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti sosial, sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.
7. Membolehkan murid meneruskan pelajaran mereka dalam sistem persekolahan biasa atau sekolah khas yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

1.4 Latar Belakang

Bidang pendidikan al-Quran di sekolah rendah adalah mata pelajaran asas yang termasuk dalam subjek Pendidikan Islam yang wajib dipelajari oleh semua murid Islam. Kajian ini memfokuskan penggunaan Kaedah Baghdadiyah dalam membantu murid-murid pemulihan menguasai al-Quran di Sekolah Kebangsaan Mambau, Seremban. Kajian ini dijalankan bagi membantu murid-murid yang lemah al-Quran untuk menguasainya dengan menggunakan Kaedah tradisional iaitu Kaedah Baghdadiyah memandangkan kegagalan murid-murid ini menguasai al-Quran melalui Kaedah Iqra”. Pemilihan Kaedah Baghdadiyah dilihat lebih signifikan dengan permasalahan murid-murid ini. Kajian ini juga mengambil kira beberapa aspek seperti faktor murid, latar belakang keluarga, minat dan kecenderungan mereka. Responden yang terlibat dalam kajian ini terdiri daripada 65 orang murid pemulihan dari darjah satu hingga enam iaitu 36 orang murid lelaki dan 29 orang perempuan. Diharapkan kajian ini dapat menyelesaikan persoalan tentang apakah Kaedah Baghdadiyah lebih sesuai digunakan untuk membantu murid-murid pemulihan ini menguasai al-Quran.

1.5 Pernyataan Masalah

Terdapat banyak kajian lepas yang memfokuskan tentang penguasaan Tilawah al- Quran di mana kebanyakannya melaporkan tentang kelemahan penguasaan Tilawah al- Quran dalam kalangan pelajar. Oleh yang demikian, pengajaran bidang al- Quran dalam Pendidikan Islam perlu diberikan perhatian yang lebih bagi melahirkan pelajar yang mahir dan menguasai bidang al-Quran selama 6 tahun pada peringkat sekolah rendah (Mohd.Aderi Che Noh, 2009). Beliau juga menyatakan kelemahan penguasaan Tilawah al-Quran pelajar akan terus wujud sehinggalah mereka menamatkan pelajaran pada peringkat sekolah menengah sekiranya bidang al-Quran tidak diberikan penekanan di peringkat sekolah rendah. Berdasarkan temu bual dengan Ketua Panitia Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Mambau iaitu En. Abdul Samad Yasin, pada 26 Julai 2014 yang menjelaskan bahawa SK Mambau adalah di antara sekolah yang mempunyai skor terendah dalam e-pelaporan untuk akhir tahun 2013. Di mana, SK Mambau mencatat skor yang tinggi bagi murid yang gagal membaca al-Quran dan tidak melepasi Iqra” Rentetan daripada itu, Ketua Panitia telah dipanggil untuk sesi taklimat khas yang diadakan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Port Dickson pada bulan Februari 2014 yang lalu khusus untuk membincangkan isu penguasaan murid dalam pendidikan Islam khususnya dalam bidang al-Quran.

Berikut adalah senarai murid pemulihan al-Quran berdasarkan analisis data e-pelaporan;

KELAS LELAKI PEREMPUAN JUMLAH

Tahun 1 10 7 17
Tahun 2 8 6 14
Tahun 3 7 5 12
Tahun 4 5 4 9
Tahun 5 5 2 7
Tahun 6 4 2 6

JUMLAH 39 26 65

JADUAL 1: Senarai murid pemulihan Tahun 1 – 6

Rentetan daripada itu, kajian ini berpaksikan kepada masalah berikut ;

1. Jumlah murid tidak celik al- Quran di SK Mambau amat membimbangkan.

2. Laporan daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Seremban, dalam e-Pelaporan pada akhir tahun 2013 menyatakan bahawa SK Mambau merupakan antara sekolah yang mencatatkan skor tertinggi bagi peratusan kegagalan menguasai bidang bacaan al- Quran.

Justeru, pengkaji berpendapat kajian ini wajar dilakukan bagi mengenal pasti penggunaan Kaedah tertentu yang boleh membantu mengatasi masalah utama yang melibatkan kelemahan murid pemulihan dalam menguasai subjek al- Quran.

1.6 Objektif Kajian

Berdasarkan perbincangan latar belakang kajian dan pernyataan masalah, maka kajian terhadap penggunaan Kaedah Baghdadiyah dalam membantu murid-murid pemulihan tahap 1 dan 2 menguasai al-Quran dijalankan berdasarkan objektif – objektif berikut:

1.6.1 Mengenalpasti keberkesanan Kaedah Baghdadiyah dalam membantu memulihkan murid-murid pemulihan menguasai kemahiran awal al-Quran.

1.6.2 Mengenalpasti cara membantu murid-murid pemulihan menguasai kemahiran al-Quran dengan menggunakan Kaedah Baghdadiyah.

1.6.3 Mengenalpasti tahap penguasaan murid-murid pemulihan dalam kemahiran al-Quran melalui Kaedah Baghdadiyah.

1.7 Persoalan Kajian

Antara persoalan kajian yang ingin dijawab dalam penyelidikan ini ialah :

1.7.1 Adakah Kaedah Baghdadiyah berkesan dalam memulihkan murid-murid pemulihan al-Quran ?

1.7.2 Sejauh manakah Kaedah Baghdadiyah membantu murid-murid pemulihan untuk menguasai al-Quran ?

Leave a Comment

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.