1.0 pENGENALAN

Dewasa ini jumlah remaja yang terlibat dalam kes jenayah semakin meningkat. Hampir setiap hari kes jenayah yang melibatkan remaja menjadi viral di media massa. Menurut Kamus Dewan (2016) perkataan ‘jenayah’ didefinisikan sebagai perbuatan yang jahat dan salah di sisi undang-undang. Manakala ‘remaja’ pula bermaksud mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin (Kamus Dewan, 2016). Penglibatan remaja dalam jenayah sangat membimbangkan kerana mereka merupakan aset negara yang sangat berharga. Justeru itu, tujuan penulisan esei ini adalah memberi kesedaran kepada golongan remaja agar tidak terlibat dalam jenayah. Dalam esei ini juga, saya akan merungkai sebab-sebab peningkatan kadar jenayah dalam kalangan remaja serta cadangan mengatasi masalah tersebut.

2.0 Sebab-sebab peningkatan kadar jenayah dalam kalangan remaja.

2.1 Keruntuhan institusi kekeluargaan

Keruntuhan institusi kekeluargaan telah dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan jenayah dalam kalangan remaja pada hari ini. Ibu bapa merupakan orang yang paling penting dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang sempurna. Namun ibu bapa pada zaman ini dikatakan sibuk dengan urusan pekerjaan masing-masing. Hal ini menyebabkan mereka kesuntukan masa untuk berada di rumah dan kurang memberi perhatian serta kasih sayang kepada anak-anak. Keadaan menjadi lebih parah apabila segelintir ibu bapa menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya urusan mendidik anak kepada pembantu rumah dan guru di sekolah. Menurut Muhd. Mansur dan S. Nordinar (2010), ibu bapa beranggapan memang tugas para guru di sekolah melatih dan mengasuh anak-anak mereka. Sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan anak-anak mereka terabai dan kurang mendapatkan kasih sayang. Tambahan pula, kes perceraian ibu bapa telah menambah kepada kekalutan masalah ini. Akibatnya, remaja menjadi mangsa akhirnya mereka terjebak dengan kegiatan jenayah seperti gengsterisme dan sebagainya.

1
2.2 Pengaruh rakan sebaya.

Pengaruh rakan sebaya juga menyumbang kepada kadar peningkatan jenayah dalam kalangan remaja. Rakan sebaya merupakan individu yang paling penting dalam kehidupan seseorang remaja selain keluarga mereka. Kini kebanyakan remaja lebih banyak menghabiskan masa bergaul dengan rakan mereka berbanding dengan keluarga di rumah. Bagi remaja yang mempunyai keluarga bermasalah, mereka akan menjadikan rakan sebagai tempat mengadu dan berkongsi masalah. Rakan sebaya dianggap seolah-olah telah mengambil alih tanggungjawab ibu bapa kerana kurangnya kasih sayang. Muhd. Mansur Abdullah dan rakan-rakan (1988) telah menyatakan bahawa belia akan menyerap dan mempelajari sikap rakan sebayanya dan menyesuaikannya ke dalam personalitinya. Sikap remaja yang mudah mempercayai rakan sebaya menyebabkan mereka mudah untuk mengikut apa sahaja yang dilakukan oleh rakan mereka terutama sekali aktiviti yang tidak sihat tanpa memikirkan kesan pada masa depan.

3.0 Cadangan penyelesaian mengurangkan penglibatan remaja terlibat dalam jenayah.

3.1 Peranan Ibu bapa

Antara cadangan penyelesaian bagi mengurangkan penglibatan remaja dalam jenayah ialah ibu bapa haruslah memberi asuhan yang baik sejak kecil lagi.  Ibu bapa perlu bijak dalam mendidik anak dengan betul tidak kiralah dari segi fizikal dan rohani iaitu didikan agama agar tidak terjebak dalam jenayah. Cara paling baik mendisplinkan anak ialah dengan memberi kasih sayang dan bukannya menggunakan kekerasan. Ibu bapa juga perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak bagi menjamin hidup yang selesa. Dalam konteks keibubapaan, rumah ialah sebuah kubu, yang mana seluruh ahli keluarga berasa selesa, selamat dan diterima di dalamnya (Zaid Mohamad, 2010). Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah seterusnya mengelakkan mereka terlibat dalam gejala sosial. Melalui cara ini mereka akan merasa dilindungi dan mempunyai tempat mengadu bagi masalah mereka.  

2
3.2 Peranan Pihak berkuasa

Peranan pihak berkuasa sangat penting dalam mengurangkan kadar jenayah dalam kalangan remaja. Inisiatif Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) memperkenalkan ‘Konsep Bandar Selamat’ merupakan usaha yang proaktif. Konsep ini hanya ditumpukan kepada aspek keselamatan daripada berlaku kejadian jenayah di bandar-bandar (Kamalruddin Shamsudin, 2004). Pemasangan kamera litar tertutup di kawasan hitam yang telah dikenalpasti amat penting dalam membanteras kegiatan jenayah. Ini termasuklah penguatkuasaan undang-undang terutama sekali pemantauan oleh polis peronda pada waktu siang dan malam bagi mengelak remaja berkeliaran tanpa tujuan. Peruntukan undang-undang boleh dijadikan landasan terbaik untuk mencegah masyarakat daripada melakukan jenayah (Razalie Silam, 2015). Dengan adanya peruntukan undang-undang, maka penglibatan remaja dalam jenayah dapat dikurangkan. Seterusnya pihak polis juga perlu mengadakan kempen kesedaran antijenayah. Kempen ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama sekali golongan pelajar sekolah agar tidak terjebak dalam kegiatan jenayah.

4.0 Kesimpulan
Tuntasnya, peningkatan kadar jenayah dalam kalangan remaja yang membimbangkan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti keruntuhan institusi keluarga dan pengaruh rakan sebaya. Menurut Mohd Taib (2004), seluruh masyarakat bertanggunggjawab menangani isu ini. Oleh itu, semua pihak ditagih mengambil peranan dalam mengatasi masalah ini terutama sekali peranan ibu bapa. Saya juga menyarankan didikan agama dititikberatkan kerana ia mampu menjadi pendiding daripada remaja terjebak dengan kegiatan jenayah.

Leave a Comment

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.