Essay: Aditif makanan ialah bahan yang ditambah …

Aditif makanan ialah bahan yang ditambah secara sengaja ke dalam atau ke atas makanan dalam kuantiti yang sedikit untuk mengekalkan atau membaiki kualiti, penampilan, perisa, bau, rasa dan tempoh penyimpanan tidak termasuk vitamin & mineral’ (Peraturan 19 (1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985). Aditif makanan bertujuan untuk memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanan, meningkatkan kualiti makanan dan persembahan makanan dari segi tekstur, warna, rupa dan konsistensi dan menambah keenakan makanan. Pelbagai jenis aditif makanan yang digunakan dan dibenarkan mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 iaitu bahan pengawet, bahan pewarna, penambah perisa, antipengoksida, dan kondisioner makanan.
Antara bahan aditif yang digunakan ialah bahan pengawet. Bahan pengawet digunakan untuk mengawal pertumbuhan kulat, ragi dan bakteria bagi meningkatkan jangka hayat makanan tersebut. Ia boleh didapati secara semula jadi tetapi sering disediakan secara sintetik. Kulat dan bakteria hidup di tempat yang lembap. Setiap jenis makanan mempunyai kelembapan yang berbeza contohnya biskut kering, roti, dan buah-buahan. Antara aditif makanan yang dibenarkan menurut undang-undang dan peraturan-peraturan makanan adalah asid benzoik, asid sorbik, sulfur dioksida dan asid propionik. Asid benzoik telah lama digunakan dalam industri makanan kerana ia ditemui sejak kurun ke-16. Asid benzoik berfungsi sebagai ejen antikulat dan antibakteria. Ia digunakan sebagai bahan pengawet untuk makanan yang tidak tahan lama contohnya sos, jam dan mayonis. Asid benzoik boleh ditemui dalam pelbagai bentuk antaranya natrium benzoat, kalium benzoat, kalsium benzoat, atau para- hidroksibenzoat (Rahmat, 1996). Natrium benzoate adalah sejenis garam dan sering digunakan di dalam kicap, minuman ringan dan marjerin. Terdapat beberapa kesan terhadap kesihatan jika menggunakan secara berlebihan iaitu menjejaskan sistem saraf dan ia menjadi agen kanser. Kebiasaannya, penggunaan bahan pengawet akan ditulis pada label barang makanan.
Aditif makanan lain yang dibenarkan adalah bahan pewarna. Menurut Peraturan Akta Makanan 1983, bahan pewarna ialah apa-apa makanan yang ditambah pada makanan boleh memberikan warna pada makanan tersebut. Bahan pewarna terbahagi kepada dua iaitu bahan pewarna natural dan bahan pewarna sintetik. Bahan pewarna sintetik adalah terhasil dari bahan kimia manakala pewarna natural diekstrak dari bahab semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan. Terdapat bahan pewarna bersifat larut dan tidak larut. Bahan pewarna tidak larut selalunya digunakan ke atas produk yang mengandungi lemak dan minyak. Contoh bahan pewarna yang dibenarkan dan terdapat di pasaran adalah Allura Red, Sunset Yellow dan anthocyanin. Bahan pewarna berfungsi untuk menyeragamkan warna produk dan menarik perhatian pengguna untuk membeli. Antara produk makanan yang menggunakan bahan pewarna adalah kek, ais krim, minuman ringan dan gula-gula.
Penambah perisa merupakan salah satu dari aditif makanan dan digunakan untuk menambah dan memperkuatkan rasa sesuatu makanan. Contoh penambah perisa yang dibenarkan adalah Monosodium glutamate (MSG). MSG terdiri dari garam, glutamat dan air dan berfungsi sebagai penyedap makanan dan menghasilkan rasa umami. Ia tidak baik dimakan setiap hari kerana dapat memberi kesan terhadap kerosakan otak dan meracun saraf. Antara makanan yang mengandungi MSG adalah makanan sejuk beku, makanan segera dan makanan ringan.
Selain itu, antipengoksida adalah salah satu dari aditif makanan. Ia berfungsi untuk melambatkan proses pengoksidaan yang menyebabkan ketengikan dalam makanan. Contoh antipengoksida yang dibenarkan adalah tokoferol asid askorbik dan butyted hydroxytoulene (BHT). BHT berfungsi untuk mengatasi sifat antioksidan dan sering digunakan pada mentega kacang, marjerin dan mee segera. Elakkan penggunaan yang berlebihan kerana ia dapat memberi kesan terhadap ginjal.
Aditif makanan yang terakhir adalah kondisioner makanan. Ia ditambah dalam makanan untuk memberi fungsi teknologi untuk mendapatkan makanan yang diperlukan. Terdapat pelbagai jenis kondisioner makanan, antaranya adalah bahan pengemulsi, pemekat dan penstabil. Antara contoh kondisioner makanan yang dibenarkan adalah asid asetik, asid sitrik dan magnesium karbonat. Asid sitrik dapat meningkatkan metabolisme dalam badan jika digunakan pada dose yang sesuai tetapi ia dapat memberi kesan sampingan terhadap badan iaitu alergik dan serangan asma. Antara produk makanan yang menggunakan kondisioner makanan adalah coklat, biskut dan kek.
Aditif makanan sangat penting dalam industri makanan antaranya bahan pengawet, bahan pewarna, penambah perisa, antipegoksida dan kondisioner makanan. Cara untuk mengetahui sama ada aditif makanan ditambah dalam makanan adlah dengan membaca label pada produk makanan. Aditif makanan sangat bermanfaat dalam bidang sains makanan dan penggunaannya juga dikawal ketat dan perlu mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Leave a Comment

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.