Essay: Kesantunan berbahasa boleh ditafsirkan sebagai….

Kesantunan berbahasa boleh ditafsirkan sebagai sifat lemah-lembut, bersopan-santun, dan kehalusan budi pekerti yang dimiliki oleh seseorang penutur apabila berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang sopan dan beradab. Sifat-sifat sedemikian dapat menimbulkan perasaan hormat antara penutur dan juga individu yang berhadap dengannya. Hal ini kerana bahasa tidak dapat dipisahkan daripada konteks masyarakat ataupun tamadun disebabkan oleh peranan dan kepentingan bahasa dalam sesebuah masyarakat. Kesantunan berbahasa merupakan antara salah satu asas bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan saling bertolak-ansur. Di samping itu, negara akan disanjung oleh negara-negara luar.
Oleh sebab tatabahasa Melayu pada dasarnya disusun berdasarkan bahasa hikayat, Bahasa Melayu telah memiliki martabat sebagai bahasa besar sejak lebih daripada satu alaf. Pada abad ke-7 Masihi dan beberapa tahun selepasnya, Bahasa Melayu merupakan bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama, dan lingua franca bagi Kepulauan Melayu yang berada di bawah Kerajaan Sriwijaya. Bahasa Melayu telah mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu pada zaman Kesultanan Melayu dari abad ke-13 hingga abad ke-19, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan serta bahasa sastera tinggi. Manakala, pada abad ke-16 dan ke-17, Bahasa Melayu berjaya mencapai taraf bahasa antarabangsa. Antara fungsinya ialah sebagai bahasa diplomatik, bahasa lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia, dan akhir sekali, sebagai bahasa sastera.
Malangnya, berlaku penurunan darjat Bahasa Melayu daripada sebuah bahasa perhubungan luas menjadi bahasa vernakular pada zaman penjajahan di Kepulauan Melayu. Sistem pentadbiran dan undang-undang yang ada pada zaman kesultanan Melayu didasarkan pada asas kemelayuan telah diubah oleh penjajah dengan menggunakan sistem sekularnya. Ketika itu, Bahasa Melayu terbatas dalam jangkauan bidang ilmu dan kemahirannya. Hal yang demikian dirancang dengan kemas oleh penjajah, bagi menggelapkan masa hadapan anak watan yang berkemungkinan dapat muncul sebagai bangsa berwibawa yang akhirnya dapat membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan.
Dengan itu, menjelang negara memperoleh kemerdekaan, langkah-langkah bagi memartabatkan semula Bahasa Melayu telah diusahakan. Antaranya adalah dengan penubuhan Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang menetapkan dasar pendidikan kebangsaan dengan berteraskan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Perkara ini dijadikan asas dalam penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang selama 35 tahun menjadi dasar sistem pendidikan kebangsaan. Akta Pendidikan 1996 juga mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara.
Setelah mencapai kemerdekaan sehinggalah kini, Bahasa Melayu merupakan salah satu asas penting dalam pembinaan negara melalui tiga fungsi utamanya, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Jelaslah di sini bahawa pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan dalam mempersiapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang berupaya menjadi kenderaan bagi bidang-bidang utama tamadun bangsa dan negara.
Sebagai bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu merupakan asas terbentuknya konsep negara yang berdaulat dan faktor yang menyatukan rakyat untuk membentuk perpaduan kebangsaan, bak kata pepatah, bersatu teguh bercerai roboh. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pula telah menjadi alat komunikasi rasmi yang menggerakkan jentera pentadbiran kerajaan dalam membangunkan negara dalam pelbagai sektor terutamanya dalam pentadbiran, pendidikan, undang-undang dan kehakiman, serta media massa. Manakala sebagai bahasa ilmu, berlakunya pendemokrasian pendidikan apabila generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik.
