1.1 Defini Jenayah
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi Ketiga, jenayah boleh ditakrifkan sebagai perbuatan kejahatan yang salah disisi undang – undang. Menurut (Mohd Dahlan A.Malek, 2010) artikel tersebut juga mendefinisikan jenayah ialah kesalahan yang dilakukan oleh seseorang dengan niat hendak melakukan kesalahan itu, maka dengan kesalahan itu, orang tersebut harus bertanggungjawab dan boleh dihukum dengan hukuman yang setimpal kerana melakukan perkara-perkara yang salah disisi undang-undang.
2.0 PUNCA PENINGKATAN JENAYAH YANG DILAKUKAN OLEH REMAJA
Banyak punca atau faktor-faktor yang boleh dikaitkan dengam peningkatan jenayah yang dilakukan oleh remaja. Antaranya adalah kurangnya didikan yang sempurna oleh ibubapa, pengaruh media massa dan banyak lagi yang boleh dikaitkan.
2.1 Kurangnya Didikan Yang Sempurna Oleh Ibubapa.
Menurut petikan (Roslan, 2011) keluarga merupakan antara pengaruh utama dalam kehidupan seseorang remaja. Punca ini juga boleh dikaitkan apabila ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan sehinggakan anak-anak terabai. Akibat kekangan masa yang diluang oleh ibu bapa terhadap anak-anak menyebabkan anak-anak mula berasa bebas kerana tiada pengawasan oleh ibu bapa mereka. Disebabkan ini, anak-anak mula bertindak diluar jangkaan lalu mudah terjebak dengan jenayah tanpa ibu bapa ketahui. Selain itu, anak-anak yang tidak mempunyai didikan agama yang lahir dari keluarga yang tidak mementingkan agama boleh mendorong ke arah peningkatan jenayah. Hal ini kerana, mereka sendiri tidak mempraktikkan ajaran agama dalam kehidupan seharian sehinggakan mereka tidak memahami keperluan agama (Hamimah, 2015).
2.2 Pengaruh Media Massa
Tidak dinafikan, kemudahan seperti internet, e-mel, televisyen dan radio memberi kemudahan untuk kita semua berkomunikasi, mencari maklumat dan hiburan. Akan tetapi, kesan negatifnya lebih daripada positif andai ianya disalahgunakan. Segala maklumat mudah diperoleh dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat. Menurut (Munir) media massa banyak menyebarkan fahaman seks yang keliru, ponografi, pornoaksi, kekerasan, keganasan yang melampau dan kehidupan yang liar iaitu yang menyimpang daripada budaya dan agama. Dengan
itu, ia boleh mendorong remaja ini ke arah melakukan jenayah seperti rogol, bunuh, pengedaran pil-pil khayal dan sebagainya.
3.0 CARA MENGATASI PENINGKATAN JENAYAH DALAM KALANGAN REMAJA
Antara langkah atau cara bagi mengatasi peningkatan jenayah dalam kalangan remaja adalah, perhatian yang sewajarnya daripada ibu bapa dan mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat.
3.1 Perhatian Yang Sewajarnya Daripada Ibu Bapa
Ibu bapa perlulah memantau serta mengatasi anak-anak mereka agar tidak terlalu memberi kebebasan dalam pergaulan. Dengan ini, ibu bapa dapat mengawal dan mendorong remaja dalam memilih rakan yang berkualiti kerana dengan mendapat rakan-rakan yang berkualiti dan baik akan mendorong remaja-remaja ini berkelakuan baik. Menurut (Illaina), ibu bapa tidak seharusnya melepaskan tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan mereka bekerja dan melepaskan tanggungjawab. Benarlah kata pepatah, ‘Melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Hal ini kerana, sekiranya remaja ini mendapat kasih sayang yang secukupnya pasti anak-anak ini tidak tergamak melakukan sesuatu yang tidak bermoral yang boleh menyebabkan ibu bapa kecewa. Oleh itu, tanggungjawab ibu bapa amatlah besar bagi membendung remaja-remaja ini untuk menghindarkan diri mereka daripada terlibat dengan jenayah.
3.2 Mewujudkan Konsep Bandar dan Pekan Selamat.
Dengan mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat adalah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, polis dan sebagainya (Illaina). Melalui pengawalan ketat ini sekurang-kurangnya dapatlah menakutkan remaja yang ingin melakukan kegiatan jenayah. Kamera litar tertutup juga turut dipasangkan bagi langkah berjaga-jaga dan boleh menjadi bukti sekiranya terjadinya kegiatan jenayah. Oleh itu, remaja akan berasa takut untuk melakukan jenayah.
4.0 KESIMPULAN
Masalah peningkatan penglibatan remaja dalam kegiatan jenayah pada masa kini berpunca daripada beberapa faktor antaranya adalah didikan yang kurang sempurna oleh ibu bapa, dan pengaruh media massa. Justeru itu, remaja ini haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa, kempen, motivasi dan sebagainya. Sekali gus, dapat memberi mereka pengajaran bahawa terlibat dalam kegiatan jenayah akan merosak masa depan mereka. Sesungguhnya remaja yang unggul dan berkualiti adalah remaja yang dapat membangunkan negara supaya lebih setanding dengan dan bebas dari jenayah besar.