1.0 PENGENALAN
Di dalam arus pemodenan yang pesat dan teknologi yang semakin mencabar ini, manusia perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan untuk meningkatkan mutu kehidupan serta meningkatkan kemahiran dan juga memajukan kerjaya. Salah satu cara adalah melalui pendidikan. Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) adalah satu bidang pendidikan yang mana sistem pengajarannya adalah secara jauh. Menurut Dewan Masyarakat (Mac 1995) di dalam satu ruangannya menyatakan bahawa PJJ merupakan satu sistem pendidikan yang menekankan konsep belajar sendiri (self-directed learning). Manakala menurut Hassan, F.et.al (2006) istilah kepada PJJ sebenarnya adalah dalam bentuk pelbagai.
Pelajar dewasa merujuk mereka yang telah mempunyai pengalaman berkerja dan masih berkhidmat di sektor pekerjaan (Dr. Abdul Rahim Hamdan.et.al, 2008). Mazanah (2002) ada menyatakan bahawa pelajar dewasa merupakan kumpulan pelajar yang aktif, dinamik yang memerlukan pembelajaran untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan boleh memenuhi keperluan dan minat mereka. Di dalam memenuhi keperluan tersebut, pelajar-pelajar PJJ seperti saya seringkali menghadapi beberapa masalah yang boleh menyebabkan pembelajaran terganggu atau tertangguh. Oleh itu, di dalam penulisan ini saya akan membincangkan beberapa isu-isu penyebab kepada keadaan sedemikian. Disamping itu, saya juga akan menerangkan langkah-langkah atau cadangan yang dapat membantu saya dan juga pelajar PJJ yang lain dalam menangani situasi atau keadaan tersebut.
2.0 MASALAH PEMBELAJARAN DAN PENYELESAIAN DI DALAM SISTEM TERBUKA DAN JARAK JAUH
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa kebaikan dan keburukan dalam gaya pembelajaran dewasa jenis ini. Di ruangan ini saya akan cuba mengupaskan beberapa keadaan itu dengan mengambil implikasi yang selalunya terjadi kepada pelajar-pelajar terbuka dan jarak jauh termasuk kepada diri saya sendiri berserta cadangan atau penyelesaian yang dapat diaplikasikan.
2.1 Sumber Kewangan
Dalam apa jua keadaan, kewangan adalah salah satu permasalahaan yang sentiasa dititikberatkan. Kos merupakan satu faktor yang memainkan peranan penting untuk pelajar bagi membayar yuran pengajian, menghadiri kursus intensif, membuat tugasan dan juga untuk membeli bahan-bahan rujukan seperti buku nota. Selain daripada itu, sumber yang diperolehi seperti gaji bulanan juga menjadi bebanan kerana bukan sahaja untuk kos pembelajaran malah untuk keperluan lain seperti untuk keluarga, keperluan harian dan sebagainya. Oleh itu, beberapa insiatif menjadi pilihan untuk saya sebagai pelajar PJJ dalam menangani masalah ini diantaranya kemudahan pinjaman pendidikan seperti pinjaman pendidikan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pinjaman bank yang menyediakan kemudahan tersebut. Dengan berbekalkan kemudahan pinjaman yang disediakan pelajar mampu untuk mengurangkan bebanan yang dihadapi. Disamping itu perbelanjaan yang berhemah perlu dititikberatkan agar hasrat saya untuk mendapatkan kejayaan, kemahiran serta pengetahuan tidak menghalang saya untuk terus belajar demi masa depan yang cemerlang.
2.2 Kurang Interaksi
Seperti yang diketahui sistem PJJ adalah sistem pembelajaran jarak jauh yang mana pelajar dan pengajar terpisah dan hanya bersemuka mengikut jadual yang ditetapkan sewaktu menghadiri kelas. Di dalam sistem PJJ, bahan-bahan sukatan pelajaran adalah berbentuk cetak atau bukan cetak dan dibekalkan kepada pelajar pada masa yang sesuai dengannya. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran tidak berlaku secara formal sebagaimana pelajar sepenuh masa. Oleh yang demikian, interaksi antara pelajar dan pengajar agak kurang dan mempunyai jarak dalam ruang perhubungan. Semakin luas jarak ini menyebabkan peranan pengajar dalam menggunakan segala sumber media komunikasi yang ada untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar agak terhad. Begitu juga interaksi antara rakan sekuliah agak minimum berbanding pelajar sepenuh masa. Apabila situasi ini berlaku maka pelajar seharusnya dapat memahami keadaan tersebut dengan merancang sesuatu yang dapat membantu mereka agar tidak ketinggalan dalam banyak aspek sesuatu pembelajaran dengan rajin bertanya sama ada melalui medium komunikasi seperti ‘whatsapp’, ‘skype’, mengutus email, meninggalkan komen di forum-forum dan laman web yang menyediakan nota-nota kepada mereka serta menggunakan segala kemudahan teknologi komunikasi yang ada. Selain daripada itu, berkongsi idea dan buah fikiran dikalangan rakan sekuliah atau membentuk satu kumpulan kecil untuk belajar terutama dikalangan rakan sepejabat yang mengikuti program bersama atau kenalan rapat yang sekuliah dengan mereka. Proses pembelajaran dalam suasana ‘pengasingan’ merupakan satu gejala yang tidak sihat (Shireen Haron, April 1995).
2.3 Penggunaan dan Penguasaan Bahasa
Di dalam laporan akhir Cabaran Pendidikan Secara Jarak Jauh: Kesedaran & Pendedahan Dalam Era Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT) (USM, November 2006) mengulas bahawa isu bahasa juga merupakan isu dalam pendidikan di Malaysia. Ada penyelidik yang menyatakan bahawa masalah bahasa menyukarkan program PJJ ini dijalankan. Walau bagaimanapun, sebagai pelajar PJJ saya perlu meneruskan niat saya dan jika mempunyai masalah dalam penggunaan dan penguasaan bahasa terutamanya Bahasa Inggeris kerana kebanyakan nota-nota dan bahan rujukan adalah di dalam bahasa tersebut maka kelas Bahasa Inggeris boleh ikuti di mana-mana pusat pembelajaran Bahasa Inggeris yang tersedia. Selain daripada itu, boleh juga menggunakan khidmat penterjemahan atau google translates. Pada hari ini, negara telah mencapai peringkat globalisasi dan antarabangsa, rakyat Malaysia perlu untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.
3.0 KESIMPULAN
Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membuka peluang luas untuk saya dan juga kepada mereka yang bekerja bagi menimba ilmu pengetahuan walaupun mempunyai pelbagai tanggungjawab namum tetap masih boleh belajar. Tidak dinafikan terdapat beberapa gangguan kepada pembelajaran ini tetapi ia bukanlah satu halangan kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran tersebut. Dengan mengikuti berbagai kaedah penyelesaian dan mengatur segala perancangan yang baik serta teliti ia dapat ditempuh dengan jayanya bab kata pepatah ‘hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih’ dan ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Seharusnya rakyat Malaysia hendaklah sentiasa memajukan diri dan menuntut ilmu pengetahuan sebanyak mungkin bagi mendukung hasrat kerajaan untuk menjadi sebuah negara maju.