Sebagai diundi yang diundi oleh rakyat dan dipercayai untuk menjadi suara dan wakil masyarakat, ahli-ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab yang besar di atas bahu mereka untuk memenuhi peranan sebagai pemimpin dengan meyakinkan. Secara tidak langsung, pemimpin menjadi seseorang yang dipandang tinggi dan menjadi idola bagi rakyat marhaen. Oleh yang demikian, para pemimpin haruslah menunjukkan sikap bersopan santun dalam segala tindak tanduk mereka, terutamanya apabila membahas isu-isu politik di Dewan Parlimen.
Terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan sikap ketidaksopanan segelintir ahli parlimen. Hal-hal sedemikian sering mendapat liputan penuh oleh media massa terutamanya apabila peristiwa tersebut berlaku di parlimen. Impaknya adalah hilang kepercayaan dan rasa hormat rakyat terhadap individu tersebut. Seterusnya, pengaruh ahli politik tersebut semakin berkurangan. Sejajar dengan arus pemodenan, teknologi komunikasi yang semakin canggih, membolehkan hubungan jarak jauh dan memudahkan komunikasi antara pihak yang berjauhan. Maka tidak hairanlah semakin ramai ahli politik yang menggunakan kemudahan laman sosial dengan tujuan untuk merapatkan hubungan dengan rakyat. Walaubagaimanapun, seringkali didapati sebilangan wakil rakyat yang tidak menjaga kesantunan bahasa apabila mengeluarkan komen di platform tersebut.
Hal yang sedemikian tidak seharusnya terjadi sekiranya pemimpin-pemimpin memahami skop kerja sebagai seorang wakil rakyat sepenuhnya. Sebagai individu yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal rakyat dan negara, wakil rakyat seharusnya berbudi bahasa dan bersopan santun dalam segala tindakan mereka tanpa mengira platform yang digunakan untuk mengeluarkan buah fikiran mereka, termasuklah di laman sosial. Pemimpin yang berbudi bahasa akan senantiasa menitikberatkan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi. Mereka akan bertindak dengan bijaksana untuk menjaga perasaan pelbagai pihak ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.
Hal ini amat penting sekali kerana pemimpin yang mengamalkan kesantunan yang tinggi, di samping menjaga hak-hak rakyat dengan baik, merupakan seorang pemimpin yang disanjung tinggi baik di dalam negara mahupun di luar. Pemimpin yang berbudi bahasa dapat meningkatkan imej negara kerana pemimpin negara lain akan kagum dan menghormati negara kita. Dengan itu, hubungan diplomatik dijalinkan dengan mudah, maka negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain. Secara tidak langsung, industri pelancongan negara juga akan meningkat. Justeru, jelaslah di sini bahawa pemimpin yang mengamalkan nilai kesantunan, secara tidak langsung, akan mewujudkan sebuah negara yang aman damai serta membangun dengan pesat.
Mengikut laporan Bank Dunia 1996, ekonomi negara-negara Asia yang tidak berbahasa Inggeris, iaitu negara-negara yang berbahasa sendiri, membangun dengan pesat. Contohnya, Korea Selatan, Malaysia, China, dan Thailand. Hal yang demikian menunjukkan bahawa bahasa Melayu terbukti mempunyai nilai-nilai ekonomi serta sains dan teknologi sehingga dapat bersaing dengan negara-negara lain di dunia. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil untuk menjadikan Bahasa Melayu sentiasa seiring dengan perkembangan baru dalam pelbagai bidang terutamanya dalam sektor ekonomi serta sains dan teknologi.
Antara faktor yang penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara ialah peranan bahasa. Bahasa merupakan medium penyampaian maklumat sains dan teknologi yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan dapat menjadi bahasa yang mampu membantu membangunkan perkembangan ekonomi serta sains dan tekonlogi. Hal ini kerana pemindahan maklumat berlaku melalui bahasa. Terdapat dua peringkat pemindahan maklumat yang berlaku di Malaysia, iaitu:
1. maklumat dibawa masuk dalam Bahasa Melayu daripada bahasa asing,
2. maklumat disampaikan kepada orang yang menggunakan maklumat itu, dalam erti kata lain, orang yang beroperasi dalam sektor ekonomi.
