2.0 Punca peningkatan bilangan jenayah dalam kalangan remaja
2.1 Kurang didikan agama
Antara punca utama yang menyebabkan bilangan kes jenayah meningkat dalam kalangan remaja ialah kurang didikan agama. Cikgu Anelyza (2014) menyatakan bahawa hal ini demikian disebabkan generasi hari ini sudah mulai mengabaikan ajaran dan didikan agama kerana mereka berpendapat bahawa ajaran agama adalah jumud dan sudah ketinggalan zaman. Amirah Azah (2013) juga menyatakan remaja yang terlibat dalam kes jenayah disebabkan oleh ibu bapa sendiri yang jahil tentang agama yang menyebabkan kurangnya penghayatan dalam diri anak-anak. Disebabkan ibu bapa yang sibuk bekerja mengejar kemewahan sehingga tidak mempunyai masa untuk anak-anak menyebabkan anak-anak kurang penghayatan tentang agama dan nilai moral maka secara tidak langsung ini menyebabkan remaja keluar rumah untuk mencari kebebasan sehingga terjerumus ke arah jenayah seperti mencuri, pergaulan bebas dan sebagainya.
2.2 Pengaruh rakan sebaya
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan kepada berlakunya kegiatan jenayah dalam kalangan remaja yang semakin meningkat. Hal ini demikian kerana rakan sebaya merupakan antara orang yang paling rapat dalam kehidupan seseorang remaja. Siti Nurul Nabilah BT Mohamad (2017) menyatakan bahawa pada peringkat remaja, pengaruh rakan sebaya amat kuat dan menebal dalam jiwa mereka. Manakala menurut Muhd. Mansur Abdullah dan rakan-rakan (1988) telah menyatakan bahawa belia mempelajari sikap rakan sebayanya dan menyesuaikannya ke dalam personalitinya. Oleh itu, mereka akan lebih menurut ajakan rakan-rakan sebaya untuk mencuba sesuatu yang baru. Zuhail Abdullah (2013) juga menyatakan hal ini disebabkan remaja pada masa sekarang lebih mesra dengan rakan-rakan mereka berbanding ibu bapa mereka yang sibuk dengan urusan kerja atau lain-lain sehingga menyebabkan ada sesetengah remaja meluangkan masa hampir penuh bersama rakan-rakannya. Tambahan pula, Syahmin Adnan (2012) juga menyatakan bahawa jika remaja bijak memilih rakan yang dapat memimpin mereka maka mereka tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan tidak bermoral tetapi jika sebaliknya sudah pasti mereka juga akan berlakuan tidak bermoral. Oleh itu, golongan remaja haruslah bijak dalam memilih rakan sebaya kerana remaja mudah terpengaruh dengan rakan-rakan mereka.
3.0 Langkah mengurangkan bilangan jenayah dalam kalangan remaja
3.1 Peranan kerajaan
Pihak kerajaan merupakan tonggak utama dalam usaha mengurangkan bilangan kes jenayah dalam kalangan remaja yang kian meruncing. Bulan Hijau (2011) menyatakan bahawa undang-undang adalah cetusan kuasa kenegaraan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan pada amnya kebaikan sejagat manusia. Oleh itu, kerajaan memainkan peranan penting dalam menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan lebih ketat dan tegas. Sebagai contoh, kerajaan perlu bertindak lebih agresif dengan menghukum individu-individu yang terlibat dalam kes jenayah. Hal ini demikian kerana dengan adanya peranan pihak kerajaan seperti polis, RELA dan sebagainya dalam menguatkuasakan undang-undang, remaja akan takut untuk melakukan jenayah dan secara tidak langsung kes jenayah remaja dapat dikurangkan.
3.2 Penekanan terhadap pendidikan agama dan nilai-nilai murni
Bagi membendung masalah kes jenayah remaja, penekanan terhadap pendidikan agama dan nilai-nilai murni harus diberi keutamaan. Hal ini demikian kerana pendidikan agama yang kukuh dapat dijadikan perisai untuk melindungi remaja daripada daripada dipengaruhi oleh unsur negatif. Aveyn Toh (2012) menyatakan bahawa seseorang yang menjadikan agama sebagai landasan pembina akidah yang mantap dapat menangkis ancaman kemasukan gejala yang tidak sihat lalu mampu mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kegiatan jenayah. Contohnya, seseorang remaja tidak akan mudah terlibat dengan gejala yang tidak sihat jika diberi pendidikan agama yang secukupnya. Dengan adanya penekanan terhadap pendidikan agama dan nilai-nilai murni, bilangan jenayah remaja dapat dikurangkan.
4.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, pelbagai faktor yang menyebabkan peningkatan jenayah remaja iaitu kurang didikan agama dan pengaruh rakan sebaya. Namun begitu, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan jenayah remaja iaitu peranan kerajaan dan penekanan terhadap pendidikan agama dan nilai-nilai murni. Sekiranya masalah jenayah tidak dibendung dalam kalangan remaja, maka masa depan remaja juga akan rosak. Oleh itu, semua masyarakat perlu bekerjasama bagi membendung kegiatan jenayah remaja agar dapat melahirkan masyarakat yang hidup dengan harmoni dan tenteram.