Salah satu industri penting yang dapat meningkatkan ekonomi negara ialah industri pelancongan. Sekiranya masyarakat tempatan mengamalkan kesantunan berbahasa, dengan secara tidak langsung, akan terpamer nilai-nilai positif seperti layanan yang sopan dan lemah lembut terhadap pelancong asing. Seterusnya, sudah tentu para pelancong akan mengingati saat-saat percutian yang menyeronokkan kerana merasakan kedatangan mereka dialu-alukan oleh masyarakat tempatan. Oleh yang demikian, individu-individu yang bekerja dalam industri pelancongan secara langsung mahupun secara tidak langsung, perlu sentiasa memainkan peranan mereka sebagai masyarakat tempatan yang peramah dan berbudi bahasa. Senario ini akan menjana ekonomi negara melalui industri pelancongan yang kian meningkat.
Di samping itu, Malaysia kini meletakkan sasaran untuk menjadi hab pendidikan, baik pada peringkat rantau Asia mahupun peringkat global. Sektor pendidikan memiliki peluang ekonomi yang cerah di Malaysia. Kementerian Pengajian Tinggi berhasrat untuk menambah bilangan pelajar antarabangsa yang berdaftar di dalam Institusi Pengajian Tinggi tempatan kepada 200,000 pelajar menjelang tahun 2020 daripada 80,000 pelajar yang berdaftar pada tahun 2010. Semua pelajar, termasuk pelajar asing, yang melanjutkan pelajaran di Malaysia mendapat peluang untuk belajar Bahasa Melayu secara rasmi di universiti masing-masing. Dengan penggunaan kesantunan bahasa oleh masyarakat setempat, pelajar asing akan mempunyai keinginan atau rasa ingin tahu untuk belajar bahasa indah ini secara formal. Hal ini akan menarik lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia, sekaligus membantu menjana ekonomi negara.
Bahasa merupakan alat yang menyimpan himpunan memori sesuatu bangsa dan menjadi kenderaan yang memindahkan sesuatu kebudayaan daripada suatu generasi kepada generasi yang akan datang. Dalam erti kata lain, aspek kesantunan bahasa melambangkan warisan kebudayaan bangsa. Antara aspek kebudayaan Melayu ialah kesantunan berbahasa yang menekankan kehalusan budi. Pelbagai karya persuratan dan juga tradisi lisan dirakamkan bagi menggambarkan kewujudan kesantunan bahasa. Contoh karya persuratan ialah sajak, pantun, syair, gurindam, dan seloka. Contoh bagi tradisi lisan pula ialah pelipur lara, wayang kulit dan menora. Walaupun seringkali bahasa yang digunakan tinggi, maksud tersirat karya-karya tersebut dapat difahami dengan jelas. Kewujudan ribuan karya persuratan Melayu dalam pelbagai bidang sejak ratusan tahun dahulu membuktikan wujudnya kesantunan bahasa sejak sekian lama.
Begitu juga dengan unsur tatacara dan peraturan tertentu dalam adat istiadat, majlis-majlis dan upacara-upacara yang diadakan oleh masyarakat Melayu sejak dahulu lagi seperti yang digambarkan dalam karya-karya persuratan Melayu lama yang dengan jelas menggambarkan penggunaan bahasa yang santun dan beradab. Antara unsur kesantunan bahasa yang diwarisi termasuklah penggunaan kata ganti nama diri, gelaran, panggilan hormat dan bentuk bahasa yang rasmi dalam pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan majlis serta upacara rasmi.
Konsep kesantunan tidak harus tertumpu kepada satu-satu bangsa sahaja kerana ia merentas budaya yang rencam. Komunikasi silang budaya terjadi apabila berlakunya proses komunikasi melibatkan pelbagai budaya. Segala komunikasi ini akan berlaku secara lebih toleransi serta mencapai matlamat yang maksimum jika amalan menjaga air muka, seperti lisan ataupun bahasa, pergerakan ataupun tingkah laku, serta mimik muka, dipegang oleh kalangan yang terlibat. Tahap silang budaya boleh diukur berdasarkan pandangan terhadap dunia, kepercayaan dan tingkah laku, sistem kod serta tanggapan terhadap hubungan. Pandangan terhadap dunia ialah kepercayaan terhadap alam semula jadi atau nilai yang dipegang dan ia adalah sukar diubah. Setiap budaya mempunyai tanggapan masing-masing mengenai apa yang betul atau salah.
Sejajar dengan itu, bahasa sesuatu masyarakat mempunyai pengaruh yang kuat terhadap struktur sosial dan kebudayaan masyarakat tersebut. Kesantunan bahasa dapat disifatkan sebagai etika sosial, iaitu asas keperluan untuk mewujudkan keramahan dan penghormatan. Individu yang berinteraksi menggunakan bahasa yang halus dan sopan dikatakan tinggi budi bahasanya, manakala seseorang yang menuturkan kata-kata yang kasar dan kurang sopan dikatakan biadab atau kurang ajar. Oleh yang demikian, penutur harus sentiasa menonjolkan perilaku yang santun dan berbudi bahasa, iaitu dengan mempamerkan tingkah laku yang baik dari segi gerak-geri, tutur kata dan sikap.
Melalui pertuturan, sekiranya menggunakan bahasa yang sopan dan menekankan aspek kesantunan berbahasa dalam pertuturan seharian seseorang individu tidak akan sesekali dianggap sebagai seorang yang tidak beradab. Kesantunan bahasa menunjukkan bahawa orang Melayu mementingkan adab dan nilai-nilai murni dalam pertuturan. Contohnya, untuk menghormati orang yang lebih tua, gelaran digunakan ketika bercakap dengan mereka.
Media massa merupakan suatu platform komunikasi yang membolehkan maklumat disebarkan kepada masyarakat. Salah satu fungsi media massa adalah sebagai pengawasan, iaitu penyebaran berita tentang ancaman seperti bencana alam dan krisis ekonomi. Fungsi lain ialah penyebaran nilai melalui watak dalam media yang dijadikan contoh kepada khalayak. Penggunaan bahasa kasar ataupun kurang sopan di media telah menjadi satu fenomena yang tidak terkawal lagi dewasa ini. Gejala ini bukan sahaja melibatkan pertuturan secara lisan, malah telah menular hingga ke bentuk penulisan yang dipaparkan oleh media. Ungkapan sebegini tidak patut digunakan sesuka hati kerana menunjukkan maksud yang tidak bersantun. Penggunaan bahasa yang tidak bersantun dalam media juga mempengaruhi penonton.
Media massa memberi pengaruh yang amat besar terhadap pembentukan akhlak, kelakuan, dan pemikiran masyarakat terutamanya golongan remaja. Umum sedia maklum bahawa pengaruh media massa merupakan aspek yang penting terhadap kemasukan budaya barat seperti seks bebas, dan homoseksual.. Media elektronik dan media cetak seperti televisyen dan majalah-majalah telah memaparkan gambar-gambar tidak beretika dan bertentangan dengan nilai-nilai dan norma budaya masyarakat setempat. Perkara ini secara tidak langsung akan mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran remaja. Melalui majalah-majalah hiburan, artis-artis tempatan yang dijadikan contoh dan teladan banyak membawa remaja ke arah kemaksiatan dan keruntuhan moral dengan unsur-unsur pendedahan aurat yang keterlaluan serta pergaulan bebas. Hal ini dapat menyebabkan kerosakan minda golongan remaja yang secara semula jadi memerlukan idola.
Sayangnya, kesantunan berbahasa menjadi isu yang kurang diperhatikan dalam media komunikasi, iaitu media cetak dan juga media elektronik. Jikalau hal ini terus diabaikan, maka nilai-nilai kesantunan bahasa akan luntur. Maka lambat laun nilai-nilai budaya turut akan hancur. Disebabkan bangsa Malaysia sangat menjunjung tinggi etika serta budi bahasa, peranan media massa amat penting untuk mendidik masyarakat agar mementingkan kesantunan dalm berbahasa. Oleh sebab bahasa mencerminkan sesuatu budaya, kekangan oleh media massa terhadap penggunaan bahasa yang tidak sopan haruslah dititikberatkan.

Leave a Comment

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.